 |
panel forum majlis tersebut |
Oleh : Tuan Hj. Yusuf bin Ibrahim
Pada 16 September 2012 jam 10.00 pagi telah berlangsung satu peristiwa yang
agak penting dalam menyusur Riwayat Tok Linggi, orang yang membuka Kampung
Relong. Peristiwa ini berlangsung bukan di Relong, tidak juga di Lembah Bama
tetapi di Desa Putra, Pinggiran Putrajaya. Kita sebagai warih Tok Linggi mengucapakan ribuan terima kasih kepada Pengerusi Kerja Tautan Kasih 2012 pada kali ini iaitu En Taharuddin Yaakob, Naib pengerusi : Prof Madya Dr Affendi Hj. Zakaria, Setiausaha : Muhamad Hairiri dan Bendahari Azmi bin Talib. Saya sebagai panel mefokuskan
bicara kepada Terembe Tok Linggi yang saya nukilkan seperti berikut:
TEREMBE TOK LINGGI
1.0 Sejarah Penulisan Terembe
 |
Terembe Tok Linggi yang telah dirumikan |
Terembe
yang kita semua tahu ialah satu catatan salasilah keturunan yang ada dalam
simpanan sebahagian penduduk Kampung Relong. Tarikh yang tercatat pada terembe
ialah 1795. Tercatat nama orang yang membuka Kampung Relong iaitu Tok Linggi
bersama-sama dengan anak-anaknya (Imam Munah, ‘Alas, Amat, Mamat, Timah, Salleh
dan Ali). Salinan asal yang pertama dikatakan ditulis pada 28 Oktober 1907.
Perkembangan berikutnya dibuat oleh Imam Talib bin Usoh bin Somat bin Amat bin
Tok Linggi (generasi ke 4) ditambah oleh Ibrahim bin Bilal Ishak (generasi ke
5) diperbaiki oleh Haji Abdul Karim Ali (generasi ke 6). Semua catatan terembe
ini adalah dalam tulisan Jawi. Disamping itu terdapat individu yang boleh
mensurahkan jalur keturunan Tok Linggi ini secara lisan. Tujuan utama terembe
ini diwujudkan adalah untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim dikalangan anak
cucu cicit Tok Linggi.
2.0 Autentisi
Terembe
Imam Talib bin Usoh, orang yang menulis terembe adalah
generasi yang ke 4 dalam catitan terembe. Sudah pasti beliau mengetahui siapa
yang ada dalam generasi ke 3 dan ke 2. Manakala generasi pertama hanya ada
tujuh orang sahaja (anak-anak Tok Linggi). Ketulenan maklumat dari jalur-jalur
keturunan ini dapat dipastikan kerana cucu cicit Tok Linggi belum terebar luas
dan ketepatan maklumat dapat dipastikan dengan adanya mereka yang mampu
mensurahkan atau menghafal susur galur keturunan secara lisan.
Anak cucu Tok Linggi tinggal dalam satu lokaliti yang
tertutup iaitu di Lembah Bama. Perkahwinan adalah dikalangan mereka sahaja.
Tiada sebaran keluar kawasan lokaliti. Kalau ada pun nama mereka dicatat dalam
terembe seperti yang berlaku kepada mereka yang membawa diri ke Bertam, Gua
Musang atau mereka yang pergi membuka tanah di Lubuk Kulit atau Kampung
Keledek. Sekiranya terdapat orang luar mengahwini penduduk tempatan, mereka
juga dapat di kesan dan dicatat dalam terembe. Maka fakta-fakta yang disebut di
atas ini mempastikan bahawa terembe yang ada ini adalah betul dan tepat.
3.0 Usaha
memberi kefahaman
Catatan asal terembe menggunakan tulisan Jawi, lantaran itu
ramai anak muda masa kini melihat terembe ibarat tikus melihat besi. Mereka tak
faham dan tak tahu kegunaan lakaran catitan terembe itu. Sebab itulah sebelum
tahun 2001 tidak ramai penduduk Kampung Relong dan anak keturunan Tok Linggi
ambil kesah tentang terembe ini terutamanya dikalangan anak muda.
Satu Seminar kesedaran tentang terembe telah dibuat dalam
tahun 2001, di Masjid Lama Relong (kini Perpustakaan Desa Kampung Relong).
Terdapat enam matlamat yang perlu dicapai oleh seminar ini, iaitu;
Pertama, seperti yang ketahui umum, bahawa terembe’ yang
berbentuk seperti ‘peta minda’ itu
adalah dalam tulisan jawi. Oleh itu wajarlah ada usaha untuk menyalinnya ke
dalam tulisan rumi agar ramai dikalangan generasi muda dapat memahami dan
mengahayatinya.
Kedua, kalau dahulu perkahwinan anak Relong biasanya dengan
anak Relong juga. Seolah-olah ketika sebelum merdeka (1957) penduduk Relong
merupakan satu masyarakat yang tertutup dari segi keturunan tetapi masa kini
boleh dikatakan kebanyakan anak Relong berkahwin dengan orang di luar Daerah,
di luar Negeri atau luar Negara. Jadi keturunan Tok Linggi ini sudah tersebar
ke serata tempat. Oleh itu perlu ada kesediaan, kefahaman dan kesefahaman untuk
mengalur keturunan dimasa depan.
Ketiga, kini sudah ramai anak-anak Kampung Relong yang
merantau keluar kampung sama ada berkerja atau bersemenda, maka ada keperluan
untuk memantapkan penggunaan terembe dikalangan mereka bagi mengetahui jalur
keturunannya bagi memudahkan silaturrahim seketurunan nanti.
Keempat, semenjak FELDA diwujudkan telah ramai pasangan anak
Relong berhijrah ke Felda seperti Lurah Bilut, Lembah Kelau, Sungai Koyan,
Gugusan Jengka, Gugusan Karatung, Bukit Mendi dan sebagainya. Sesekali akan ada
anak cucu cicit yang mencari leluhur mereka dan terembe akan dapat
menyelesaikan masalah jejak jalur keturunannya.
Kelima, menambahkan bilangan mereka yang boleh mensurahkan
terembe secara lisan sebagai tempat rujukan kepada mereka yang mencari waris
keturunan Tok Linggi. Saya hanya sempat bertemu dengan dua orang yang boleh
mensurahkan susur galur keturunan Tok Linggi secara lisan iaitu Kak Hawa Salim
dan Abang Abdul Aziz Mamat. Sewajarnya kita memerlukan lebih ramai lagi yang
dapat mensurahkan secara lisan susur galur keturunan Tok Linggi, kalau tak
boleh semua, memadai mengambil satu jalur dari anak-anak keturunan Tok Linggi.
Keenam, membina jalur sendiri atau jalur keluarga sendiri.
Untuk mampu mengingat secara lisan memerlukan kekutan ingatan yang bukan semua
orang ada kemampuan itu. Alternatifnya ialah setiap orang dapat membina
jalurnya sendiri dari dirinya sehingga ke Tok Linggi, melalui ibu atau bapanya
atau ibu atau bapa sahaja.
4.0
Program-program penyedaran
Selepas diadakan seminar tentang terembe tahun 2001, maka
kita mula mengadakan majlis jamuan tahunan memperkenalkan terembe kepada semua
anak keturunan Tok Linggi, bermula di Tapak Kilang Rotan, Dataran Masjid Relong
dan juga di Dewan Orang Ramai Relong. Usaha merumikan tulisan terembe berjalan
secara beransur-ansur yang dibuat oleh Tuan Haji Mohd Yusop Derus. Wujudnya
terembe bertulisan rumi menambah minat khalayak melihat dan memahaminya. Kalau
dulu terembe hanya dilihat oleh beberapa orang sahaja (pandai jawi) tetapi kini
ia sudah menjadi satu fenomena di kalangan anak cucu Tok Linggi.
Sebagai satu aktiviti kesedaran kepada generasi muda,
khususnya murid sekolah, Program menggalurkan terembe telah dilaksanakan. Dari
program ini didapati minat anak-anak kita agak memberangsangkan. Oleh itu
aktiviti ini perlu dibuat setiap tahun kepada anak-anak keturunan Tok Linggi
sama ada yang tinggil di sekitar Relong atau yang sudah merantau.
5.0 Kesan
daripada program penyedaran
Buat masa
kini Pak Itam Mat telah berjaya membina terembe tulisan rumi yang menjadi
rujukan kepada mereka yang ingin mengetahui jalur keturunannya. Manakala minat
sebahagian dari kita sentiasa meningkat dari masa ke masa yang dapat ditandai
dengan bertambahnya mereka yang menziarahi Pak Itam Mat untuk mengetahui
terembe itu.
Ada pun
terembe yang ada itu belum lengkap dan terkemas kini, kerana setiap masa ada
penambahan kepada jalur keturunan. Adalah sukar hendak memasukkan semua
keturunan Tok Linggi pada sehelai kertas. Oleh itu digalakkan setiap keluarga
mengadakan majlis penerangan sendiri kepada saudara mara mereka dengan membina
tambahan kepada terembe induk yang ada.
Telah ada
beberapa keturunan membina sendiri tambahan kepada terembe itu, dan
menghebahkannya kepada kumpulan mereka, antara yang sudah siap mengadakan
ialah:
Keluarga Ibrahim Timah, yang membuat perjumpaan keluarga
mereka pada 23 Sept 2009
Majlis Tautan Kasih Husin Tekah yang mengadakan perjumpaan
pada 3 Sept 2011
Perhimpunan Keluarga Hamisah Bakar pada 20 Ogos 2012
Manakala keluarga Ibrahim Shah telah menyediakan terembe
tambahan mereka sendiri.
Keturunan Mahudin telah meng upload terembe keluarga mereka
dalam blog, http/ainhizcom.blogspot.com
Apa yang menarik dan bersifat semasa ialah adanya usaha
membuat face book dikalangan cucu cicit Tok Linggi bagi meraih kesedaran kepada
semua. Sembang-sembang buku muka ini sangat sesuai dalam mencari susur galur
sendiri dan dapat juga mengerat silaturrahim antara kita.
Selain itu perjumpaan tahunan sempena kehadiran Syawal
setiap tahun juga dapat menambah peluang dan ruang untuk menghebahkan tentang
terembe Tok Linggi. Perjumpaan seperti hari ini sudah pasti dapat mengeratkan
siliturrahim, saling perkenalan dan menambah jaringan terutama dikalangan cucu
cicit yang merantau di sesuatu lokaliti yang bersifat metripolitan.
Kalau
wujudnya terembe boleh menjadi daya pengikat antara keturunan Tok Linggi, maka
silaturrahim yang terbina wajarlah ditambah maknanya dengan usaha mempelbagai
wadah dan jaringan. Untuk itu satu data base perlu dibina. Data base dalam
berbagai aspek seperti; business, pendidikan, perkhidmatan, sosial dan politik
perlu dibina. Selepas itu perlu ada jaringan dan pertemuan.
Antara
data base yang perlu dibuat ialah mendaftarkan kemahiran dan kepakaran cucu
cicit Tok Linggi dalam berbagai bidang. Saya bersama-sama saudara Abd Hamed
Akob dan Haji Zahari Haji Uda insya Allah akan mendaftarkan graduan anak Relong
dan menerbitkan abstrak kertas projek tahun akhir setiap graduan dalam jangka
waktu yang terdekat.
Bagi memastikan kesinambungan usaha mengekalkan terembe ini
kita perlu juga melatih mereka yang mampu mensurahkan terembe secara lisan
seperti yang boleh dibuat oleh Kak Hawa Salim disamping mengemaskini terembe
bertulis. Walau bagaimana pun terembe bertulis jawi yang asal mesti juga
difahami oleh generasi masa kini.
Satu kebijaksanaan yang perlu dilihat pada terembe ini ialah
bentuknya seperti ‘peta minda’ yang bermula di tengah dan memancar keseluruh
arah merupakan satu idea yang unik. Ini bermakna Imam Talib bin Usoh,orang yang
memulakan penulisan terembe ini adalah orang yang genious atau dia mewarisi
kebolehan ini dari satu warisan yang berpusat di istana. Perkara ini boleh
dibahas secara terperinci.
WARGA TUA DIHORMATI WARGA MUDA DIKASIHI.
Saya sebagai orang yang memulakan proses mengguna semula
terembe sejak 2001 dahulu terasa sangat gembira dengan sambutan dari generasi
muda yang menganjurkan perkara ini. Terima kasih kepada Dato Zohari Haji Akob
dan seluruh keluarga dan kerabatnya yang memberikan sokongan semenjak awal
dahulu dan kepada waris-waris yang sangat membantu menjadikan terembe ini satu
fenomena dikalangan waris tok linggi.
Rujuk:
http://www.facebook.com/groups/warislinggi/