|
Penduduk Kuarters guru beratur untuk mendapatkan air |
KUALA
LIPIS - “Penduduk di sini terutama yang tinggal di tingkat empat dan lima dah
tak larat nak mengangkat tong berisi air. Kami harap gangguan bekalan air ini
pulih dengan segera supaya aktiviti harian kami berjalan seperti biasa.”
Begitulah keluhan seorang penghuni Kuarters Guru
Terenggun, Wan Mohd Azril Wan Amiruddin, 38, yang berdepan dilema apabila
bekalan air diterima mereka sering kali terputus malah semakin kritikal sejak
lima bulan lalu.
Wan Mohd Azril berkata, kuarters yang mempunyai
tujuh blok dan dihuni oleh kira-kira 300 penduduk itu jarang menerima bekalan
air secara terus dalam tempoh 24 jam dan ini menyebabkan mereka terpaksa
mengangkut air yang dibekalkan lori tangki ke rumah masing-masing.
“Masalah itu bukanlah isu baru tetapi sudah
berlarutan sekian lama. Minggu lalu bekalan air terputus sehingga lima hari
dan menganggu rutin harian penghuni.
“Walaupun hujan, penduduk beratur panjang untuk
mendapatkan air yang dihantar ke sini dengan menggunakan tangki. Lebih menyedihkan
apabila penghuni di tingkat empat dan lima terpaksa mengangkat tong air yang
berat menaiki tangga kerana kuarters ini tidak mempunyai lif,” katanya semalam.
Wan Mohd Azril berkata, masalah itu perlu
diselesaikan walaupun pihak berkaitan telah menghantar lori tangki untuk
menyalurkan bekalan air.
"Sampai bila tangki akan berada dalam
kawasan kuarters ini. Cukuplah, bantulah kami. Lagipun tidak semua yang
mendapat bekalan ini,” katanya.
Wan Mohd Azril berkata, penduduk sudah mula
rimas dengan isu bekalan air dan sudah sampai masanya kerajaan melihat
alternatif yang lebih tersusun pada waktu ini supaya penduduk tidak terputus
air pada saat mereka memerlukannya.
Menurutnya, mereka sedar kerajaan mempunyai
perancangan jangka masa panjang untuk meningkatkan kawasan loji mahupun
empangan, tetapi keperluan segera itu perlulah difikirkan dengan lebih efisien.
“Penduduk di sini amat berharap masalah air itu
mendapat perhatian daripada kerajaan. Bantulah kami selesaikan segera masalah
bekalan air yang tidak menentu ini,” katanya. - Sinar Harian
Komen
Itulah lumrah alam, penduduk tradisioal yang menduduki rumah berhampiran dengan sungai terutamanya sungai-sungai besar menghadapi masalah banjir dan bah. Penduduk yang berada di tanah tinggi dan berbukit menghadapi masalah gangguan bekalan air.