responsif teks foto

Khamis, 8 September 2022

Harga getah Jatuh lagi.

 


Harga getah mengalami kejatuhan sebanyak 11.7 peratus bagi tempoh Julai hingga Ogos, dengan harga peringkat ladang telah merosot kepada RM2.50 dari RM2.80 sekilogram berbanding RM3.00 sekilogram semasa tempoh enam bulan pertama tahun 2022.

Sebab Jatuh

Ini disebabkan oleh prospek ekonomi global yang lembab berikutan aktiviti kilang global yang lebih perlahan, peningkatan kos bahan mentah dan tenaga global, peningkatan lebihan stok getah asli dunia serta kemerosotan prospek harga minyak mentah akibat kebimbangan pengurangan permintaan minyak disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia.

Kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China serta ketidaktentuan daripada konflik Russia-Ukraine juga dilihat antara faktor geopolitik yang turut menyebabkan penurunan harga getah.

"Bahkan, faktor pasaran serantau dan faktor ekonomi global diyakini memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah dalam negara, memandangkan Malaysia hanya mengeluarkan empat peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia

Langkah Kerajaan

Bagi memastikan nasib pekebun kecil terus dilindungi, kerajaan antara lain telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak 2015 bertujuan mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah rendah, di samping menggalakkan aktiviti penorehan.





Melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram.

Selain itu, peserta pekebun kecil yang menyertai program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).

Peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850.00 bagi setiap hektar secara ‘one off’.

Tender secara atas talian (MyRol) pula adalah salah satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara dalam talian.

Melalui MyRol, kecekapan rantaian nilai getah peringkat ladang dapat ditingkatkan, yang mana pekebun akan menikmati harga yang lebih kompetitif kerana getah yang dijual berkualiti tinggi di samping kuantiti yang banyak hasil jualan secara berkelompok.

Pelaksanaan Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) pula bertujuan menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang besar agar mampu memproses getah sekerap kepada bentuk getah krip.

Getah krip yang mempunyai KGK yang lebih tinggi dapat memberikan harga jualan yang lebih baik berbanding getah sekerap.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) turut mengadakan taklimat beserta hebahan berkenaan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), IPG, RRIM niaga dan isu-isu berkaitan getah kepada pekebun kecil.

Dalam pada itu, kerajaan melalui RISDA turut menaikkan kadar bantuan tanam semula getah. Bermula 2021 kepada RM13,710 sehektar di Semenanjung Malaysia, RM14,805 sehektar di Sarawak dan RM14,955 sehektar di Sabah.

Kredit : BH


Tiada ulasan:

AddToAny