Peninggalan rahsia sang penjajah di sebalik Banjaran Titiwangsa
PERNAH diceritakan secara lisan sekitar tahun 1760, terdapat satu operasi rahsia yag dijalankan penjajah Inggeris di sekitar Banjaran Titiwangsa.
Operasi tersebut merupakan aktiviti perlombongan haram yang disembunyikan daripada pengetahuan awam bagi mengelakkan cukai serta perebutan di kalangan pembesar Melayu terhadap lombong emas yang ditemui itu.
Lokasi tersebut juga menjadi pintu rahsia untuk menyeludup keluar emas dari negeri Pahang tanpa membayar cukai. Malahan, hasil bumi seperti bijih timah dan sumber hutan yang ada di sekeliling kawasan Kuala Kubu juga turut dikaut oleh mereka.
Melalui kisah lisan sejarah lampau itu, kami dahulu pernah menemui mereka yang pernah menyelongkar kaki Banjaran Titiwangsa untuk mengesan tinggalan tapak perlombongan rahsia itu.
Salah seorang yang kami temui ketika itu ialah lelaki bernama Abdul Rahim, yang menceritakan bahawa tapak lombong itu pernah ditemui oleh dua orang penduduk Kuala Kubu Bharu yang kebetulan lalu di situ ketika dalam perjalanan menandakan sempadan kawasan pembalakan untuk satu konsesi balak pada tahun 1981. Mereka dikenali sebagai arwah Aki Udang dan Pakcik Lili.
Bagaimanapun, ketika Abdul Rahim minta menunjukkan kedudukan lokasi itu secara tepat pada peta topografi, kedua-dua mereka tidak dapat mengingati denai yang membawa mereka ke situ.
Apa yang mereka dapat bantu adalah dengan memberikan gambar-gambar fotografi yang mereka ambil sewaktu berada di kawasan tersebut. Gambar itu termasuklah sebuah enjin stim lama yang dipercayai lokomotif yang digunakan untuk mengangkut hasil-hasil perlombongan itu.
Berbekalkan gambaran petunjuk yang ada, Abdul Rahim bersama empat rakannya telah memulakan ekspedisi di kaki Bukit Fraser. Perjalanan ekspedisi tersebut memakan masa selama enam hari akhirnya mendatangkan hasil apabila mereka berjaya menemui lokasi sebenar kawasan perlombongan itu.
Kata Abdul Rahim, mereka telah menemui sembilan bekas lokasi aktiviti perlombongan di mana salah satu kawasan tersebut merupakan kawasan lombong rahsia yang aktif suatu ketika dulu. Semua lokasi itu terletak tidak jauh dari kaki Gunung Rajah.
Abdul Rahim dan rakan-rakannya juga telah menemui pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan perlombongan. Juga terdapat banyak bangkai lokomotif yang berkemungkinan digunakan sebagai jentera untuk mengangkut keluar hasil lombong.
Dipercayai lokomotif berenjin stim ini juga digunakan sebagai generator yang dapat membekalkan tenaga elektrik dan juga mengepam oksigen ke dalam shaft lombong.
Menurut Abdul Rahim, jika diambil kira keadaan semasa, enjin tersebut berkemungkinan ditarik ke atas Bukit Fraser dengan menggunakan gajah.
Sebuah landasan mudah alih sejauh satu kilometer juga dibina bagi mengalihkan lokomotif ini ke kawasan perlombongan. Usaha ini dimulakan oleh James Louis Fraser sebelum beliau memulakan proses membina penempatan di situ sekitar 1890.
Terdapat satu tulisan yang bertarikh 1763 ditemui pada sebatang pokok berhampiran kawasan lombong itu yang membuktikan bahawa aktiviti perlombongan tersebut telah beroperasi selama 130 tahun sebelum kewujudan komuniti Bukit Fraser
Di situ juga mereka menemui sebuah empangan yang berkeluasan 100 kaki lebar dengan ketinggian 50 kaki. Ia digunakan sebagai punca bekalan air bersih selain membekalkan air untuk kegunaan lombong bijih timah dan juga aktiviti membersihkan bijih timah dan emas.
Cuba anda bayangkan, betapa bersistematik cara yang digunakan oleh penjajah ketika itu untuk mengaut hasil bumi di negara kita.
Kata Abdul Rahim lagi, mereka turut menemui terowong-terowong dan ada di antaranya sudah pun tertimbus. Berkemungkinan terowong ini bersambung ke negeri Pahang bagi tujuan penyeludupan emas dan bijih timah. Kemudian bagi menyembunyikan kegiatan ini daripada terbongkar, ia diletupkan.
Tidak jauh dari situ, terdapat dua buah menara pada ketinggian 3,600 hingga 3,700 kaki dari aras laut. Ia mungkin stesen kereta kabel yang digunakan untuk mengangkut keperluan para pelombong dan menghantar keluar hasil ke Bukit Fraser. Sebuah roda besar yang dipercayai sebagai gandar untuk menarik tali kabel juga ditemui di kawasan menara ini.
Selain itu, sebuah tapak yang mungkin dipercayai digunakan sebagai pejabat pengurusan perlombongan rahsia pada ketika itu juga dijumpai. Tapi sayangnya, hampir 90 peratus struktur binaannya telah musnah dan mereka tidak menjumpai apa-apa peninggalan yang penting milik Inggeris.
Berdasarkan penemuan kawasan lombong itu, dianggarkan hampir 15 ribu pekerja diperlukan untuk menjalankan operasi lombong rahsia ini.
Tidak pasti apakah bukti-bukti yang pernah ditemui Abdul Rahim ini suatu ketika dahulu masih boleh dilihat dengan jelas pada hari ini. Yang pasti, ia satu peninggalan dari kerakusan si penjajah menjarah hasil bumi kita suatu waktu dahulu.
Kredit : Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan