responsif teks foto

Khamis, 31 Januari 2008

Banguanan Bersejarah 5: Banguan Residen


BANGUNAN RESIDEN (Rumah Rehat Bukit Residen, Kuala Lipis)

Bangunan ini telah dibina pada tahun 1922 iaitu di puncak bukit tertinggi di Kuala Lipis sebagai rumah kediaman Residen Inggeris. Penghuni pertama bangunan ini ialah Hugh Cliford, ‘Supritendint’ of Ulu Pahang. Selepas beliau, residen-residen Inggeris yang lain terus menduduki bangunan ini sehingga tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1942 hingga 1945. Pada tahun 1958 hingga 1965, bangunan ini dijadikan sebagai asrama murid-murid lelaki Sekolah Cliford. Asrama Bukit Residen ini telah ditutup pada pada 31 Disember 1965. Rumah ini terbiar kosong sehingga tahun 1983 sebelum ia dijadikan rumah rehat kerajaan. Pada 1 Disember 1985, sudut Muzium Lipis telah diwujudkan di sini untuk mempamerkan bahan-bahan sejarah dan kebudayaan Daerah Lipis. Ianya merupakan sudut muzium yang pertama ditubuhkan di negeri Pahang.

Rabu, 30 Januari 2008

Nama dan Sejarah Kampung Tanjung Besar




Kampung Tanjung Besar mula dibuka pada tahun 1722 bermula dari Perlong yang terletak di Kampung Kemahang Hilir. Pembukaan kampung ini diketuai oleh Tok Hamid yang berasal dari keturunan Tun Ibrahim dan pengikut-pengikutnya dimana pada masa tersebut beliau turut dibantu oleh seorang kaum asli sebagai pemandu arah yang bernama Kutek semasa dalam perjalanan dari Lechok menuju ke Sungai Kong.

Semasa perjalanan ini, beliau dan para pengikutnya telah mengambil masa selama tujuh hari sebelum kembali semula ke Perlong setelah kehabisan bekalan makanan yang dibawa. Beliau dan para pengikut seterusnya selama empat hari empat malam meneruskan perjalanan semula menuju ke Sungai Kemesar. Mengikut perkiraan beliau terdapat syarat-syarat yang harus diambil kira sekiranya ingin membuka sebuah kampung dan tanah paya iaitu keadaan tanah dan tumbuh-tumbuhan iaitu dari sebesar-besar pokok tualang sehinggalah sekecil-kecil tumbuhan renek.

Setelah syarat-syarat ini diambil kira, maka beliau dan para pengikutnya bersetuju untuk meneroka kawasan yang terletak di Kemesar ini untuk dijadikan sebuah perkampungan. Nama kampung Kemesar ini diambil sempena nama sejenis pokok iaitu pokok kemesar yang banyak terdapat di bahagian hulu sungai ini.

Asal usul nama Tg. Besar pula adalah nama yang dicadangkan oleh Ahmad Ketot bin Abdul Rahman seperti yang terdapat di dalam buku yang dikarang oleh beliau kerana merasakan nama asal kampung ini kurang sesuai iaitu "Sawa Besar" yang diambil sempena spesis seekor ular iaitu ular sawa yang sangat besar yang ditemui semasa pembukaan kampung . Ular sawa yang besar ini ditemui oleh penduduk kampung ketika sedang berkubang pada musim panas di sebuah tasik Danau Asah yang terletak di bawah kaki bukit tersebut. Ular Sawa yang besar ini berlingkar disepanjang sungai Rengai sehinggalah ke sungai Kepung iaitu disepanjang tanjung yang terdapat di sungai-sungai tersebut. Maka setelah bersepakat mereka bersetuju untuk menamakan kampung tersebut sebagai “Tanjung Besar".

Sabtu, 12 Januari 2008

Banguanan Bersejarah 4: Sek.Men Keb. Clifford



Sekolah Menengah Clifford

Sekolah ini pada mulanya dikenali sebagai Goverment English School dan dimulakan pada tahun 1913. Pada mulanya ia merupakan sebuah pondok kecil di Tebing Sungai Jaleh (Jalan Jelai sekarang) dan mempunyai murid sulung seramai 12 orang dan semuanya lelaki. Pada tahun 1918, jumlah murid-murid telah bertambah hingga 200 orang dan sekolah ini terpaksa dipindahkan ke kawasan sekarang.

Sekolah yang digunakan pada masa itu hanyalah bangunan-bangunan kayu dan memandangkan sekolah ini merupakan institusi pelajaran yang terbesar sekali di negeri Pahang, bangunan-bangunan Malay Hostel (1926) dan bangunan induk berbentuk D (1929) telah dibina. Perasmian sekolah ini telah dibuat dalam tahun 1929 oleh Sir Hugh liford, bekas Residen British Pahang. Beliau telah menjadi ‘Govenor’ of the Straits Settlement dan High Commisioner of the Faderal Malay States. Sekolah ini telah diabadikan dengan nama beliau selepas upacara itu.

Sekolah ini telah mencatat sejarah bagi sekolah yang pertama mengadakan School Certificate Class dalam tahun 1936. penuntut yang yang menduduki peperiksaan School Certificate ini adalah seramai 11 orang dan 9 orang daripadanya telah lulus dalam peperiksaan tersebut. Disamping kecemerlangan yang diperolehi dalam bidang akademik, sekolah ini juga mencapai kejayaan yang membanggakan di bidang sukan. Di zaman pemerintahan Jepun, sekolah ini dijadikan markas tentera Jepun dan ibu pejabat Kempeitai. Sebuah bilik darjah dijadikan sebagai bilik tahanan. Sekolah ini menempa kemajuan dari zaman ke zaman dan telah melahirkan ramai penuntut yang memberi sumbangan kepada bangsa dan negara. Antara murid-murid tertua sekolah ini ialah KDYMM Sultan Hj. Ahmad Shah Almustain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Al-Muadzam Shah dan YB Dato’ Sri Tan sri Dr. Mohd Ghazali b. Syafie.

Rabu, 9 Januari 2008

Respon: Tuk Gajah pejuang atau sebaliknya


Pada hari ini (Berita Harian: edisi timur - 07 Jan 08) kita berbahas dan berbincang untuk mengangkat Tok Gajah sebagai pejuang bangsa bukan sebagai penderhaka. Tetapi apabila diteliti dalam buku sejarah tercatat beberapa sifat negatif yang sukar untuk dimaaf oleh masyarakat melayu pada masa ini atau sebelumnya adalah seperti berikut:
Tok Gajah umpamanya, dikatakan telah mengeluarkan suatu perintah, iaitu mengerahkan agar setiap upacara perkahwinan yang dibuat oleh orang-orang kampong di kawasanya perlu menyembelih seekor kerbau dan menyerahkan kepadanya kepala kerbau itu. Jika arahannya dilanggar, mereka akan didenda, jika tidak membayar denda, rumah dan anak bini akan dijadikan tebusan. Kalau menentang, akan dibunuh . Aduan kepada raja mengenai kezaliman Tok Gajah tidak akan mendapat layanan kerana Tok Gajah merupakan anak emas raja. Tok Gajah juga telah menyinggung perasaan Orang Kaya Haji Lipis dengan mengambil kawasan pentadbirannya di Budu dengan titah dan restu Sultan Ahmad. Perkara ini telah ditentang hebat oleh Orang Kaya Lipis, penduduk Budu dan ketua-ketua kampong. 71 Pernah seorang pemegang konsesi telah membayar sebanyak $ 110,000 kepada Tok Gajah untuk memperolehi sesuatu kedudukan di Pahang.
“Tuk Gajah merupakan pemimpin yang ditakuti dikalangan pembesar yang tidak puas hati terhadap Sultan Ahmad. Walaupun begitu, Tuk Gajah menjadi orang kepercayaan Sultan kebanyakan pembesar baru yang dilantik oleh Sultan Ahmad tidak disukai oleh pembesar lama yang sememangnya membenci Tuk Gajah.” Catatan Frank Swettenham 1885.
Maharaja Perba dan Orang Kaya Lipis menjadi pembesar yang paling malang kerana kebanyakan tanah mereka telah diagihkan oleh Sultan Ahmad kepada Syarikat-syarikat pelabur Eropah, China atas nasihat orang kesayangan baginda. Seperti Tuan Itam, Orang Kaya Bakti, Tuan Imam Indera Mahkota dan Tok Gajah.
Pada Tahun 1888 selepas dua kejadian ‘misteri’ pembunuhan rakyat British yang bernama Go Hui dan Su kim telah digunakan oleh pihak Inggeris sebagai alasan untuk memaksa Sultan Ahmad menerima seorang Residen British di Pahang. Bermula era pemerintahan residen menjadikan penasihat Sultan atau orang kuat Sultan hilang kuasa tradisi. Residen telah melaksanakan pentdbiran Daerah dan Majlis Negeri ini menyebabkan kuasa pemerintah tradisi hilang ini menyebabkan mereka melakukan memberontak melawan British demi ‘survaival politik’ bukan atas sifat cinta kepada negara dan bangsanya.
Zaini: Maaf kalau tulisan ini salah kerana semua maklumat fakta diambil daripada rujuk dibawah.
Rujuk:
Sejarah Politik Pahang 1880-1935 - Aruna Gropinath hlm 71
Mencari Sejarah – (Tun) Suzana (Tun) Hj.Othman.
Tradisi Persejarahan Pahang Darul Makmur 1800-1930 - Muhammad Yusooff Hashim dan Aruna Gropinath.

Isnin, 7 Januari 2008

Porfil Daerah Lipis

Daerah Lipis

Pada umumnya mukabumi daerah ini adalah berbukit yang bersempanan dengan negeri Perak, Kelantan dan Taman Negara. Kalau diperhatikan perubahan fizikal di daerah ini masih lagi ketinggalan berbanding dengan kawasan pantai barat semenanjung Malaysia. Puncak yang tertinggi yang boleh dilalui melalui jalan 8 (jalan Kuala Lumpur – Kota Baharu) adalah bukit Tujuh 887 meter yang terletak di Banjaran Tahan


Data maklumat asas bagi daerah ini adalah seperti berikut:

Pegawai Daerah : Dato' Haji Zainal Abidin bin Mat , DIMP., BCM., PJK.

Keluasan : 519,829 hektar.

Bilangan Mukim : 9 mukim.

Kuala Lipis : 9,773 hektar.

Tanjung Besar : 17,700 hektar.

Penjom : 17,400 hektar

Telang : 31,010 hektar

Gua : 7,588 hektar

Ulu Jelai : 206,600 hektar

Batu Yon : 123,300 hektar

Kechau : 77,030 hektar

Cheka : 44,7303 hektar

Jumlah Penduduk Tahun 2006: 87,200 orang

Unjuran Penduduk Tahun 2020: 90,412 orang

Bilangan Penduduk Mengikut Kumpulan Umur.

Umur 14 Tahun Ke bawah : 28,200 orang

Umur 15 hingga 64 Tahun : 55,900 orang

Umur 65 Tahun Ke atas : 3,200 orang

Penduduk Mengikut Kumpulan Etnik

Melayu: : 59,900 orang

Bumiputera Lain: : 10,600 orang

Cina: : 7,600 orang

India: : 3,500 orang

Lain-lain: : 300 orang

BukanWarganegara: 5,300 orang

KemudahanAwam:

Pendidikan:

•SekolahRendah 54 buah

•SekolahMenengah 13 buah

•IPTA/IPTS 1 buah

•BilanganMuridSek. Rendah 11,063 orang

•BilanganMuridSek. Menengah: 6,899 orangô€‚ƒ

Kesihatan

:•Hospital 1 buah

•KlinikDesa 22 buah

Keselamatan

•BalaiPolis 6 buah

•PondokPolis 8 buah

•BalaiBomba 1 buah

Sukan/ Rekreasi:

•TamanBandar 1buah

•Padang Golf 1 buah

Lain-lain Kemudahan

Perpustakaan Awam 1 buah:

•Bil Tapak Pelupusan Sisa Pepejal 1 buah

•Pejabat Pos 2 buah

-PejabatPos Daerah 2 buah

-PejabatPos Mini 5 buah

-WakilPos -

•Masjid

-MasjidDaerah 2 buah

-MasjidQariah 67 buah

-Surau: 122 buah.

Rujuk:

PDL


Sabtu, 5 Januari 2008

Bangunan Bersejarah 3: Kediaman Pegawai Daerah Lipis


KEDIAMAN PEGAWAI DAERAH

Rumah ini terletak di atas tapak Kubu Orang Kaya Haji Wan Daud yang ketika itu menguasai Lembah Sungai Lipis. Rumah kediaman ini siap pada tahun 1929. tapak pembinaan rumah ini pada mulanya menempatkan kediaman W.C Michell iaitu pentadbir dan juga pembantu kepada Hugh Cliford.

Ketika banjir besar berlaku, rumah ini telah musnah. Oleh itu, pihak British telah membangunkan semula rumah tersebut dan inilah bangunan yang kekal hingga ke hari ini. Rumah ini kemudiannya dijadikan kediaman bagi Pegawai-pegawai Tinggi British iaitu Pegawai Jajahan (PJ). Orang Melayu yang pertama dilantik menjadi PJ Lipis ialah Tengku Mustapha B. Tengku Mohamad. Perlantikan dilakukan pada tahun 1941. namun begitu, PJ Melayu pertama yang menduduki rumah ini ialah Encik Mohd Taib B. Andak. Beliau sekarang ini telah bergelar Tan Sri. Hingga ke hari ini rumah tersebut kekal sebagaikediaman rasmi Pegawai Daerah Lipis.

Rujuk:

MDL

Khamis, 3 Januari 2008

Asal Usul Nama Tempat Di Daerah Lipis 2: Padang Tengku





Padang Tengku
Padang Tengku ini adalah sebuah perhentian keretapi diantara Kuala Lipis dengan Bukit Betong. Letaknya dalam Mukim Gua Daerah lipis lebih Kurang 6 batu darii Kuala Lipis.
Mengikut ceritanya iaitu selepas ‘Perang Saudara 1857-1863’ orang-orang Rawa yang dibawa masuk ke Pahang oleh Wan Daud (Orang Kaya Haji) dibenarkan pulang ke Selangor. Akan tetapi ramai yang mahu menetap di Pahang. Mereka dibenarkan mencari tempat yang disukai asalkan tempat itu masih belum didiami orang.
Beberapa orang Rawa yang diketuai oleh Tengku Abdul samad (Tengku Samad) telah membuka suatu kawasan. Mereka berumah tangga dan bercucuk tanam disana. Waktu petang mereka bermain sepak raga di sebuah padang berhampiran dengan tempat kediaman mereka.
Melihat Tengku Samad dan orang-orangnya bermain sepak raga itu maka ramailah orang-orang yang tinggal disekitar kawasan itu datang bermain sama. Orang-orang yang pergi bermain itu apabila ditanya akan menjawab mereka hendak bermain sepak raga di padang Tengku Samad dan orang-orang yang pulang apabila ditanya akan menjawab yang mereka balik dari bermain sepak raga di padang Tengku Samad. Sebab itu padang tempat mereka bermain sepak raga itu dipanggil Padang Tengku Samad. Sesudahnya tinggal Padang Tengku sahaja. Apabila kawasan itu jadi sebuah kampung maka kampung itu dipanggil kampung Padang Tengku.
Pada mulanya Padang Tengku cuma boleh dihubungi dengan mengunakan perahu ikut Sungai Jelai. Kemudian pada tahun 1926 mendapat kemudahan jalan keretapi melalui jalan Gemas –Gua Musang. Pada masa itu Padang Tengku adalah sebuah perhentian keretapi yang terkenal. Ia digunakan oleh syarikat Selborne Plantation yang terletak disebelah kiri hilir Sungai Jelai.
Rujuk:
Asal Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang (2)
– Dato’ Haji Zakaria bin Hitam.

Rabu, 2 Januari 2008

Bangunan Bersejarah 2: Pejabat Daerah.


PEJABAT PENTADBIRAN DAERAH LIPIS

Bangunan ini siap dibina pada tahun 1919 dan merupakan pusat pentadbiran utama bagi negeri Pahang Darul Makmur. Bangunan ini menempatkan Pejabat Residen British dan Pegawai-pegawai Pentadbiran bagi negeri Pahang di tingkat atas. Manakala di bahagian bawah pula merupakan Pejabat Kutipan Hasil dan Perbendaharaan Kerajaan British. Lipis pada ketika itu adalah daerah yang terbesar di negeri Pahang. keluasannya adalah termasuk seluruh Daerah Jerantut sekarang dan merupakan satu daerah yang kaya dengan hasil-hasil emas, bijih, hasil-hasil hutan dan getah.

Dengan wujudnya jawatan MB pada tahun 1952, Pejabat MB negeri Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang ditempatkan dibangunan ini. Di antara YB Setiausaha Kerajaan Pahang yang pernah berkhidmat di sini ialah Orang Kaya Syahbandar Pahang Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein dalam tahun 1952. Apabila ibu negeri pahang dipindahkan ke Kuantan pada 27 Ogos 1955, bekas pusat pentadbiran ini dijadikan Pejabat Daerah Lipis sehingga hari ini

Kompleks Pejabat Kerajaan Lipis

Kompleks Pejabat Kerajaan Lipis ini dibina dalam dua peringkat. Peringkat pertama telah dibina pada tahun 1919 (Bangunan Pentadbiran Daerah Lipis). Bangunan kedua yang merupakan satu sambungan kepada bangunan asal siap dibina pada tahun 1926. di tingkat atas bangunan kedua (31B) ialah Mahkamah Daerah Lipis yang masih wujud sehinga sekarang. Di tingkat bawah pada ketika itu ialahsebuah bank perdagangan British yang dikenali sebagai Mercentile Bank.

Dengan terbinanya bangunan tambahan ini, seluruh jabatan-jabatan kerajaan yang terdapat di Kuala Lipis dihimpunkan di bawah satukompleks. Pada masa ini terdapat sebahagian jabatan-jabatan kerajaan berada di bawahkompleks ini, rekabentuknya yang menarik mejadikan ia tumpuan orang ramai.

Asal Usul Nama Tempat di Daerah Lipis 1: Empang Jaleh


Empang Jaleh.

Dihulu sungai periu, Mukim Penjom daerah Lipis ada sebuah lombong emas. Lombong itu adalah sebuah yang tertua di negeri Pahang. Ada yang menyatakan bahawa lombong dihulu sungai Itu dibuka oleh orang Siam. Sekira ini benar maka lombong itu telah dibuka akhir kurun ke-14 atau pun awal kurun ke-15 masihi.

Apabila orang siam keluar dari Pahang selepas tewasnya Maharaja Dewa Sura TM 1454 maka lombong itu telah ditinggalkan. Entah berapa lama kemudian lombong itu dibuka semula. Dari pertenggahan kurun yang ke-9 lombong itu telah jadi sebuah lombong terkenal. Ia diusahakan oleh Penjom pada 22 Feb 1887, pengurus yang mengurus lombong dihulu sungai periu yang dikenali sebagai lombong emas Penjom, Encik Stuart. Hugh Clifford melawat lombong pada hari jumaat, 4 Mac 1887.

Mengikut ceritanya iaitu pada mulanya lombong itu tidak begitu berjaya kerana empang yang dibina sentiasa pecah beberapa teguh dibina masih juga pecah. Kejadian yang amat luar biasa itu amat menyusahkan fikiran yang empunya lombong itu. Disebabkan empang yang dibina itu selalu pecah maka terpaksalah, orang-orang yang menjalankan kerja dilombong itu mencari pawang yang benar-benar bijak. Didalam usaha itu mereka telah berjaya mendapatkan pawang bijak bernama jaleh. Jaleh telah dijemput dan diminta membina semula empang yang selalu pecah itu.

Setelah diminta membuat demikian maka Jaleh pun membuka tanah. Kemudian dia pun memulakan pekerjaan mengempang. Dengan dibantu oleh beberapa orang lain maka empang itu siap dibina. Kali ini empang itu tidaklah pecah lagi. Oleh kerana empang yang teguh itu dibina dengan pertolongan Pawang Jaleh maka empang itu dipanggil Empang Jaleh. Maka lekatlah nama itu hingga sekarang.

Hari ini diceritakan oleh pekerja lombong emas Empang Jaleh terdapat 48 buah lori penggangkut batu berharga RM 600.000 sebuah, 4 buah kereta mengorek batu yang sangat besar.

Rujuk:
Asal Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang (2)
– Dato’ Haji Zakaria bin Hitam.

Selasa, 1 Januari 2008

Bangunan Bersejarah 1: Istana Hinggap


ISTANA HINGGAP

Bangunan ini asalnya adalah kediaman untuk Pegawai British. Namun, apabila jawatan Menteri Besar diwujudkan pada tahun1948, bangunan ini telah dipindahkan dan dibaik pulih untuk dijadikan kediaman rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang. Pihak British mula mendirikan bangunan ini pada tahun 1926. menurut satu sumber yang diperolehi, Menteri Besar Pahang yang kedua merupakan ayah mertua kepada KDYMM Sultan Pahang sekarang. Berikut adalah senarai Menteri Besar (MB) yang dipercayaai pernah menetap di rumah ini:

- Dato’ setia wangsa Sir Mahmud Bin Mat (MSC, OBE) – 1 Februari 1948 hingga 1 Februari 1951

- YAM Tengku panglima perang Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ahmad (CBE) – 1 Februari 1951 hingga 1Februari 1955 dan 15 Jun 1955 hingga 18 Januari 1957.

- Orang Kaya Indera Syahbandar Dato’ Abdul Razak Bin Dato’ Hussein (MSC) – 1 Februari 1955 hingga 15 Jun 1955.

Dalam senarai di atas, MB yang menduduki rumah tersebut hanya sehingga ke tahun 1955 sahaja. Ini berikutan dengan perpindahan ibu negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan pada tahun tersebut. Oleh itu, selepas pertukaran tersebut rumah ini bertukar fungsi menjadi Istana Hinggap sehinggalah sekarang. Pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, istana ini pernah menjadi tempat bersemayam baginda apabila baginda melakukan keberangkatan tahunan ke Daerah Lipis.

KDYMM Sultan Hj. Ahmad Shah juga pernah bersemayam di istana ini. Antara upacara bersejarah yang pernah berlangsung di istana ini ialah majlis perkahwinan KDYMM Sultan Pahang dan KDYMM Tengku Ampuan Afzan Binti Tengku Mohamad pada 22 April 1954. Menurut cerita beberapa orang ketua kampung istana ini menjadi lambang kedaulatan raja dan perpaduan rakyat.

Rujuk:

MDL

AddToAny