responsif teks foto

Sabtu, 3 April 2021

Penganugerahan PJM Negeri Pahang



MAJLIS PENGANUGERAHAN PINGAT JASA MALAYSIA (PJM) PERINGKAT NEGERI PAHANG KEPADA VETERAN-VETERAN ATM

Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Pahang kepada Veteran-Veteran ATM bertempat di Swiss-Bel Hotel, Kuantan, Pahang.

Di dalam majlis tersebut, YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 350 orang Veteran ATM. Majlis yang diadakan pada hari ini merupakan majlis penganugerahan yang pertama untuk tahun 2021 selepas penganugerahan terakhir diadakan di Sandakan, Sabah pada 25 September 2020 yang lepas.

Penganugerahan ini adalah satu manifestasi keprihatinan dan rasa tanggungjawab Kementerian di dalam menghargai perjuangan, pengorbanan dan jasa-jasa veteran-veteran ATM khususnya di seluruh negara amnya dan negeri Pahang khasnya. Sehingga hari ini, terdapat 28,971 warga Veteran ATM telah menerima PJM manakala untuk baki veteran yang layak dan belum lagi dianugerahkan akan dijadualkan penganugerahannya pada masa-masa akan datang.





Penganugerahan PJM telah dilaksanakan mulai 3 Mac 2004 yang merupakan satu pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan negara daripada ancaman pengganas komunis. PJM hanya dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti berikut:

a. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau,

b. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) atau,

c. Telah terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang Pengganas Komunis Malaya (PKM) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau Pengganas Komunis Kalimantan (PKKU) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990. - 3 April 2021

kredit FB : JHEV ATM

Tiada ulasan:

AddToAny