responsif teks foto

Selasa, 28 Jun 2022

Orang Melayu Pantai Timur mengikut pandangan Hugh Clifford


Sir Hugh Clifford 

Clifford adalah Residen di Pahang dan beliau menceritakan tentang negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Walaupun negeri-negeri ini berdekatan tetapi rakyat negeri-negeri ini jauh berbeza, sama ada dari segi rupa, pakaian, dialek, watak mahupun adat resam.

Orang Pahang, mengikut Clifford, hanya menggunakan fikiran dan minda mereka untuk mencari jalan berkelahi, bergaduh, berasmara dan bercumbu dan berjudi, yang mereka tahu dan sedar dilarang sama sekali oleh agama Islam.

Orang Pahang, jelasnya, adalah seorang penyabung ayam dan pejudi yang sering terlibat dalam pergaduhan. Dia mempunyai perasaan bangga dirinya, bangsanya dan negaranya. Dia kurang arif, kurang agama dan kurang daya keintelektualannya sehingga dibuat orang Melayu lain bidalan tentang mereka:

  • kecek anak Melaka;
  • bual anak Minangkabau;
  • tipu anak Rembau;
  • bidaah anak Terengganu;
  • penakut anak Singapura;
  • pencelok anak Kelantan
  • dan sombong anak Pahang.

Namun demikian, orang Pahang juga banyak kualiti yang baik. Mereka jantan dan berani mati. Kelemahan mereka adalah di permukaan sahaja dan mereka jarang mahu menyurukkan kelemahan ini. Mereka sombong! Mereka berpakaian segak dan sebagai kaki judi sering boros. Mereka juga suka bertindak mengikut nafsu tanpa berfikir panjang tentang hasil atau kesan tindakan mereka. Mereka juga amat taat dan setia kepada Raja. Begitu juga taat setia mereka kepada seseorang atau sesiapa yang dipercayainya, tidak berbelah bagi.

Hubungan ini adalah berasaskan saling mempercayai di antara satu sama lain. Mereka sentiasa bergembira dan suka melawak dan berjenaka dan bahan ketawa mereka adalah orang lain (suka mengusik dan mempermainkan orang lain).

Mereka tidak suka membaca atau bekerja. Mereka juga tidak boleh dipaksa membaca Quran. Mereka juga hanya akan sembahyang setelah dipaksa. Mereka menghadiri sembahyang Jumaat kerana takut kena denda.

Kalau boleh orang Melayu tidak mahu bekerja dan tidak akan melakukan sebarang kerja walapun dibayar gaji atau upah yang tinggi dan lumayan. Dia akan melakukannya (kerja) apabila dia dikerah, iaitu atas permintaan dan suruhan orang-orang besar ataupun raja. Kerja-kerja kerah tidak dibayar upah dan di dalam kebanyakan kes mereka terpaksa membawa makanan sendiri.

Kerja Raja dikelek sedangkan kerja sendiri diabaikan. Mereka akan mengerjakan kerja-kerja kerahan ini tanpa sebarang rungutan seolah-olah itu adalah tugas hakiki mereka. Clifford melihat ini sebagai satu sifat yang bertentangan dengan jiwa orang Melayu itu. Dari satu segi, secara sukarelanya, orang Melayu malas bekerja walaupun ganjaran yang dibayar lumayan tetapi dari satu segi yang lain dia sanggup pula dipaksa bekerja dan menyerahkan tenaganya secara percuma.

Orang Terengganu pula jauh berbeza daripada orang Pahang. Paling utama, mereka sukakan keamanan dan keharmonian. Kegiatan dan minat mereka ialah kepada perniagaan dan perdagangan. Apa yang mereka mahu ialah kebenaran dan kebebasan untuk mencari rezeki tanpa diganggu. Namun demikian, mereka tidak menunjukkan sikap taksub dan taat setia membabi buta seperti yang ditunjukkan oleh orang Pahang, yang akhirnya (iaitu orang Pahang) terpaksa menanggung bermacam kerenah, helah dan juga bencana dari Raja dan kerabat Diraja mereka sendiri.

Bagi Clifford, orang Terengganu hanya berminat untuk belajar, berdagang dan bertukang. Sejak kecil lagi dia dibesarkan dalam suasana buku, duit dan tawar menawar perniagaan dan perdagangan.

Dikatakan dia tahu memuji dan mengangkat tinggi nilai dan mutu barang-barang yang hendak dijualnya dan menawar atau menurunkan harga barangan yang hendak dibelinya sebaik sahaja dia pandai bercakap.

Orang Terengganu dilahirkan dalam dunia perniagaan dan perdagangan. Dia boleh dan sanggup berbohong semasa berniaga, tanpa segan dan silu ataupun malu sehingga mereka terkenal ataupun dikenali sebagai pembohong yang paling terkenal di Tanah Melayu.

Sekiranya seorang kanak-kanak Pahang dibesarkan dalam suasana perang atau khabar angin tentang peperangan, dan dia pula akan bercita-cita apabila besar nanti mahu menjadi seorang pahlawan terbilang, tetapi berlainan pula dengan kanak-kanak Terengganu.

Walaupun lelaki Terengganu memakai senjata tetapi dia kurang tangkas menggunakan senjata tersebut. Keris yang dipakai hanya sebagai pelengkap pakaian lelaki sahaja. Keadaan ini berlaku kerana masyarakat Terengganu memberi sanjungan yang lebih dan memandang tinggi mereka yang berpendidikan atau yang mempunyai kemahiran-kemahiran yang tertentu. Jelasnya orang Terengganu memuliakan mereka yang berpelajaran dan berilmu sama ada yang menguntungkan mereka di dunia mahupun akhirat.

Bagi Clifford, orang lelaki Terengganu dibesarkan sebagai pengecut tetapi mereka tidak mahu mengakui hakikat ini. Pandangan Clifford ini mungkin tidak adil kerana mencintai keamanan dan tidak suka bergaduh bukanlah sifat orang yang pengecut. Sebaliknya ia menggambarkan seseorang yang ingin tinggal di dalam sebuah masyarakat yang madani.

Walau bagaimanapun prestasi dan imej orang Melayu Terengganu adalah lebih baik dari orang Melayu lain, bukan sahaja di Pantai Timur tetapi juga di Semenanjung Tanah Melayu. Umumnya, seseorang anak Terengganu itu telah tamat membaca Quran sebelum akil baligh lagi. Pada masa yang sama mereka juga tahu menulis dan membaca jawi. Jadi masyarakat Terengganu adalah masyarakat yang mementingkan ilmu.

Namun demikian, orang Terengganu lebih terkenal kerana kemahiran mereka dalam bidang kraftangan. Hasil tangan seperti barangan tembaga, senjata dan juga pertukangan kayu mereka adalah yang terbaik, tercantik dan terhalus di kalangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Begitu juga dengan hasil tenunan kain dan songket mereka.

Mereka juga dikatakan pandai membuat barang-barang tiruan, contohnya, serban yang diekspot setiap tahun ke Mekah dan dijual di sana sebagai barangan tempatan yang dihasilkan oleh Arab Saudi sendiri.

Dari segi pakaian, pakaian orang Terengganu jauh berbeza dari orang Pahang. Kita boleh kenal orang Terengganu sebelum dia membuka mulutnya. Walau bagaimanapun Clifford tidak menjelaskan apakah yang dimaksudkannya. Namun begitu, sekiranya kita hendak buat andaian mungkin pakaian orang Terengganu itu lebih kemas sesuai dengan kerja mereka sebagai peniaga dan pedagang.

Orang Kelantan juga mempunyai ciri-ciri mereka tersendiri. Bagi mereka yang berjumpa dengan orang Kelantan buat kali pertamanya mungkin tidak akan faham tentang tutur-katanya. Orang Kelantan juga tidak faham bahasa orang lain kecuali dialeknya sendiri. Rupa atau paras orang Kelantan serupa sahaja; tidak begitu bersih baik dari segi rupa mahupun perangai.

Walau bagaimanapun dia mempunyai temperamen yang baik dan sentiasa bergembira. Orang Kelantan kuat dan gagah. Mengikut Clifford, ada orang Kelantan yang boleh memecahkan pintu dengan kepalanya. Contohnya, seorang lelaki yang diberi gelaran Awang Kepala Keras. Selain itu, dia juga boleh memikul beban yang berat, mengayuh perahu untuk beberapa jam dan boleh melakukan kerja lebih dari orang Melayu lain.

Tingkahlaku orang Kelantan agak kasar dan tidak sensitif seperti orang Melayu lain. Mereka kurang prihatin terhadap perasaan orang lain. Orang Kelantan berani tetapi beraninya membabi buta tanpa memikirkan akan bahaya yang mungkin dihadapi. Bagi masyarakat lain di Pantai Timur (orang Pahang dan Terengganu) watak baik orang Kelantan ditenggelami oleh reputasi orang Kelantan sebagai pencuri, perompak atau penceluk.

Semasa merompak mereka dikatakan menggunakan senjata tajam yang dikenali sebagai parang jengok.

Perempuan Kelantan lebih menonjol dari wanita-wanita lain di Tanah Melayu. Mereka sering kelihatan di pasar sama ada meniaga atau membeli. Mereka senang bertutur mesra dengan semua orang dan tidak menunjukkan sifat-sifat malu yang lazim ditunjukkan oleh perempuan Melayu yang lain.

Ada kalanya kemesraan mereka khusus dengan pelanggan lelaki bersifat `flirtatious’ atau kemanja-manjaan. Di Kelantan, lelaki dan perempuan, lain cara berpakaian mereka jika dibandingkan dengan orang Melayu lain. Orang lelaki Kelantan tidak memakai baju atau seluar sebaliknya mereka lebih selesa memakai sarung. Kain sarung diikat singkat hingga ke lutut dan apabila duduk lutut mereka terdedah.

Orang perempuan Kelantan pula suka berkemban dan bahagian bahu dan dada sering terdedah. Cara berpakaian begini membuat orang lain menganggap orang Kelantan tidak beradat dan beradab sopan.

Sebelum tahun 1888 orang Kelantan takut ke Pahang kerana orang Pahang menganggap orang Kelantan itu hanya layak untuk menajamkan matakerisnya sahaja. Dalam perkataan lain orang Kelantan itu baik dibunuh sahaja. Seperti orang Melayu lain di Pantai Timur, orang Kelantan juga suka berjudi sama ada berlaga ayam, kambing atau kerbau.

Pada keseluruhannya bagaimanakah agaknya cara hidup orang Pantai Timur?

Mengikut Clifford, di Kelantan, Terengganu dan Pahang, cara hidup mereka hampir serupa. Di kawasan pendalaman rakyatnya lebih lurus dan amanah, lebih rajin, mengalami prubahan yang sedikit dan hidup mereka sehari-hari berkisar kepada saraan hidup semata-mata. Mereka juga cepat tua. Mereka bangun pagi, bekerja atau rehat pada waktu siang dan tidur sebaik sahaja hari malam.

Hidup mereka mudah dan sudah pasti membosankan. Hidup mereka sederhana dan kebanyakan mereka tidak mampu untuk kahwin lebih dari satu. Penduduk yang tinggal di tepi pantai pula berbeza. Gosip dari istana, cerita-cerita tentang keberanian pahlawan, perbincangan tentang ilmu dan sebagainya memenuhi masa hidup mereka.

Bagi golongan remaja lelaki, dayang-dayang dan gundek-gundek Raja keadaan dan pergaulan yang bebas menambahkan lagi kenakalan remaja mereka. Walaupun risikonya tinggi, golongan remaja ini jarang-jarang mahu melepaskan peluang tersebut. Mereka yang didapati berkendak dengan gundek Raja bolah dihukum bunuh.

Rujuk :

“The Pople of the East-Coast” dalam buku, In Court and Kampung.


Tiada ulasan:

AddToAny