responsif teks foto

Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan

Khamis, 23 Oktober 2025

Pawang Nong atau Haji Nong Taib


Pawang Nong, atau nama sebenarnya Haji Nong Taib bin Santan, merupakan antara tokoh terkenal dalam sejarah dan legenda negeri Pahang. Beliau dilahirkan pada tahun 1874 di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Benta, Kuala Lipis, dan hidup sehingga berusia lebih seratus tahun. Kehidupannya yang panjang, disertai dengan jasa dan kebijaksanaan yang diwariskan kepada masyarakat, menjadikan beliau bukan sekadar seorang pawang, tetapi juga seorang pemimpin, perawat, dan pejuang yang dihormati hingga kini.


Sejak muda, Pawang Nong dikenali sebagai seorang yang berilmu dan memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang tradisi Melayu, termasuk pengubatan, silat dan ilmu kebatinan. Beliau memulakan kehidupan di Ulu Cheka setelah membuka kampung itu bersama tujuh sahabatnya sekitar tahun 1907 dengan kebenaran Sultan Pahang. Kampung Ulu Cheka yang terletak di Jerantut kemudiannya menjadi tempat beliau menetap, membina keluarga, dan menabur bakti kepada masyarakat. Beliau dilantik sebagai Ketua Kampung Ulu Cheka dari tahun 1926 hingga 1966 serta menjadi pengasas kepada Masjid Kampung Ulu Cheka yang masih berdiri hingga kini.


Sebagai seorang pawang dan tokoh masyarakat, beliau sering menjadi tempat rujukan orang ramai yang datang dari jauh untuk mendapatkan rawatan penyakit menggunakan kaedah tradisional Melayu. Selain itu, beliau juga seorang guru silat yang disegani dan mengajar ramai murid dalam ilmu pertahanan diri. Dalam masa yang sama, beliau sentiasa menjaga hubungan baik dengan istana Pahang dan pernah dianugerahkan gelaran Pawang Diraja oleh Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Muazzam Shah sebagai menghargai jasanya kepada negeri.


Peranan Pawang Nong semakin terserlah ketika negara melalui zaman sukar seperti pendudukan Jepun dan darurat komunis. Dalam era penjajahan Jepun, beliau dikatakan memagar Kampung Ulu Cheka dan Kampung Damak agar tentera Jepun tidak dapat melihat atau menjejakinya. Cerita ini menjadi sebahagian daripada warisan lisan masyarakat setempat yang menggambarkan kehebatan ilmunya. Ketika ancaman komunis pula, beliau menubuhkan pasukan Home Guard untuk mempertahankan kampung daripada serangan musuh. Beliau turut terlibat dalam beberapa pertempuran besar seperti di Perlok, Kuala Terbol dan Bukit Batu.


Atas jasa dan keberaniannya, beliau menerima pelbagai pengiktirafan daripada kerajaan negeri dan persekutuan seperti British Empire Medal (BEM), Ahli Mangku Negara (AMN), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) serta Pingat Kelakuan Terpuji (PKT). Pengiktirafan ini membuktikan bahawa Pawang Nong bukan sekadar tokoh rakyat biasa, tetapi seorang pejuang yang memberi sumbangan besar kepada keamanan dan keselamatan negeri Pahang.


Selain kisah perjuangan, kehidupan beliau turut diselubungi cerita-cerita menarik yang diwariskan secara lisan. Antara kisah yang sering disebut ialah tentang keberanian dan kekebalannya — dikatakan beliau pernah ditembak namun peluru hanya menembusi poket bajunya tanpa mencederakan tubuhnya. Ada juga kisah beliau berjaya menumpaskan gangguan makhluk halus seperti “orang minyak” yang pernah menggemparkan penduduk kampung pada suatu masa dahulu. Walaupun kisah-kisah ini sukar dibuktikan secara sejarah, ia tetap memperlihatkan betapa besarnya pengaruh dan penghormatan masyarakat terhadap beliau.


Pawang Nong meninggal dunia pada 10 November 1977 di Kampung Ulu Cheka pada usia sekitar 103 tahun. Jenazahnya dikebumikan di perkarangan Masjid Ulu Cheka, berhampiran tempat beliau berkhidmat sepanjang hayatnya. Sebagai mengenang jasanya, sebuah galeri khas dinamakan Galeri Warisan Pawang Nong telah dibina di kampung tersebut bagi memelihara artifak dan cerita perjuangan beliau. Selain itu, nama beliau turut diabadikan pada Sekolah Kebangsaan Pawang Nong sebagai simbol penghormatan kepada tokoh yang banyak berjasa kepada negeri

Khamis, 20 Julai 2023

Program 'Semarak' di Sik Kedah.

 

Program SEMARAK di Sik

Program Semarak telah dilancarkan pada era Perdana Menteri Malaysia , Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987. Semarak bermaksud 'Setia Bersama Rakyat'. 

Semarak digerakkan oleh Dato' Mohamed Rahmat selaku Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung UMNO. Tun Dr Mahathir Mohamad pusing keliling Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan semangat cintakan negara. Antara lain , Dr Firdaus Abdullah dan Fuzi Hadi akan membacakan sajak-sajak tentang patriotisme dan perjuangan Dato' Maharaja Lela di Pasir Salak.

Masalah politik ketika itu ialah Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 yang 'mewajibkan' Yang di-Pertuan Agong menandatangani apa-apa keputusan Dewan Rakyat. Ia ada kaitan dengan politik UMNO dan pemecatan Tun Salleh Abas.

Beliau menjadi Setiausaha Agung UMNO dari tahun 1988 hingga 1996. Dr. Mahathir Mohamad melantik beliau selepas UMNO diharamkan pada 1988. Ketika ini Dato Mohamed telah memulihkan semula nama UMNO Baru dan kepimpinan Dr Mahathir melalui program Setia. 

Program ini dilancarkan selepas kejayaan program Semarak yang lalu. Setiap rakyat mestilah setia kepada kerajaan dan pemerintahan negara. Secara tidak langsung setia kepada Barisan Nasional dan UMNO. Program ini telah dilancarkan di Angkasapuri,Kuala Lumpur.


Selasa, 20 Jun 2023

Sewaan Pulau Pinang telah lama terbatal

 


Pakar sejarah, Profesor Datuk Ramlah Adam menjelaskan, isu sewaan Pulau Pinang telah terbatal sebaik sahaja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ​​ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan wakil British, Sir Edward Gent.

Menurutnya, berdasarkan sejarah dan surat perjanjian pada tahun 1786, Francis Light hanya menyewa kepada Kedah dan ia dibayar secara tahunan.

“Bagaimanapun, selepas Pulau Pinang dikuasai oleh British, ia sudah menjadi satu perkara yang sah dan sewaan diteruskan sehingga terbentuknya PPTM 1948.

“Menerusi perjanjian tersebut, Pulau Pinang telah dimasukkan ke dalam PPTM sebagai negeri bebas daripada jajahan takluk British.


Apabila kita merdeka, sekali lagi perjanjian di antara British dan Pulau Pinang dibuat menjadikan negeri itu berdaulat.

“Jadi sebaik sahaja negeri itu ada kedaulatan rasmi, secara tidak langsung isu sewaan di antara Pulau Pinang dan Kedah tidak lagi timbul dan terbatal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Pada Isnin, media melaporkan, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanyalah dipajak perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.

Sultan Sallehuddin bertitah, bagaimanapun, perbincangan mengenai perkara ini haruslah disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.

Mengulas lanjut, Ramlah berkata, sudah menjadi lumrah apabila satu perjanjian baharu dibuat, maka persetujuan terdahulu itu secara automatik terbatal.

Tambah beliau, sewaktu membentuk Malaysia, Pulau Pinang dianggap sebagai salah satu negeri yang berdaulat walaupun tiada raja memerintah.

“Sebaik sahaja negara mencapai kemerdekaan, British melepaskan Pulau Pinang melalui surat penyerahan semula kepada orang tempatan (penduduk Pulau Pinang) dan menjadikan gabenor sebagai ketua mereka.

“Sejarah yang terjadi sebelum PPTM 1948, PPTM 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963 tidak boleh berlaku semula dan akan kekal menjadi kisah lampau,” ujarnya. 

Kredit : Sinar Harian

Apa kata Dato' Zaharin



Selasa, 28 Jun 2022

Orang Melayu Pantai Timur mengikut pandangan Hugh Clifford


Sir Hugh Clifford 

Clifford adalah Residen di Pahang dan beliau menceritakan tentang negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Walaupun negeri-negeri ini berdekatan tetapi rakyat negeri-negeri ini jauh berbeza, sama ada dari segi rupa, pakaian, dialek, watak mahupun adat resam.

Orang Pahang, mengikut Clifford, hanya menggunakan fikiran dan minda mereka untuk mencari jalan berkelahi, bergaduh, berasmara dan bercumbu dan berjudi, yang mereka tahu dan sedar dilarang sama sekali oleh agama Islam.

Orang Pahang, jelasnya, adalah seorang penyabung ayam dan pejudi yang sering terlibat dalam pergaduhan. Dia mempunyai perasaan bangga dirinya, bangsanya dan negaranya. Dia kurang arif, kurang agama dan kurang daya keintelektualannya sehingga dibuat orang Melayu lain bidalan tentang mereka:

  • kecek anak Melaka;
  • bual anak Minangkabau;
  • tipu anak Rembau;
  • bidaah anak Terengganu;
  • penakut anak Singapura;
  • pencelok anak Kelantan
  • dan sombong anak Pahang.

Namun demikian, orang Pahang juga banyak kualiti yang baik. Mereka jantan dan berani mati. Kelemahan mereka adalah di permukaan sahaja dan mereka jarang mahu menyurukkan kelemahan ini. Mereka sombong! Mereka berpakaian segak dan sebagai kaki judi sering boros. Mereka juga suka bertindak mengikut nafsu tanpa berfikir panjang tentang hasil atau kesan tindakan mereka. Mereka juga amat taat dan setia kepada Raja. Begitu juga taat setia mereka kepada seseorang atau sesiapa yang dipercayainya, tidak berbelah bagi.

Hubungan ini adalah berasaskan saling mempercayai di antara satu sama lain. Mereka sentiasa bergembira dan suka melawak dan berjenaka dan bahan ketawa mereka adalah orang lain (suka mengusik dan mempermainkan orang lain).

Mereka tidak suka membaca atau bekerja. Mereka juga tidak boleh dipaksa membaca Quran. Mereka juga hanya akan sembahyang setelah dipaksa. Mereka menghadiri sembahyang Jumaat kerana takut kena denda.

Kalau boleh orang Melayu tidak mahu bekerja dan tidak akan melakukan sebarang kerja walapun dibayar gaji atau upah yang tinggi dan lumayan. Dia akan melakukannya (kerja) apabila dia dikerah, iaitu atas permintaan dan suruhan orang-orang besar ataupun raja. Kerja-kerja kerah tidak dibayar upah dan di dalam kebanyakan kes mereka terpaksa membawa makanan sendiri.

Kerja Raja dikelek sedangkan kerja sendiri diabaikan. Mereka akan mengerjakan kerja-kerja kerahan ini tanpa sebarang rungutan seolah-olah itu adalah tugas hakiki mereka. Clifford melihat ini sebagai satu sifat yang bertentangan dengan jiwa orang Melayu itu. Dari satu segi, secara sukarelanya, orang Melayu malas bekerja walaupun ganjaran yang dibayar lumayan tetapi dari satu segi yang lain dia sanggup pula dipaksa bekerja dan menyerahkan tenaganya secara percuma.

Orang Terengganu pula jauh berbeza daripada orang Pahang. Paling utama, mereka sukakan keamanan dan keharmonian. Kegiatan dan minat mereka ialah kepada perniagaan dan perdagangan. Apa yang mereka mahu ialah kebenaran dan kebebasan untuk mencari rezeki tanpa diganggu. Namun demikian, mereka tidak menunjukkan sikap taksub dan taat setia membabi buta seperti yang ditunjukkan oleh orang Pahang, yang akhirnya (iaitu orang Pahang) terpaksa menanggung bermacam kerenah, helah dan juga bencana dari Raja dan kerabat Diraja mereka sendiri.

Bagi Clifford, orang Terengganu hanya berminat untuk belajar, berdagang dan bertukang. Sejak kecil lagi dia dibesarkan dalam suasana buku, duit dan tawar menawar perniagaan dan perdagangan.

Dikatakan dia tahu memuji dan mengangkat tinggi nilai dan mutu barang-barang yang hendak dijualnya dan menawar atau menurunkan harga barangan yang hendak dibelinya sebaik sahaja dia pandai bercakap.

Orang Terengganu dilahirkan dalam dunia perniagaan dan perdagangan. Dia boleh dan sanggup berbohong semasa berniaga, tanpa segan dan silu ataupun malu sehingga mereka terkenal ataupun dikenali sebagai pembohong yang paling terkenal di Tanah Melayu.

Sekiranya seorang kanak-kanak Pahang dibesarkan dalam suasana perang atau khabar angin tentang peperangan, dan dia pula akan bercita-cita apabila besar nanti mahu menjadi seorang pahlawan terbilang, tetapi berlainan pula dengan kanak-kanak Terengganu.

Walaupun lelaki Terengganu memakai senjata tetapi dia kurang tangkas menggunakan senjata tersebut. Keris yang dipakai hanya sebagai pelengkap pakaian lelaki sahaja. Keadaan ini berlaku kerana masyarakat Terengganu memberi sanjungan yang lebih dan memandang tinggi mereka yang berpendidikan atau yang mempunyai kemahiran-kemahiran yang tertentu. Jelasnya orang Terengganu memuliakan mereka yang berpelajaran dan berilmu sama ada yang menguntungkan mereka di dunia mahupun akhirat.

Bagi Clifford, orang lelaki Terengganu dibesarkan sebagai pengecut tetapi mereka tidak mahu mengakui hakikat ini. Pandangan Clifford ini mungkin tidak adil kerana mencintai keamanan dan tidak suka bergaduh bukanlah sifat orang yang pengecut. Sebaliknya ia menggambarkan seseorang yang ingin tinggal di dalam sebuah masyarakat yang madani.

Walau bagaimanapun prestasi dan imej orang Melayu Terengganu adalah lebih baik dari orang Melayu lain, bukan sahaja di Pantai Timur tetapi juga di Semenanjung Tanah Melayu. Umumnya, seseorang anak Terengganu itu telah tamat membaca Quran sebelum akil baligh lagi. Pada masa yang sama mereka juga tahu menulis dan membaca jawi. Jadi masyarakat Terengganu adalah masyarakat yang mementingkan ilmu.

Namun demikian, orang Terengganu lebih terkenal kerana kemahiran mereka dalam bidang kraftangan. Hasil tangan seperti barangan tembaga, senjata dan juga pertukangan kayu mereka adalah yang terbaik, tercantik dan terhalus di kalangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Begitu juga dengan hasil tenunan kain dan songket mereka.

Mereka juga dikatakan pandai membuat barang-barang tiruan, contohnya, serban yang diekspot setiap tahun ke Mekah dan dijual di sana sebagai barangan tempatan yang dihasilkan oleh Arab Saudi sendiri.

Dari segi pakaian, pakaian orang Terengganu jauh berbeza dari orang Pahang. Kita boleh kenal orang Terengganu sebelum dia membuka mulutnya. Walau bagaimanapun Clifford tidak menjelaskan apakah yang dimaksudkannya. Namun begitu, sekiranya kita hendak buat andaian mungkin pakaian orang Terengganu itu lebih kemas sesuai dengan kerja mereka sebagai peniaga dan pedagang.

Orang Kelantan juga mempunyai ciri-ciri mereka tersendiri. Bagi mereka yang berjumpa dengan orang Kelantan buat kali pertamanya mungkin tidak akan faham tentang tutur-katanya. Orang Kelantan juga tidak faham bahasa orang lain kecuali dialeknya sendiri. Rupa atau paras orang Kelantan serupa sahaja; tidak begitu bersih baik dari segi rupa mahupun perangai.

Walau bagaimanapun dia mempunyai temperamen yang baik dan sentiasa bergembira. Orang Kelantan kuat dan gagah. Mengikut Clifford, ada orang Kelantan yang boleh memecahkan pintu dengan kepalanya. Contohnya, seorang lelaki yang diberi gelaran Awang Kepala Keras. Selain itu, dia juga boleh memikul beban yang berat, mengayuh perahu untuk beberapa jam dan boleh melakukan kerja lebih dari orang Melayu lain.

Tingkahlaku orang Kelantan agak kasar dan tidak sensitif seperti orang Melayu lain. Mereka kurang prihatin terhadap perasaan orang lain. Orang Kelantan berani tetapi beraninya membabi buta tanpa memikirkan akan bahaya yang mungkin dihadapi. Bagi masyarakat lain di Pantai Timur (orang Pahang dan Terengganu) watak baik orang Kelantan ditenggelami oleh reputasi orang Kelantan sebagai pencuri, perompak atau penceluk.

Semasa merompak mereka dikatakan menggunakan senjata tajam yang dikenali sebagai parang jengok.

Perempuan Kelantan lebih menonjol dari wanita-wanita lain di Tanah Melayu. Mereka sering kelihatan di pasar sama ada meniaga atau membeli. Mereka senang bertutur mesra dengan semua orang dan tidak menunjukkan sifat-sifat malu yang lazim ditunjukkan oleh perempuan Melayu yang lain.

Ada kalanya kemesraan mereka khusus dengan pelanggan lelaki bersifat `flirtatious’ atau kemanja-manjaan. Di Kelantan, lelaki dan perempuan, lain cara berpakaian mereka jika dibandingkan dengan orang Melayu lain. Orang lelaki Kelantan tidak memakai baju atau seluar sebaliknya mereka lebih selesa memakai sarung. Kain sarung diikat singkat hingga ke lutut dan apabila duduk lutut mereka terdedah.

Orang perempuan Kelantan pula suka berkemban dan bahagian bahu dan dada sering terdedah. Cara berpakaian begini membuat orang lain menganggap orang Kelantan tidak beradat dan beradab sopan.

Sebelum tahun 1888 orang Kelantan takut ke Pahang kerana orang Pahang menganggap orang Kelantan itu hanya layak untuk menajamkan matakerisnya sahaja. Dalam perkataan lain orang Kelantan itu baik dibunuh sahaja. Seperti orang Melayu lain di Pantai Timur, orang Kelantan juga suka berjudi sama ada berlaga ayam, kambing atau kerbau.

Pada keseluruhannya bagaimanakah agaknya cara hidup orang Pantai Timur?

Mengikut Clifford, di Kelantan, Terengganu dan Pahang, cara hidup mereka hampir serupa. Di kawasan pendalaman rakyatnya lebih lurus dan amanah, lebih rajin, mengalami prubahan yang sedikit dan hidup mereka sehari-hari berkisar kepada saraan hidup semata-mata. Mereka juga cepat tua. Mereka bangun pagi, bekerja atau rehat pada waktu siang dan tidur sebaik sahaja hari malam.

Hidup mereka mudah dan sudah pasti membosankan. Hidup mereka sederhana dan kebanyakan mereka tidak mampu untuk kahwin lebih dari satu. Penduduk yang tinggal di tepi pantai pula berbeza. Gosip dari istana, cerita-cerita tentang keberanian pahlawan, perbincangan tentang ilmu dan sebagainya memenuhi masa hidup mereka.

Bagi golongan remaja lelaki, dayang-dayang dan gundek-gundek Raja keadaan dan pergaulan yang bebas menambahkan lagi kenakalan remaja mereka. Walaupun risikonya tinggi, golongan remaja ini jarang-jarang mahu melepaskan peluang tersebut. Mereka yang didapati berkendak dengan gundek Raja bolah dihukum bunuh.

Rujuk :

“The Pople of the East-Coast” dalam buku, In Court and Kampung.


Rabu, 1 Jun 2022

Kereta api pertama di Tanah Melayu

 


Hari ini 137 tahun yang lalu, laluan kereta api pertama di Tanah Melayu dibuka, menghubungkan Taiping dengan Port Weld (Kuala Sepetang).

Kerja-kerja pembinaannya bermula pada 1881 dibiayai oleh kerajaan British Perak dengan kos keseluruhan $7,000. Ianya sepanjang 8.25 batu (13.28km), dibina untuk mengangkut bijih timah dari lombong-lombong di Taiping ke pekan pelabuhan Port Weld.

Pembinaannya berdepan cabaran antaranya peruntukan tidak mencukupi serta keadaan muka bumi yang berpaya & terpaksa ditambak dengan tanah yang diangkut dari Taiping. Apabila siap, ia dirasmikan oleh Residen British Perak ke-4, Hugh Low.

Kemudian beberapa laluan dibina di serata Tanah Melayu. Menjelang hujung kurun ke-19, sekurang-kurangnya ada 6 laluan berasingan antaranya di Muar, Selangor (Klang-KL), Sungai Ujong (Seremban-P.Dickson), Province Wellesley (Prai-B.Mertajam) & Singapura.

Pada 1901, semua perkhidmatan kereta api digabungkan di bawah satu pentadbiran iaitu Kereta Api Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (KNMB). Sistem kereta api di Negeri-Negeri Selat (Melaka & Singapura) diserap masuk ke dalam gabungan itu pada 1905.

Ketika pendudukan Jepun, banyak laluan cawangan kecil ditutup & dibongkar untuk digunakan untuk pembinaan laluan kereta api Siam-Burma. Selepas perang, laluan yang terputus dibaiki semula & KNMB ditukar nama kepada Keretapi Tanah Melayu (KTM) pada 1948.

Lokomotif diesel elektrik mula digunakan pada Julai 1957 menggantikan lokomotif stim secara beransur hingga yang terakhir beroperasi pada 1974. Pada 1972, laluan bersejarah Taiping-Port Weld ditutup apabila laluan baharu dibina.

Apabila Akta Kereta Api 1991 diluluskan sebagai langkah mengkorporatkan perkhidmatan kereta api di negara ini, KTM mula dikenali secara rasmi sebagai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 1 Ogos 1992.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, KTMB

Ahad, 12 Disember 2021

Seni bina Rumah berumur 80 tahun

 


Rumah Buruk ini dibina pada tahun 1939 mengunakan kayu yang dibuat sendiri dengan mengunakan pahat , gergaji dan beliung oleh Aki Mahamud bersama dengan Aki Daa. Ianya siap pada tahun 1941 sama dengan tarikh kemasukan Jepun ke tanah Melayu. Pernah ditumpangi sejenak oleh keluarga Orang Kaya Perba Jelai Wan Ali bin Wan Chik (1935-1957)semasa Jepun ingin mengebom sekitar Lipis.

Rumah kayu ni sejuk . Nak-nak lagi pada waktu tengah malam, pehhh kalah rumah berhawa dingin. merekot kesejukan kalau tak ada selimut. Sebabnya, rumah kayu ada banyak laluan angin. Papan lantai rumah ada sedikit ruang. Atas tingkap ada lubang angin. Bumbung pula kebiasaannya berlapis. Kalau tidak pun, mesti ada lubang angin.

Kenapa?

Sebab haba (angin panas) bergerak dari bawah ke atas. Bila ada banyak lubang angin, haba ada laluan untuk keluar. Sebab itu, kalau rumah ada siling tinggi rasa kurang panas berbanding dengan rumah bersiling rendah. Paling menarik rumah ini walaupun tingkap kecil tapi bila dibuka dalam rumah sangat terang walaupun tidak dihidupkan lampu.


Tuan Rumah Pertama  Aki Mahmud -Saudah


Tuan Rumah Generasi Ke-2


Aki Daa Tukamg Rumah ini


Pinggan yang digunakan dirumah ini.

Potong Padi



Pernah dihempap pokok durian


Bila musim durian di rumah buruk


semuanya malas bila kena  buat tempoyak


Aktiviti di zaman dulu hanya tinggal kenangan


Majlis pernikahan yang berlangsung di rumah ini. 1974

Kaum kerabat 



Nama moyang-moyang kami








Rabu, 24 November 2021

Disebalik Banjaran Titiwangsa



Peninggalan rahsia sang penjajah di sebalik Banjaran Titiwangsa

PERNAH diceritakan secara lisan sekitar tahun 1760, terdapat satu operasi rahsia yag dijalankan penjajah Inggeris di sekitar Banjaran Titiwangsa.

Operasi tersebut merupakan aktiviti perlombongan haram yang disembunyikan daripada pengetahuan awam bagi mengelakkan cukai serta perebutan di kalangan pembesar Melayu terhadap lombong emas yang ditemui itu.

Lokasi tersebut juga menjadi pintu rahsia untuk menyeludup keluar emas dari negeri Pahang tanpa membayar cukai. Malahan, hasil bumi seperti bijih timah dan sumber hutan yang ada di sekeliling kawasan Kuala Kubu juga turut dikaut oleh mereka.

Melalui kisah lisan sejarah lampau itu, kami dahulu pernah menemui mereka yang pernah menyelongkar kaki Banjaran Titiwangsa untuk mengesan tinggalan tapak perlombongan rahsia itu.

Salah seorang yang kami temui ketika itu ialah lelaki bernama Abdul Rahim, yang menceritakan bahawa tapak lombong itu pernah ditemui oleh dua orang penduduk Kuala Kubu Bharu yang kebetulan lalu di situ ketika dalam perjalanan menandakan sempadan kawasan pembalakan untuk satu konsesi balak pada tahun 1981. Mereka dikenali sebagai arwah Aki Udang dan Pakcik Lili.




Bagaimanapun, ketika Abdul Rahim minta menunjukkan kedudukan lokasi itu secara tepat pada peta topografi, kedua-dua mereka tidak dapat mengingati denai yang membawa mereka ke situ.

Apa yang mereka dapat bantu adalah dengan memberikan gambar-gambar fotografi yang mereka ambil sewaktu berada di kawasan tersebut. Gambar itu termasuklah sebuah enjin stim lama yang dipercayai lokomotif yang digunakan untuk mengangkut hasil-hasil perlombongan itu.

Berbekalkan gambaran petunjuk yang ada, Abdul Rahim bersama empat rakannya telah memulakan ekspedisi di kaki Bukit Fraser. Perjalanan ekspedisi tersebut memakan masa selama enam hari akhirnya mendatangkan hasil apabila mereka berjaya menemui lokasi sebenar kawasan perlombongan itu.

Kata Abdul Rahim, mereka telah menemui sembilan bekas lokasi aktiviti perlombongan di mana salah satu kawasan tersebut merupakan kawasan lombong rahsia yang aktif suatu ketika dulu. Semua lokasi itu terletak tidak jauh dari kaki Gunung Rajah.

Abdul Rahim dan rakan-rakannya juga telah menemui pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan perlombongan. Juga terdapat banyak bangkai lokomotif yang berkemungkinan digunakan sebagai jentera untuk mengangkut keluar hasil lombong.

Dipercayai lokomotif berenjin stim ini juga digunakan sebagai generator yang dapat membekalkan tenaga elektrik dan juga mengepam oksigen ke dalam shaft lombong.

Menurut Abdul Rahim, jika diambil kira keadaan semasa, enjin tersebut berkemungkinan ditarik ke atas Bukit Fraser dengan menggunakan gajah.

Sebuah landasan mudah alih sejauh satu kilometer juga dibina bagi mengalihkan lokomotif ini ke kawasan perlombongan. Usaha ini dimulakan oleh James Louis Fraser sebelum beliau memulakan proses membina penempatan di situ sekitar 1890.

Terdapat satu tulisan yang bertarikh 1763 ditemui pada sebatang pokok berhampiran kawasan lombong itu yang membuktikan bahawa aktiviti perlombongan tersebut telah beroperasi selama 130 tahun sebelum kewujudan komuniti Bukit Fraser

Di situ juga mereka menemui sebuah empangan yang berkeluasan 100 kaki lebar dengan ketinggian 50 kaki. Ia digunakan sebagai punca bekalan air bersih selain membekalkan air untuk kegunaan lombong bijih timah dan juga aktiviti membersihkan bijih timah dan emas.

Cuba anda bayangkan, betapa bersistematik cara yang digunakan oleh penjajah ketika itu untuk mengaut hasil bumi di negara kita.

Kata Abdul Rahim lagi, mereka turut menemui terowong-terowong dan ada di antaranya sudah pun tertimbus. Berkemungkinan terowong ini bersambung ke negeri Pahang bagi tujuan penyeludupan emas dan bijih timah. Kemudian bagi menyembunyikan kegiatan ini daripada terbongkar, ia diletupkan.

Tidak jauh dari situ, terdapat dua buah menara pada ketinggian 3,600 hingga 3,700 kaki dari aras laut. Ia mungkin stesen kereta kabel yang digunakan untuk mengangkut keperluan para pelombong dan menghantar keluar hasil ke Bukit Fraser. Sebuah roda besar yang dipercayai sebagai gandar untuk menarik tali kabel juga ditemui di kawasan menara ini.

Selain itu, sebuah tapak yang mungkin dipercayai digunakan sebagai pejabat pengurusan perlombongan rahsia pada ketika itu juga dijumpai. Tapi sayangnya, hampir 90 peratus struktur binaannya telah musnah dan mereka tidak menjumpai apa-apa peninggalan yang penting milik Inggeris.

Berdasarkan penemuan kawasan lombong itu, dianggarkan hampir 15 ribu pekerja diperlukan untuk menjalankan operasi lombong rahsia ini.

Tidak pasti apakah bukti-bukti yang pernah ditemui Abdul Rahim ini suatu ketika dahulu masih boleh dilihat dengan jelas pada hari ini. Yang pasti, ia satu peninggalan dari kerakusan si penjajah menjarah hasil bumi kita suatu waktu dahulu.

Kredit : Utusan Malaysia


Isnin, 30 Ogos 2021

Bulan Merdeka

60 komando vs. 400 komunis (komando menang).


Operasi Gubir 2 (20 April - 3 Mei 1976)

Susulan kepada pertempuran dan serang hendap yang dilancarkan oleh pengganas komunis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil keputusan untuk melancarkan serangan balas terhadap musuh di sebuah kawasan yang disyaki kubu kuat mereka.

Dianggarkan 400 anggota pengganas berkubu di situ berserta dengan 3,600 jerangkap samar yang telah dipasang sekitarnya.

Operasi dirancang berdasarkan maklumat SEP (Surrendered Enemy Personnel) yang dikenali sebagai Abdullah. Dia mengatakan yang dia telah dilatih di sebuah kem di kawasan pergunungan berhanpiran sempadan Thailand.

Kem tersebut mampu menempatkan beberapa ratus pengganas komunis dan dilengkapi dengan generator elektrik dan juga mesin cetak. Bagaimanapun dia tidak dapat memastikan lokasi kem tersebut dengan tepat.

Seorang pegawai tentera mengatakan dia pernah nampak kawasan kebun sayur seperti yang dikatakan oleh Abdullah dan mahu beliau mengikutnya untuk mengecam kawasan tersebut.

Bagaimanapun Abdullah enggan kerana khuatir akan keselamatan dirinya. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk melakukan tinjauan dari udara.

🔸Formasi yang terlibat adalah seperti berikut:

  1. Markas 2 Divisyen Infantri - Mej. Jen Dato' Mahmood Sulaiman
  2. Markas 6 Briged Infantri - Brig. Jen. Dato' Arul Pragasam
  3. Rejimen Gerak Khas Malaysia (1 RGKM) - Lt. Kol Hasbullah Bon
  4. Markas Jurutera 2 Divisyen - Lt. Kol Mei York Chee
  5. No. 3 Skuadron Jurutera - Mej. Akhbar Khan
  6. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
  7. Kekuatan Pasukan Penggempur - X Skuadron, 1 RGKM (60 sukarela)
  8. Ketua Skuadron - Kapt. Sudirman Haji Ahmad
  9. Ketua Terup - Lt. Aziz Rashid & Lt. Azizan
  10. Anggota Lain - Lain Pangkat (LLP) - 57 orang
🔶 Kekuatan Detasmen Jurutera - Gabungan 1 & 2 Terup, 3 Skuadron Jurutera

  1.  Ketua - Lt. M Basri (23 April hingga 25 April 1976) diambilalih Lt. M Mior Safian
  2.  LLP - 18 anggota
    Tugasan Utama Jurutera - membantu pasukan komando RGK

  1. Membina tempat mendarat helikopter
  2. Membersihkan jerangkap samar
 Serangan Udara

Pada 16 April 1976, jet-jet CL-41G Tebuan dari No.6 Skuadron dan F5E Tiger II dari No.12 Skuadron TUDM telah terlibat dalam melakukan serangan udara.

Beberapa jet Tebuan dilengkapi dengan minigun dan roket manakala sebahagian lagi membawa bom-bom 500 lbs.

Helikopter Allouette bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) untuk menandakan sasaran.

Serangan pertama tidak memberi banyak kesan kerana kawasan hutan tebal cukup memberi perlindungan kepada sasaran.

Bagaimanapun serangan bertubi-tubi itu akhirnya berjaya membuatkan sebahagian besar pengganas komunis berundur ke sempadan Thailand melalui terowong khas yang telah mereka bina.

Laporan yang diterima keesokkannya menunjukkan terdapat kesan-kesan darah dikawasan sasaran.

 Pendaratan Pasukan Penggempur.

Percubaan pertama gagal kerana mereka diserang terlebih dahulu oleh penganas komunis. Percubaan kali ke-2 diiringi oleh helikopter gunship Allouette.

Anggota-anggota komando Gerakhas (RGK) menggunakan 3 buah helikopter Nuri untuk masuk ke kawasan sasaran.

Ini adalah satu-satunya cara 'insertion' kerana kawasan sekitar telah dipasang banyak jerangkap samar.

Helikopter ke-2 mula-mula menurunkan anggota, bagaimanapun teknik rapelling tidak dapat dilakukan kerana tali tersangkut dipokok.

Kaedah winching (menggunakan kabel yang dijana mesin) kemudian digunakan.

Bagaimanapun, kedatangan mereka disedari oleh pasukan musuh. Pengganas komunis menembak helikopter dengan pelancar grened M79 tetapi tersasar mengenai pokok.

Pertempuran berlangsung selama kira-kira setengan jam. Kedudukan tersebut akhirnya berjaya ditawan oleh RGK tetapi memakan korban dengan 11 anggota RGK terbunuh, manakala 22 pengganas komunis dapat dibunuh.

Mereka meneruskan pembersihan jerangkap samar dikawasan laluan dan menyediakan Landing Point (LP) untuk pendaratan anggota jurutera yang akan meneruskan kerja-kerja memusnahkan jerangkap samar serta membuat penyiasatan dan kajian lanjut keatas terowong yang ditemui.

Dalam proses pengeledahan dan pembersihan 3 anggota cedera RGK telah tercedera terkena jerangkap samar, mereka ialah:


  1. Sarjan Ahmad Jantan - cedera parah di kaki
  2. Truper Yaacob Hassan - cedera parah di kaki
  3. Truper Hussin Mahbeb - cedera parah di tangan

Pembersihan Dalam Terowong

Pembersihan di dalam terowong diteruskan pada 25 April 1976. Laluan dalam terowong yang telah dibersihkan dari jerangkap samar akan diletupkan.

Tugas ini dilaksanakan oleh Terup 1 dan Terup 2 dari 3 Skuadron Jurutera.

Ketika di dalam terowong, team yang diketuai oleh Lt. Meor telah berada jauh dihadapan. Lt. M Basri dengan ditemani L/Kpl. Abdullah pula menuruni 31 anak tangga didalam terowong tersebut. Mereka menggunakan lampu suluh kerana suasana di dalam terowong itu agak gelap.

Ketika itu Lt. M Basri terlihat satu guni beras yang diletakkan di sebelah kiri laluan dan mengesyaki terdapat jerangkap samar di situ. Beliau mengarahkan anggota-anggota lain mengikuti rapat di sebelah kanan.

Sebaik saja Lt. Muda Basri melangkah kakinya ke kanan, tiba-tiba berlaku satu letupan kuat. Dia rebah dan senjata yang dibawanya terpelanting. Dia telah mengalami kecederaan di punggung. Ketika itu juga L/Kpl. Abdullah menjerit memberitahu bahawa dia tercedera di bahagian dada.

Sememangnya jerangkap samar itu dipasang pada ketinggian yang menjadikan jantung sebagai sasaran. Beliau diusung naik keluar dari terowong dalam keadaan parah dan setibanya di permukaan, beliau menghembuskan nafas terakhir.

 Tragedi Nuri Ditembak Jatuh - 26 April 1976

Sebuah helikopter Nuri yang membawa bekalan peluru, bahan letupan (untuk memusnahkan terowong) dan juga 11 penumpang serta krew telah ditembak jatuh oleh pengganas komunis. Berikut adalah senarai mangsa yang terkorban didalam tragedi itu:


  1. Lt. (U) Chung Ming Teck PTU, No.10 Skuadron, Kapten helikopter
  2. Lt. (U) Wan Munsiff bin Wan Salim KPK, No.10 Skuadron, Co-pilot
  3. Sjn. Leong Yee Heng PTU, No.10 Skuadron, AQM
  4.  Kapt. (U) Choo Yeok Boo PGB, No.7 Skuadron (Kapten)
  5. Kapt. (U) Mustapha Kamal bin Mohamad Shafie KPK, No.7 Skuadron (Co-pilot)
  6. Mej. Haris bin Rejab, MMLO Haadyai
  7. Kapt Sulaiman bin Abdullah, 6 Briged Infantri
  8. Lt. Ibrahim bin Zakaria, Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
  9. Sjn Kamis bin Dolmat, Batalion ke-3 RAMD
  10. L/Kpl. Kamarulzaman bin Zakaria, X Skuadron Rejimen Gerakhas (RGK)
  11.  L/Kpl. Suandi bin Saim, X Skuadron RGK


Pada 27 April 1976, elemen jurutera dan sebahagian anggota komando dikeluarkan dari kubu pengganas tersebut setelah berjaya memusnahkan terowong dan bunker. Mereka bergerak menuju ke "extraction point".

Helikopter melakukan beberapa penerbangan ulang-alik sehinggalah ia disedari oleh sepasukan pengganas komunis. Penerbangan terpaksa dihentikan, baki 18 anggota komando RGK terpaksa ditinggalkan dan mereka diarah melakukan RV (rendezvous) disatu kawasan berhampiran LP (landing point) di mana sepasukan komando akan menanti ketibaan mereka untuk dibawa keluar.

The Great Escape

1 Mei 1976

Kumpulan 18 anggota komando itu diketuai oleh Lt. M Aziz Rashid (bersara Lt. Kol). Dianggarkan terdapat seramai 60 pengganas komunis mengepung lokasi mereka. Kawasan ini ditanam dengan anak pokok getah.

Pengganas komunis datang dengan menaiki lori. Lt. M Aziz memecahkan anggotanya kepada 3 kumpulan. Mereka diingatkan tidak menembak musuh kecuali kehadiran mereka sangat jelas kerana hendak menjimatkan peluru. Anehnya mereka tidak diserang pada malam itu.

Beliau sempat menghubungi Z Skuadron dan dia dimaklumkan helikopter Nuri tidak dapat mengambil mereka kerana lokasi didapati tidak selamat.

Seterusnya, beliau diarahkan untuk RV dengan sepasukan komando yang telah ditugaskan untuk menyelamatkan mereka.

2 Mei 1976

Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2 x helikopter Allouette (gunship) ke lokasi yang dilaporkan oleh Lt. M Aziz. Beliau telah mengarahkan Alouette tersebut menembak kekawasan tertentu yang dipercayai ada pengganas komunis.

Setiap helikopter menghamburkan 200 butir peluru meriam 20 mm HE (High Explosive). Lt. M Aziz dan anggotanya bergerak keluar tetapi tidak mengikut "track" yang sedia ada dikhuatiri ianya telah dipasang jerangkap samar.

Dalam perjalanan mereka menemui sebuah kem pengganas komunis yang telah ditinggalkan secara tergesa-gesa mungkin untuk menyelamatkan diri dari serangan helikopter Allouette tadi.

Menyedari yang musuh akan terus memburu mereka menjelang malam, Lt. M Aziz mengarahkan anggotanya membuat "rumah batu" (hammock juga digelar Jungle Hotel - Jungtel).

Ini bukan kebiasaan bagi anggota komando kerana mereka biasanya tidur berhamparkan ponco diatas tanah. Rupanya ini adalah umpan untuk mengelirukan pasukan musuh.

Mereka bergerak meninggalkan lokasi itu dan menuju ke kawasan tinggi untuk membuat serang hendap.Seperti malam sebelumnya, arahan jangan menembak kecuali kehadiran musuh jelas.

Selain itu anggota diingatkan kemungkinan pangganas komunis akan memasang lampu suluh pada hujung kayu panjang dan menyuluh ke arah atas untuk mengelirukan penembak.

Sebagaimana yang dijangkakan, memang benar musuh menghampiri kawasan khemah (Jungtel) mereka kerana kelihatan cahaya lampu suluh menghala keatas.

3 Mei 1976

Menjelang pagi mereka turun semula ke Jungtel dan mendapati banyak kesan tapak kaki disitu, dianggarkan kira-kira 40 pengganas komunis telah menggeledah kawasan itu.

Mereka meneruskan perjalan ke RV dan apabila tiba dikawasan sempadan Malaysia - Thailand terdapat tanda lakaran jerangkap samar yang dilekatkan pada 2-3 batang pokok.

Memang pengganas komunis akan meninggalkan tanda jika sesuatu kawasan itu telah dipasang jerangkap samar supaya kawan-kawan mereka akan menghindari kawasan tersebut.

Bagi mengelak dari terkena jerangkap samar, mereka mengikat 3 beg galas (haversack) dengan tali dan melontar ke arah laluan dihadapan.

Kemudian tali akan ditarik perlahan-lahan sekiranya ada jerangkap samar yang meletup, itu tidak akan memudaratkan mereka kerana mereka berada dalam jarak yang selamat.

Proses ini diulang sehinggalah mereka selamat tiba di kawasan RV. Sepasukan komando RGK dari Y Skuadron yang diketuai oleh Lt. M Rajasegaran telah menanti mereka. Inilah kali pertama dalam beberapa hari mereka berpeluang mendapatkan makanan.

Seterusnya mereka bergerak menuju ke LP dan diterbangkan oleh helikopter Nuri ke Kem Gubir. Ketika disana, Lt. M Aziz telah dimaklumkan pihak atasan telah menyediakan 18 keranda seandainya mereka tidak dapat kembali dengan selamat.

AL-FATIHAH BUAT PEJUANG TANAH AIR YANG GUGUR......

HAPUSKAN ANCAMAN PENGGANAS YANG MENGANCAM KESELAMATAN AGAMA, BANGSA DAN TANAH AIR.

Khamis, 1 Julai 2021

Kontroversi Khoo Kay Kim

 


SIRI TAHUKAH ANDA? 

Kenyataan kontroversi Tan Sri Khoo Kay Kim :

1. Satu aliran pendidikan di Malaysia sahaja
2. Komunis bukan pejuang kemerdekaan
3. Malaysia tidak pernah dijajah British sepenuhnya
4. Hang Tuah dan Hang Li Poh tidak pernah wujud
5. Tiada Pendatang di kalangan orang Malaysia

Kredit : Apek Cina 


Rabu, 16 Jun 2021

Perihal dan Peribadi Pahlawan Mat Kilau

 




Sejarah Ulama & Pahlawan Melayu Silam
  • Seorang yang pemarah, pemanas tetapi cepat pula sejuknya.
  • Sangat penyayang dan manja terhadap anak-anak dan cucunya.
  • Kuat beribadah.
  • Tidak melewat-lewatkan solat fardhu.
  • Sentiasa bangun malam dan solat malam.
  • Pandai berzanji, berdikir dan bermain gendang.
  • Handal bermain gasing dan sepak raga.
  • Zikir amalannya “Ya Latif”.
  • Tidak memilih makanan.
  • Tidak akan minum air kecuali selesai makan.
  • Jarang mendapat sakit teruk.
  • Kebiasaan waktu tidurnya selepas solat Isyak, dan bangun sebelum subuh.
  • Berpagi-pagi di atas rumput dan pokok untuk bermandi embun.
  • Pernah mengangkat seekor lembu yang jatuh di telaga hanya seorang diri.
  • Seorang yang alim, gurunya adalah Sheikh Usman Senik, Mufti Pahang Pertama.
Disediakan oleh: Ubadiah TV
Rujukan: Warisan Kepahlawanan Mat Kilau dan Kitab Amalannya, Prof Talib Samat.
Kredit : FB Muhammad Mubarak



Sabtu, 6 Mac 2021

Sejarah Kesultanan Pahang dari Dinasti Bendahara.


Pemerintahan Bendahara di negeri Pahang bermula dengan keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan berakhir apabila Bendahara Tun (Wan) Ahmad ibni Almarhum Bendahara Wan Ali diisytihar sebagai Sultan. Keturunan Bendahara berjaya menjadi Sultan akhirnya adalah akibat daripada pepecahan semasa pemerintahan Bendahara Ali, di mana kerajaan Johor-Pahang mulai berpecah antara Orang Besar Melayu dan Orang Besar Bugis serta kewujudan kuasa Inggeris-Belanda di Kepulauan Melayu. Justeru kerana itu, Bendahara Ali menguatkan kedudukannya di Pahang sebagai pemerintah pada tahun 1819 dan Temenggong pula berkuasa di Johor.

Kaitan-salasilah :  kesultanan Melaka Johor Pahang 

Bendahara Tun (Wan) Ali yang menggantikan ayahandanya Marhum Koris dalam tahun 1806, telah mangkat dalam tahun 1857 di Kampung Lamir, Pahang Tua. Puteranya Tun Ahmad bersemayam di Pulau Maulana. Tidak berapa lama selepas itu berlakulah perbalahan antara Tun Ahmad dengan Tun Mutakhir, kekandanya. Perang itu dikenali sebagai 'Perang Saudara'. Tun Ahmad akhirnya berjaya menewaskan kekandanya apabila hulubalang-hulubalangnya di bawah pimpinan Panglima Kakap Bahaman telah menewaskan kubu Tun Mutakhir. 

Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah.
Tun Ahmad diisytihar sebagai Bendahara dan berpindah dari Pulau Maulana ke Kuala Sungai Parit yang kini dikenali dengan nama Kampung Padang Polo.





Pada tahun 1881, jurutulis kepada Bendahara Ahmad, Encik Abdullah bin Hassan yang dikenali sebagai Encik Dollah Tulis dengan persetujuan Bendahara, telah meminda cap iaitu daripada 'Bendahara' kepada 'Sultan'. Atas sebab itu, pada 6 Ogos 1882, Tun Ahmad diisytihar sebagai Sultan Ahmad. Manakala pada 12 Disember 1884, Sultan Ahmad telah ditabalkan sebagai Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah. Dari tarikh itu juga anakanda-anakanda baginda dinaiktaraf kepada Tengku manakala isteri baginda, Cik Puan Bongsu kepada Tengku Ampuan.

Apabila Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah mangkat pada 9 Mei 1914, Yang Mulia Tengku Besar diisytiharkan sebagai Sultan Mahmud. Baginda pula mangkat di Rumah Rehat Kuala Pahang pada malam Selasa 19 Jun 1917. Tempat baginda diganti oleh adinda baginda, Yang Mulia Tengku Abdullah yang kemudiannya ditabal dengan gelaran Al-Mu’tasim Billah Al-Sultan Abdullah.

Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah
Baginda Sultan Abdullah dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Antaranya ialah Yang Mulia Tengku Abu Bakar. Dalam tahun 1925, Tengku Abu Bakar dikahwinkan dengan Raja Fatimah, puteri kepada Sultan Alang Iskandar Shah, Perak. Tidak berapa lama selepas perkahwinan Diraja itu dilangsungkan, Sultan Alang Iskandar Shah telah berunding dengan Sultan Abdullah untuk mendapatkan persetujuan kerajaan Inggeris supaya Sultan Abu Bakar dilantik sebagai ‘ganti raja’ menggantikan keputusan yang diambil semasa Yang Mulia Tengku Mahmud diisytiharkan sebagai Tengku Besar .

Setelah beberapa lama, dengan sokongan Pesuruhjaya Tinggi Sir Hugh Clifford, kerajaan Inggeris telah bersetuju supaya Putera Sulung Sultan yang memerintah dilantik sebagai Pengganti Raja, dengan gelaran Tengku Mahkota. Maka pada 10 Jun 1930, Yang Mulia Tengku Abu Bakar telah ditabal sebagai Tengku Mahkota Pahang yang pertama. Dengan usaha Pesuruhjaya Tinggi C. Clement, kerajaan Inggeris telah bersetuju agar putera Sultan yang kedua dilantik sebagai ‘Tengku Arif Bendahara’ dan putera ketiga sebagai ‘Tengku Arif Temenggong’.




Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah
Baginda Sultan Abdullah mangkat pada pukul 8.25 malam Rabu. 22 Jun 1932. Sebelum jenazah Almarhum meninggalkan Istana Kuning, Yang Teramat Mulia Tengku Abu Bakar telah diisytihar sebagai Sultan Pahang. Baginda ditabal dengan gelaran Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933. Baginda Sultan Abu Bakar mangkat pada pukul 12.45 pagi, Ahad 5 Mei, 1974 setelah 42 tahun berada di atas takhta kerajaan negeri Pahang.



Sultan Haji Ahmad Shah Al‑Musta’in Billah
Maka dengan itu, Yang Teramat Mulia Tengku Haji Ahmad Shah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar telah diisytiharkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada 7hb Mei 1974.

Pada 1944, ketika berusia 14 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang. Apabila peperangan tamat, baginda meneruskan pembelajaran baginda di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu.

Pada 1948, Sultan Haji Ahmad Shah meneruskan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Oxford. Baginda turut masuk ke University College, Exeter, Devon bagi kursus Pentadbiran Tempatan. Ketika menduduki kursus tersebut, baginda menjalani latihan di Majlis Daerah Perbandaran di Sidmouth untuk tiga tahun.

Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Baginda menyerahkan takhta kepada paduka putera baginda, Tengku Abdullah, selepas memerintah negeri ini hampir 45 tahun bagi membenarkan paduka putera baginda layak menjadi Yang di-Pertuan Agong yang baharu berikutan Sultan Muhammad V turun takhta

Pada 22 Mei 2019, Istana Pahang melaporkan Paduka Ayahanda telah kembali ke rahmatullah tepat jam 8:50 pagi di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur setelah gering sekian lama. Baginda dimakamkan bersebelahan pusara isteri Baginda, Tengku Ampuan Afzan di Makam Diraja Pahang, berdekatan dengan Masjid Abu Bakar di Pekan, Pahang.

Tengku Abdullah diputra pada 30 Julai 1959 di Pekan, Pahang. Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari 2019, kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 oleh Majlis Raja-raja pada 24 Januari 2019. Baginda sebelum ini menyandang jawatan Tengku Mahkota Pahang hampir 44 tahun. Pada tahun 2016, baginda telah dimasyhurkan sebagai Pemangku Raja Pahang setelah mendapat perkenan oleh Sultan Pahang.

Tengku Abdullah berkahwin dengan puteri ketiga Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar, iaitu Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac 1986 di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor. Baginda mempunyai enam cahaya mata bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah; empat putera dan dua puteri.


Baginda berkahwin buat kali kedua dengan Julia Rais yang merupakan bekas pelakon Malaysia dan mempunyai tiga cahaya mata; kesemuanya puteri.

Yang di-Pertuan Agong ke-16
Pada 24 Januari 2019, Majlis Raja-raja dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-251 telah berkenan memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-16. Baginda telah mengangkat sumpah jawatan bagi memulakan pemerintahan baginda di tampuk Persekutuan di Istana Negara pada 31 Januari 2019.

Sumber: Malaysia Ku Dulu Dulu 
               wikipedia.org



Sabtu, 13 Februari 2021

Kaitan Tok Linggi dengan Kesultanan Johor/Riau/Pahang

Sultan Johor ke-10- Sultan Mahmud Shah II (Raja Mahmud / 1685-1699)
(Mangkat Di Julang)


Sultan Mahmud Shah II ditabalkan menjadi sultan ketika berumur 10 tahun. Urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota Tinggi dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Di sinilah Temenggung menjaga Kota Johor Lama.

Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan disebut " Marhum Padang Saujana ". Pada 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat pada usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Laksamana Bentan dan disebut sebagai ‘Marhum Mangkat Di Julang’ atau ‘Marhum Kota Tinggi’.



Sultan Johor ke-11- Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil / 1699-1720)

Sultan Abdul Jalil IV ditabalkan sebagai Sultan kerana Sultan Mahmud Shah II tiada meninggalkan waris. Sultan Abdul Jalil IV merupakan sultan pertama dari keturunan Bendahara. Selepas bergelar Sultan Abdul Jalil IV, baginda menukar pusat pemerintahan ke Panchor pada tahun 1700. Pada tahun 1702, Istana di Bukit Tukul terbakar.

Pada tahun 1708, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke Riau dan menjadikan pusat pemerintahan kerajaan Johor. Pada tahun 1716, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke tanah besar Johor dan bersemayam di Panchor.

Sultan Abdul Jalil IV mempunyai istana di Makam Tauhid dan Johor Lama. Kota Johor Lama dibaiki dan digelar ‘Kota Lama’. Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, keadaan agak kucar-kacir kerana pembesar-pembesar kerajaan bersikap tamak, khianat dan cemburu ini memberi peluang kepada Raja Kecil menyerang Johor.

Pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak (Minangkabau) menyerang Johor. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang di Pertuan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, pun begitu masih membenarkan Sultan Abd Jalil IV menetap di Johor tetapi tiada kuasa memerintah.



Kemenangan Raja Kecil adalah atas bantuan pembesar Johor sendiri kerana yakin Raja Kecil adalah pewaris sultan. Raja Kecil menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang membunuh Sultan Abdul Jalil IV dan disebut ‘Marhum Mangkat di Kuala Pahang’


Sultan Johor ke-12-Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah(Raja Kecil)


Nama asalnya ialah Raja Kecil dan juga memakai gelaran Yang Dipertuan Johor dan seterusnya sebagai Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, Sultan Johor ke-12 pada 1718-1722. Raja Kecil merupakan orang Minangkabau, yang ingin merebut kuasa sultan dari Sultan Abdul Jalil IV dan 'mengaku' waris Sultan Mahmud Shah II yang sah.

Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, keadaan agak kucar kacir kerana pembesar-pembesar kerajaan bersikap tamak, khianat dan cemburu, ini memberi peluang kepada Raja Kecil menyerang Johor. Pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak (Minangkabau) menyerang Johor.

Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang Dipertuan Johor dan bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Walaupun begitu, beliau masih membenarkan Sultan Abdul Jalil IV menetap di Johor tetapi tiada kuasa memerintah dan diberi jawatan Bendahara. Kemenangan Raja Kecil adalah atas bantuan pembesar Johor sendiri kerana yakin Raja Kecil adalah pewaris sultan.

Pada tahun 1719, cubaan merampas semula kuasa oleh Sultan Abdul Jalil IV dan anaknya Raja Sulaiman dan Tun Abas, yang berkubu di Seluyut gagal. Sultan Abdul Jalil IV lari ke Kuala Pahang.
Raja Kecil telah berpindah ke Riau dan mentadbir Johor dari Riau.

Sultan Abdul Jalil IV berpindah dari Kuala Pahang ke Kuala Terengganu dan pada tahun 1720 balik semula ke Kuala Pahang. Raja Kecil telah menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang membunuh Sultan Abdul Jalil IV. Raja Sulaiman dan Tun Abas dibawa ke Riau tetapi Raja Sulaiman dan Tun Abas tidak mahu tunduk kepada Raja Kecil dan berpakat dengan Bugis Lima Bersaudara dan berjaya mengalahkan Raja Kecil halau balik ke Siak.



Sultan Johor ke-13-Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah

Nama asalnya ialah Raja Sulaiman dan seterusnya bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ditabalkan sebagai Sultan Johor-Riau ke13 oleh Bugis 5 Saudara. Kesultanan Johor diperintah semula oleh keturunan Bendahara. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah kemudiannya dilantik Daeng Merewah (Kelana Jaya Putera) sebagai Yamtuan Muda Johor Pertama.



Di bawah naungan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, kuasa membuat keputusan bukan lagi dari menteri dan jemaah. Hubungan dengan Belanda terjalin melalui Perjanjian 1754. Kemudiannya, Perjanjian 1756 memberi hak monopoli perdagangan timah di Linggi, Kelang dan Kuala Selangor tanpa keizinan raja memerintah. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mangkat di Riau pada Ogos 1760 disebut "Marhum Batangan".

Sultan Johor ke-14-Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah

Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah dilantik sebagai Sultan Johor ke-14 pada 1760-1761, menggantikan ayahandanya yang mangkat, tetapi Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah yang ketika itu menetap di Kuala Selangor sedang gering. Lima bulan selepas kemangkatan ayahandanya, tiba-tiba Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah pula mangkat, dipercayai diracun. Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah disemayamkan di Riau, berhampiran makam ayahandanya.



Sultan Ahmad Riayat Shah, Sultan Johor ke-15

Sultan Ahmad Riayat Shah, Sultan Johor ke-15, dilantik pada 1761 bagi menggantikan ayahandanya. Ketika itu beliau baru berusia sembilan tahun. Kuasa pemerintahannya dipegang oleh Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja. Sultan Ahmad Riayat Shah bersemayam di Kampung Bulang, Riau. Pada tahun 1761, pegawai Belanda telah datang dari Melaka menuntut wang ganti rugi perang sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Sultan Sulaiman dahulu.

‘Tuhfat al-Nafis’ ada menceritakan peristiwa ini secara terperinci dimana Bendahara Tun Hasan dan para pembesar Melayu tidak berupaya untuk membayar hutang tersebut dan menyerahkan kepada Yamtuan Muda Daeng Kemboja untuk membuat keputusan. Pihak Belanda menuntut jika hutang tersebut gagal dibayar, pihak Belanda akan mengambil dua putera Raja di Baroh sebagai tebusan.

Maka gemparlah seluruh Riau kerana takut akan kehilangan dua orang putera dari keturunan Sultan itu. Berkatalah Bendahara Tun Hasan (di dalam Tuhfat al-Nafis) 

“Allah, Allah, Janganlah abang kenangkan saya semua ini, melainkan abang pandang sajalah kepada intan gemala kita, yang piatu itu daripada waris amanah pertaruhan marhum kepada abang serta saya semua ini. Adapun Johor dan Riau serta segala takluk daerahnya dipulangkan kepada abang dan abanglah memerintahnya serta kaum abang selama-lamanya dengan muafakat serta tulus ikhlas, relalah saya semua kepada abang adik beradik, anak beranak”.

Daeng Kemboja akhirnya berjaya membayar hutang tersebut yang kemudiannya berjumlah tujuh laksa, tujuh ribu tujuh ratus tujuh puluh ringgit, hasil daripada penjualan candu. Di riwayatkan bahawa selepas beberapa hari perkara pembayaran hutang tersebut selesai Paduka Sri Sultan Ahmad dikatakan telah jatuh gering dan mangkat di Kampung Bulang Riau  dalam usia yang muda dipercayai diracun dan disebut ‘Marhum Tengah’.

Bagaimana pun Christopher Buyers yang menulis didalam ‘RoyalArk/Malaysia/Johor’ dan beberapa penulis lain menyatakan bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah masih hidup selepas disingkirkan sehinggalah sekitar tahun 1770 apabila baginda dikatakan telah menghilangkan diri. 

Menurut cerita-cerita lisan waris di Kampung Relong Pahang yang diperturunkan dari generasi terdahulu menyatakan bahawa yang dimakamkan di Batangan tersebut hanyalah batang pisang dan sebenarnya Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah dilarikan oleh orang suruhan Bendahara Tun Hasan di dalam gulungan tikar mengkuang dari Kampung Bulang. 

Diaspora Bugis Makassar di Tanah Melayu





Sultan Mahmud Riayat Syah

Bahawa Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam mungkin sedar bahawa kekanda baginda yang dikatakan telah mangkat itu sebenarnya masih hidup. Berbagai persoalan mungkin timbul dibenak baginda, ada baik dan ada risikonya. Tindakkan baginda tidak melantik atau menamakan pengganti baginda mungkin disebabkan baginda mahu menyerahkan kembali takhta kesultanan kepada kekanda baginda atau waris-waris yang lebih layak dari keturunan raja yang sebenar?
 
Bahawa Dato’ Linggi yakni Paduka Seri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah dan keluarga baginda tentu terdedah kepada sasaran pembunuh upahan samada daripada waris keturunan Paduka Sri Sultan Mahmud ataupun Pembesar-pembesar Melayu dan Bugis yang tamakkan harta, pengaruh dan kuasa]. Sekitar tahun 1802

Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid ada menghantar wakil bagi menjemput Dato’ Linggi ke Istana Pekan. Tujuannya untuk berjumpa Dato’ Linggi kerana dalam masa tersebut beliau sedang gering. Adakah Bendahara berasa tersangat rindu kepada Dato’ Linggi, zuriat Sultan Johor-Riau yang dizalimi yang selama ini dilindungi secara diam-diam? Intan gemala yang disingkirkan oleh Bendahara Tun Hasan dan para pembesar Melayu yang ingin memastikan kekuasaan Negeri ditangan meraka? Atau mungkin Bendahara mahu menatap wajah intan gemala yang sekian lama tidak dilihatnya untuk kali terakhir? Mungkin juga Bendahara ingin menceritakan kebenaran, memohon ampun dan maaf, merafak sembah kepada Sultan yang sebenar (‘the True King’)?.

Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid meninggal dunia pada tahun 1802 tanpa diketahui samada hasrat beliau tercapai atau tidak. Walau apapun, Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah mengharungi saat-saat yang mencabar didalam penghidupannya, daripada putera raja, menjadi Sultan seketika, disingkir dari takhta kemudian menjadi rakyat biasa, hidup di tempat yang terpencil dan hanya ingin dikenali dengan nama Dato’ Ahmad (Dato’Linggi).

 Mengapa Salasilah Tok Linggi  dakwa mereka dari salasilah Kesultanan Johor/Riau/Pahang




Ini adanya salasilah Tok Linggi yang dijaga turun temurun menunjukan baginda merupakan seorang berketurunan Raja/Bangsawan kerana Melayu/Bugis sangat menjaga salasilah keturunan mereka.

Ir Hj Mazelan Hj Samad penulis blog Raja Ahmad Al Linggi telah membandingkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sebelum dan selepas Dato' Ahmad @ Dato' Linggi membuka Kampong Relong iaitu pada 1795 dengan peristiwa yang berlaku semasa pemerintahan Kesultanan Johor-Riau dan Bendahara Paduka Raja di Pahang.

Terdapat kesinambungan dari aspek tarikh dan tahun peristiwa tersebut berlaku dengan kehadiran Dato' Linggi di Kampung Relong dan juga dari pengkisahan cerita-cerita lisan yang diperturunkan oleh generasi-generasi terdahulu. Terdapat persamaan nama 'Ahmad' diantara Dato' Ahmad (yang lebih dikenali sebagai Dato' Linggi) dengan Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri'ayat Shah. Perkataan 'makamnya' bawah kundang seperti yang tercatat di dalam Salasilah Dato' Linggi juga membawa maksud baginda adalah dari keturunan raja iaitu Kesultanan Johor-Riau sebagaimana cerita-cerita lisan generasi terdahulu.

Penulis juga telah membuat beberapa hipotesis dengan alasan-alasan yang bersandarkan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa tersebut. Hasil daripada hipotisis tersebut penulis membuat kesimpulan bahawa : Dato' Ahmad yang dikenali Dato' Linggi adalah Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri'ayat Shah ibni al marhum Paduka Sri Sultan 'Abdul Jalil V Mu'adzam Shah, Sultan Negeri Johor-Riau dan jajahan takluknya yang ditabalkan dalam tahun 1761.

Makam Tol Linggi 


Di sinilah juga baginda mangkat dan dimakamkan dibawah pokok kundang di Kuala Relong Lipis Pahang sekitar tahun 1812-1815

Begitulah cerita ringkas yang menjadi bukti Tok Linggi di Kampung Relong adalah Raja Ahmad yang pernah ditabal sebagai Raja Johor Lingga 1761.

Dewan Tok Linggi Relong


Rujukan:

Tuhfat Al-Nafis karangan Ali Haji bin Raja Haji Ahmad
Christopher Buyers - ‘RoyalArk/Malaysia/Johor’
Salasilah Tok  Linggi 1795
Koleksi cerita-cerita lisan penduduk Kampung Relong.
RajaAhmad.blogspot.com
Salasilah Kesultanan Johor-Riau



Isnin, 18 Januari 2021

Majsid Lama Kg. Pagar, Penjom



Walaupun banjir masjid ini tetap kukuh


Masjid lama berusia lebih 200 tahun


Qadhi Ibrahim Bin Hurairah


Selain penemuan kapal yang timbul di Kampung Pagar, Penjom satu lagi tinggalan sejarah yang wajar dipelihara berkaitan bukti syiar dan dakwah Islam di Pahang iaitu masjid lama berusia lebih 200 tahun di Kampung Pagar, Penjom, Lipis. Terbukti walau sekuat mana pun arus banjir yang melanda di kawasan ini hingga kapal yang seusianya pun timbul dari perut sungai Lipis namun masjid yang berusia ratusan tahun seusia kapal yang timbul itu,  tetap kukuh dan tidak berganjak oleh arus banjir.

Bukti betapa hebatnya dakwah dari masjid ini dalam memperkuatkan tauhid dan akidah nenek moyang kita dalam memperkukuhkan ajaran islam dan menentang kristianisasi penjajah di zaman itu.
Al fatihah kepada Moyang Qadhi Ibrahim Bin Hurairah (kuburnya bersebelahan dgn masjid ini) atas perjuangan dakwahnya di masjid ini dan  di serata bumi Pahang.

Kredit FB : MyAdam Aris



AddToAny