responsif teks foto

Khamis, 25 November 2021

Kerosakan jalan di Jalan Batu 2

 


Peristiwa banjir yang kita hadapi beberapa tahun lalu telah mengakibatkan berlakunya kekerapan tanah runtuh dan kerosakan jalan di Jalan Batu 2 (berhadapan Taman Cahaya) sehingga membawa kepada penutupan jalan demi keselamatan pengguna. 

Ekoran daripada peristiwa ini, beberapa siri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal telah diadakan dihadiri oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah Lipis bagi membincangkan mengenai penyelesaian mengatasi masalah ini. 

Kesan pandemik dan PKP yang dihadapi negara telah mengakibatkan proses dan gerak kerja pembinaan seperti lawatan tapak, mengkaji kesesuaian bahan dan proses teknikal agak terbatas menyebabkan kebanyakan proses tergendala.

Pihak konsultan telah mencadangkan untuk membina culvert dengan kos RM1.1 juta dan ketika itu pembinaan ini dijangka akan siap pada September 2021.


Namun begitu saya kemudiannya mengadakan perbincangan dengan Konsultan, pihak JKR, JPS, MDL dan Pejabat Daerah bahawa sekiranya kita menggantikan dengan pembentung(culvert) yang sama seperti sebelum ini, sudah tentu perkara yang sama akan berulang melihat kepada kekerapan berlakunya banjir di kawasan ini serta kekerapan Banjir Kilat di Kg Tempoyang. Untuk makluman semua, kejadian tanah runtuh dan membaiki jalan di Batu 2 ini telah berulang sebanyak 2 kali. Dan kita tidak mahu ia berulang lagi untuk kali ke-3.

Jadi saya telah meminta untuk membina jambatan baru dengan anggaran kos RM3.5 juta supaya kes tanah runtuh dan kerosakan jalan di Batu 2 ini tidak berulang.

Status pembinaan Jambatan baru ini adalah diperingkat membina rekabentuk kerana pihak konsultan dan JKR perlu membuat kajian semula melibatkan aliran air sungai, beban dan perkara-perkara teknikal. 


Saya memahami keputusan awal yang mana mesyuarat bersetuju untuk membina pembentung (culvert) kerana Jawatankuasa Teknikal berhasrat untuk meminimumkan kos dan mempercepatkan pembinaan kerana jika kita bina culvert, peruntukan sudah diperoleh dan pembinaannya boleh dijalankan dengan serta merta.

Buat masa ini, bagi mengatasi kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak, saya telah cadangkan untuk membina jambatan bailey oleh JKR sementara menunggu jambatan ini siap dibina. 

Saya telah hubungi Menteri Kanan KKR, YB Dato’ Sri Hj Fadillah dan beliau telah memberi maklum balas serta jaminan pembinaan Jambatan Bailey ini akan bermula seberapa segera. 

Bagi pembinaan jambatan yang bernilai RM3.5 juta ini pula, saya juga telah menerima pengesahan daripada Pejabat Kewangan Negeri bahawa waran peruntukan (Di bawah kepala Peruntukan P.06 Kerja Raya Pembangunan Negeri Pahang) bagi pembinaan jambatan ini akan dikeluarkan pada Januari 2021.

Saya berharap semua dapat bersabar kerana kita akan bina jambatan yang lebih sempurna dan kukuh yang akan melibatkan peruntukan yang lebih besar. Biarlah kita menunggu sedikit masa asalkan kita dapat menikmati kemudahan ini puluhan tahun berbanding mendapat manfaat yang hanya sementara.

Dato Sri Abdul Rahman Mohamad

Kredit FB : YB AMAN @ TOK MAN



Tiada ulasan:

AddToAny