responsif teks foto

Selasa, 2 Jun 2026

GENAP 22 TAHUN KEHILANGAN AHMAD B


Nama Ahmad B mungkin jarang disebut hari ini, tetapi beliau pernah jadi wajah penting dunia seni tanah air. Ahmad B atau nama sebenarnya Ahmad bin Abdul Hamid, seniman kelahiran Kuala Lipis, Pahang bermula di pentas bangsawan Rahman B pada hujung 1940-an, di situlah muncul gelaran “Ahmad B” yang melekat sepanjang hayatnya.

Selepas era bangsawan merudum, Ahmad B menyerlah sebagai stuntman yang melakukan sendiri aksi ngeri. Pada tahun 1971, beliau muncul dalam filem Jangan Tinggal Daku arahan P. Ramlee, didalam babak kereta yang terhumban.
 
Era 1980–1990-an pula menyaksikan Ahmad B aktif di televisyen, antaranya dalam drama Datuk Limbong dan Pendekar bersama anaknya, Ainina Ahmad B. Atas jasa seninya, beliau dianugerahkan Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1997 oleh Yang di-Pertuan Agong ke-9, Tuanku Ja’afar.

Hari ini, genap 22 tahun Ahmad B meninggal dunia akibat paru-paru berair pada 1 Jun 2004. Beliau meninggalkan isteri, Alijah Abdul Rahman dan empat orang cahayamata; Mohamad, Ainina, Omar Baki dan Abdul Rahman. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Tunku, Petaling Jaya.

Teks: Era Azman, Aiman Hakim, Hidir Ali Razali & Danial Aziz Ahmad

Sumber: 
Ainina Ahmad B
Bacaria 1997 (Azian Adnan) 
Berita Filem

Tiada ulasan:

AddToAny