Isnin, 31 Disember 2007

Sejarah Tok Linggi Kampung Relong Kuala Lipis


Sejarah Tok Linggi Kampung Relong Kuala Lipis

Tok Linggi berasal dari Kampung Bukit Meninjau,Sumatera Barat,Indonesia (1790an) berhijrah ke Kampung Relong Kuala Lipis semasa negeri Pahang dipemerintah oleh Bendehara Tun Ali (1782-1857). Sejarah kedatangan Tok Linggi ke kampung ini bermula dimana beliau bersama lima orang adik-beradik telah datang ke Tanah Melayu di mana destinasi pertamanya ialah Negeri Sembilan.Di Negeri Sembilan, adik-beradik ini telah berpecah dengan merantau dimana seorang daripadanya ke Negeri Perak, seorang ke Negeri Johor, dan seorang ke Negeri Selangor. Manakala Tok Linggi dan bersama seorang adiknya meneruskan perjalanan mereka dengan berjalan kaki ke Negeri Inderapura (Pahang) hingga sampai ke tempat yang dinamakan Semantan di Daerah Temerloh.

Tok Linggi meninggalkan adiknya di Semantan, sementara beliau bersama 80 orang pengikutnya meneruskan perjalanan dengan menggunakan perahu, mudik ke hulu Sungai Pahang dan Sungai Jelai dengan dibantu oleh seorang pedagang.Tok Linggi bersama rombongan yang pertama telah sampai ke satu tebing sungai berpasir yang landai dan cantik serta banyak ikan sia datang bermain-main. Beliau telah menamakan tempat tersebut dengan nama Pasir Sia. Selepas itu mereka meneruskan perjalanan dan mendarat di Kampung Beralas dan Kampung Perlak. Mereka meneruskan perjalanan di darat dan berehat di sebuah tanah lapang yang menyerupai sebuah padang. Tok Linggi telah menamakan tempat tersebut sebagai nama Padang Tunggu, kerana di tempat tersebut mereka berehat menunggu rombongan kedua sampai. Kini tempat tersebut dinamakan Padang Tengku.

Tok Linggi bersama rombongan pertama dan kedua seramai 80 orang telah meneruskan perjalanan hingga ke sebuah tempat yang bernama Sungai Damar. Tok Linggi dan rombongan meneruskan lagi perjalanan mereka sehinggalah sampai ke sebuah bukit yang tinggi. Dari atas bukit tersebut beliau telah melihat pemandangan alam semulajadi yang indah serta bentuk di kawasan tersebut seolah-olah seperti sebuah kawah yang merelong. Bukit tersebut dinamakan Bukit Peninjau dan kawasan yang dilihatnya indah dan cantik itu dinamakan Kampung Relong.Tok Linggi dan rombongannya terus menjadikan Kampung Relong sebagai tempat kediaman, dimana tempat pertama beliau menetap adalah di kawasan yang dinamakan Binjai, dan kemudian beliau berpindah pula ke satu kawasan baru yang dikenali sebagai Kuala Teha dan akhirnya di Kuala Relong.

Tok Linggi menetap di Kuala Relong dan meninggal dunia di Kuala Relong dan dikebumikan di sebuah kawasan di tepi Sungai Teris di antara Kuala Teha dan Kuala Relong. Tempat tersebut dinamakan Makam Pusara Tok Linggi hingga ke hari ini dan ia merupakan salah satu tempat bersejarah di Kampung Relong.Tok Linggi atau nama sebenarnya Raja Ahmad telah berkahwin dengan seorang perempuan tempatan di tempat yang bernama Lubuk Yong dan meninggalkan zuriat yang disebut sebagai keturunan Tok Linggi hingga ke hari ini.Tok Linggi telah menamakan beberapa tempat diantaranya ialah Pasir Sia, Perlak, Beralas, Bukit Peninjau, Binjai, Relong, Kuala Teha, Kuala Relong, Sawa dan Geta dengan mengambil nama sempena nama-nama tempat yang terdapat di Sumatera Barat dan Bukit Meninjau juga merupakan tempat asal beliau


Tok Linggi versi Kedua


Ahad, 30 Disember 2007

Sejarah Orang Kaya Haji di Kuala Lipis





Pada tahun 1803M (1224H), Wan Pahang bin Tun Wok ( Wan Muhammad b. Tun Abdul Latif, Maharaja Perba Jelai I ) telah dikahwinkan oleh Sultan Johor-Linggi (Sultan Abdul Jalil) dengan Tok Meriam (Nama sebenar beliau mungkin Tun Mariam iaitu anak Yam Dipertuan Daing Celak). Hasil perkahwinan tersebut, antara tahun 1804 dan 1805 lahirlah seorang anak lelaki yang diberi nama Wan Daud b. Wan Pahang. Tinggalah beliau di Pahang untuk beberapa ketika.

Apabila beliau telah meningkat dewasa beliau telah dihantar ke Riau untuk mendalami ilmu agama daripada Imam Bonjor selama 20 tahun. Ini adalah sebagai persiapan menggantikan ayahanda beliau selaku Seri Maharaja Perba Jelai pemegang hukum syarak di samping Wan Ideris bin Tun Wok, Indera Mahajara Perba Jelai pemegang hukum adat. Pada penghujung tahun 1840-an atau awal tahun 1850-an, Wan Daud kembali dari Riau untuk menggantikan ayahanda beliau menjaga Kuala Kuantan. Semasa beliau di Kuala Kuantan, beliau telah menjadi Kepala Perang kepada 70 kepala tentera, beliau turut dikenali sebagai “Tok Daud 7 Lapis”. Beliau hidup sederhana walaupun memiliki lombong emas di Bukit Selingsing. Justeru sifat pemurah dan dermawan beliau terutama kepada mereka yang akan berlepas ke Tanah Suci Mekah, beliau diberi gelaran Orang Kaya Haji
Era Perang Saudara Pahang 1857 -1863
Di era 1850-an Pahang dilanda Perang Saudara antara Tun Ahmad dan Tun Mutahir atas pertelingkahan merebut jawatan Bendahara Siwa Raja selepas kemangkatan ayahanda mereka Bendahara Siwa Raja Tun Ali.

Pada penghujung tahun 1850-an, Perang Saudara antara Wan Ahmad (Tun Ahmad) dengan Wan Mutahir (Tun Mutahir) masih berlarutan. Wan Daud pada awalnya tidak menyertai perang berkenaan. Beliau menganggap bahawa perebutan jawatan berkenaan telah diselesaikan bersama Sultan Abu Bakar Johor apabila jawatan Bendahara Siwa Raja diserahkan kepada Wan Mutahir dengan syarat dilantik Wan Ahmad sebagai Bendahara Muda selepas beliau.

Wan Daud hanya menyertai perang pada penghujung 1850-an atau awal 1860-an apabila berlaku pembunuhan terhadap bapa saudara sepupu beliau iaitu Wan Embung bin Tun Muhammad bin Tun Abdul Latif oleh salah seorang pengikut Tun Mutahir. Kepala jenazah Wan Embung telah dipancung dan diwar-warkan sebagai penderhaka. Di samping itu, rakyat di Tanah Hulu didenda 4 mayam emas atau anak isteri dirampas dan dijadikan tebusan.
Rentetan itu , Wan Daud telah menyebelahi pasukan Wan Ahmad yang turut disertai oleh pasukan bapa saudara beliau Wan Ideris bin Wan Muhammad (Tun Wok) dan sepupu beliau Wan Muhammad bin Wan Ideris yang ketika itu bergelar Orang Kaya Setia Muda.

Pada tahun 1863, Perang Saudara pun tamat di mana pihak Tun Ahmad telah memenangi perang berkenaan. Atas sumbangan beliau dalam perang berkenaan pada 27 Disember 1863, Wan Daud bin Wan Pahang diberi gelaran Seri Maharaja Setia Raja dengan anugerah air Lipis cucur ke Lipis hingga ke puncak air meleleh melalui watikah kurnia Bendahara Siwa Raja. Perlantikan ini telah diperkenankan oleh Sultan Abu Bakar Johor.
Wan Muhamad (Tok Raja) pula orang besar berempat telah melantik secara rasmi Sultan Ahmad Menjadi Sultan Pahang. Atas pelantikan itu beliau telah mendapat keistimewaan mengunakan chop mohor resmi yang tertera “Maharaja Perba Jelai Al- Wakil Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah “
Kedatangan Inggeris di Lipis
Pada bulan Februari 1888 telah berlaku satu peristiwa yang tidak disangka-sangka berhampiran dengan istana di Pekan iaitu pembunuhan ke atas Goh Hui, seorang berbangsa Cina. Pihak Inggeris telah memberikan perhatian yang sungguh serius terhadap peristiwa ini dan mendakwa bahawa mangsa pembunuhan itu adalah seorang rakyat Inggeris, dan telah menuntut gantirugi dan mendakwa Sultan Ahmad bertanggungjawab di atas pembunuhannya. Inggeris juga telah meminta supaya wakil Inggeris di Pahang dinaikkan tarafnya sebagai Residen untuk menjaga dan menjamin keselamatan rakyat Inggeris di Pahang


Selepas itu J.P Rodger telah menjadi Residen di Pahang, beliau telah bercadang hendak hendak memindah pusat pentadbiran dari pekan Ke Kuala Lipis. J.P Rodger berharap dengan jalan itu maka dapatlah Hulu Pahang yang banyak mengeluarkan emas, dijaga lebih sempurna, lagi pula Kuala Lipis Kuala Lipis lebih dekat dengan Kuala Lumpur berbanding dengan Pekan.
Dengan situasi tersebut menyebabkan kedudukan orang kaya haji di Kuala Lipis mula terancam dan amat tidak disenangi oleh beliau termasuk orang besar di Hulu Pahang kerana susah bagi mereka menjalankan kerja biasa seperti mengutip cukai dan sebagainya.
Walaupun Orang Kaya Haji tidak bersetuju dengan cadangan itu akan tetapi W.C Michell berusaha dan berjaya mendapat persetujuan dari anak-anak beliau yang diketuai oleh Wan Lingga yang bersetuju menerima bayaran sebanyak RM 200.00 sebagai harga tanah kepunyaan bapanya. Perbuatan yang dilakukan oleh anak-anaknya itu menambah kemarahan Orang kaya Haji hinggakan dia jadi seolah-olah seperti orang gila.
Disebabkan takut terjadi sesuatu yang tidak diingini pihak Inggeris telah meminta jasa baik Orang Kaya Indera Perba Jelai (Tok Raja) dan Orang Kaya Indera Setia Raja Gajah Pahang untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Dalam perundingan itu, setelah puas Tok Raja mengeluarkan berbagai hujah untuk memujuk dan mengantikan tanah yang diambil tetapi beliau masih berkeras dengan pendiriannya dan berkata ”pantang tarik puntung, sebelum padam nyala”. Dengan gagal rundingan tersebut menyebabkan Inggeris menyimpan dendam.
Selepas itu, usaha Inggeris itu berjaya juga Orang Kaya Haji terpaksa juga akur dan beliau dalam keadaan dukacita telah membina rumah kediaman baru di Budu bagi menggantikan tapak rumah beliau di Kuala Lipis yang dicadangkan untuk dijadikan ibu Negeri Pahang. Dimaklumkan bahawa sekiranya ibu negeri ditukarkan ke tempat lain, maka hak pusaka di Kuala Lipis hendaklah dikembalikan kepada pewarisnya. Beliau membina sebuah rumah baru di Kampong Tanjung Tualang, Budu yang dikenali sebagai Rumah Gedang. Wan Daud juga dikatakan telah pergi bersama Tok Teh ke Johor menemui Sultan Abu Bakar di Istana Johor (Muzium Negeri Johor Sekarang) untuk menyerahkan surat persetujuan beliau dengan pihak Inggeris.
Apabila rumah berkenaan siap, beliau pulang ke Kuala Lipis untuk membuat persiapan berpindah ke rumah baru tersebut. Beliau meminta penduduk kampung untuk membantu beliau membawa segala kelengkapan, peralatan dan barangan beliau berpindah ke Budu. Peristiwa ini berlaku di sekitar penghujung tahun 1888 atau awal tahun 1889.

Tindakan mengumpul penduduk kampung ini telah digunakan untuk memfitnah beliau yang kononnya sedang mengumpul tentera dan penduduk kampung untuk menyerang Pekan. Kesempatan ini telah digunakan untuk membunuh Wan Daud Seri Maharaja Setia Raja yang kononnya atas arahan Baginda Sultan. Beliau difitnah sebagai gila, hilang akal, mengamuk dan mesti ditembak mati. Inilah yang dirakam oleh buku sejarah kita seperti yang diungkap dalam buku Sejarah Pahang karangan Haji Buyong b. Adil.
Kesudahannya, Orang Kaya Haji ditembak mati dihadapan rumahnya pada tahun 1889 dengan tiga das tembakan. pertama di buku lali, kedua di peha dan ketiga di dahi lalu rebah, Wan Muhammad menerpa dan memangku beliau. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat berpesan kepada Wan Muhammad, “sekiranya aku meninggal, janganlah engkau kuburkan aku di Bukit Betong, kuburkanlah aku berdekatan kubur guruku di Tanjung Rambai”. Sesudah melafazkan kata-kata tersebut, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia lebih kurang 84 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanjung Rambai, di sebelah kanan hilir Sungai Lipis lebih kurang 2.5 batu dari kawasan rumahnya di tanjung sebelah kiri di Kuala Lipis.
Gugurlah seorang pahlawan yang setia kepada Raja dan sentiasa sedia membela agama, bangsa dan tanah air. Bersemadilah beliau di sana sebagaimana amanat sebelum kemangkatan beliau.
Dengan terbunuhnya Orang Kaya Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Wan Pahang (Orang Kaya Haji) dalam tahun 1889 itu matilah hulubalang Pahang yang pertama menentang campur tangan Inggeris di Pahang. Jang Aisjah Muttalib di dalam bukunya berjudul ”Pemberontakan Pahang 1898 -1895” 1972 menulis diantarannya seperti berikut:
”Walaupun perlawanan Orang Kaya Haji adalah satu perlawanan seorang gila tetapi perlawanan itu dilakukan terhadap Ingggeris yang menceroboh mengganggu haknya”
Pembunuhan ke atas Orang Kaya Haji amat mendukacitakan Sultan Ahmad. Berhubung dengan perkara itu W. Linehan di dalam sejarah Pahang menulis seperti berikut:
”The Sultan was deeply distressed at the death of cheif who had been one of his most staunch adherents in the past and in after- years when it was suggested that the capital of Pahang should be changed to a more suitable site, Ahmad declared that he would never agree to the abandonment of Kuala Lipis as ground had been hallowed by blood-shed”
Perpindahan ibu negeri Pahang dari Pekan ke Kuala Lipis merupakan satu malapetaka kepada Orang Kaya Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Wan Pahang (Orang Kaya Haji) serta keturunannya. Pada hari ini yang tinggal hanya Sek Men Orang Kaya Haji bagi mengenang jasa beliau di bumi Lipis. Percaturan
Inggeris yang licik tidak mampu ditahan oleh Sultan Ahmad kerana semua negeri melayu pada masa itu menerima nasib yang serupa. Pada tahun 1955 Kuala Lipis sebagai ibu negeri ditukar pula ke Kuantan.
Rujukan
Asal Usul Nama Tempat di Negeri Pahang - Dato’ Hj Zakaria bin Hitam
orangkayahaji.blogspot.com - Wan Jamaludin bin Wan Bidin
Institusi Bendahara Permata Melayu Yang Hilang - (Tun) Suzana (Tun ) Hj Othman




Rabu, 26 Disember 2007

Sejarah Ringkas Kuala Lipis


Kuala Lipis merupakan ibu negeri Pahang yang pertama. Ia juga boleh dikatakan menjadi penempatan terawal di Pahang. Kedudukannya juga amat strategik iaitu di pertemuan tiga sungai iaitu Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Lipis

Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa Kuala Lipis telah mula didiami manusia sejak 2500 – 2400 tahun yang lampau. Kajian arkeologi telah menjumpai banyak artifak, antaranya ‘Pisau Tembeling’ iaitu alat yang digunakan oleh manusia pada zaman neolitik.

Penempatan manusia di sini berterusan hingga beribu-ribu tahun selepas zaman neolitik. Ini adalah kerana kedudukan geografinya yang strategik terletak berhampiran dengan sungai. Di sinilah punca air boleh didapati dengan mudah di samping merupakan antara jalan pengangkutan yang utama pada masa tersebut

Nama “Lipis” adalah dipercayai diambil bersempena dengan sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai Serau Lipis ( Pavetta indica). Memandangkan lokasi bandar ini terletak di kuala Sungai Lipis, maka ia dinamakan Kuala Lipis

Sebelum kedatangan orang Inggeris pada tahun 1887, Kuala Lipis menjadi pusat perdagangan bagi emas, jelutung dan lain-lain hasil daripada hutan disekitarnya.

Daerah ini dahulu dikenali Pahang Hulu atau Jelai, ianya diperintah oleh Maharaja Indera Perba Jelai merupakan gelaran bagi salah seorang Orang Besar Berempat di negeri Pahang dan Orang Kaya Indera Lipis (Orang Kaya Haji) memerintah di Kuala Lipis.

Setelah Inggeris memerintah Pahang, Inggeris telah menjadikan Kuala Lipis ibu negeri pada penguhujung bulan Jun 1898 mengantikan Pekan. Pada 27 Ogos 1955 ibu negeri Pahang dipindahkan pula ke Kuantan. Sebagai bandar utama pada masa itu, Inggeris telah membuka Pusat Pentadbiran Negeri dan sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Clifford yang mendapat nama daripada Sir Hugh Clfford residen pertama British di Negeri Pahang.

Perkhidmatan keretapi bermula pada tahun 1926 memyambungkan KualaLipis ke Johor Baharu disebelah selatan dan ke Tumpat Kelantan disebelah Utara. Sebelum adanya jalan keretapi perhubungan melalui sungai menjadi pengangkutan utama.