responsif teks foto

Sabtu, 6 Mac 2021

Sejarah Kesultanan Pahang dari Dinasti Bendahara.


Pemerintahan Bendahara di negeri Pahang bermula dengan keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan berakhir apabila Bendahara Tun (Wan) Ahmad ibni Almarhum Bendahara Wan Ali diisytihar sebagai Sultan. Keturunan Bendahara berjaya menjadi Sultan akhirnya adalah akibat daripada pepecahan semasa pemerintahan Bendahara Ali, di mana kerajaan Johor-Pahang mulai berpecah antara Orang Besar Melayu dan Orang Besar Bugis serta kewujudan kuasa Inggeris-Belanda di Kepulauan Melayu. Justeru kerana itu, Bendahara Ali menguatkan kedudukannya di Pahang sebagai pemerintah pada tahun 1819 dan Temenggong pula berkuasa di Johor.

Kaitan-salasilah :  kesultanan Melaka Johor Pahang 

Bendahara Tun (Wan) Ali yang menggantikan ayahandanya Marhum Koris dalam tahun 1806, telah mangkat dalam tahun 1857 di Kampung Lamir, Pahang Tua. Puteranya Tun Ahmad bersemayam di Pulau Maulana. Tidak berapa lama selepas itu berlakulah perbalahan antara Tun Ahmad dengan Tun Mutakhir, kekandanya. Perang itu dikenali sebagai 'Perang Saudara'. Tun Ahmad akhirnya berjaya menewaskan kekandanya apabila hulubalang-hulubalangnya di bawah pimpinan Panglima Kakap Bahaman telah menewaskan kubu Tun Mutakhir. 

Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah.
Tun Ahmad diisytihar sebagai Bendahara dan berpindah dari Pulau Maulana ke Kuala Sungai Parit yang kini dikenali dengan nama Kampung Padang Polo.





Pada tahun 1881, jurutulis kepada Bendahara Ahmad, Encik Abdullah bin Hassan yang dikenali sebagai Encik Dollah Tulis dengan persetujuan Bendahara, telah meminda cap iaitu daripada 'Bendahara' kepada 'Sultan'. Atas sebab itu, pada 6 Ogos 1882, Tun Ahmad diisytihar sebagai Sultan Ahmad. Manakala pada 12 Disember 1884, Sultan Ahmad telah ditabalkan sebagai Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah. Dari tarikh itu juga anakanda-anakanda baginda dinaiktaraf kepada Tengku manakala isteri baginda, Cik Puan Bongsu kepada Tengku Ampuan.

Apabila Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah mangkat pada 9 Mei 1914, Yang Mulia Tengku Besar diisytiharkan sebagai Sultan Mahmud. Baginda pula mangkat di Rumah Rehat Kuala Pahang pada malam Selasa 19 Jun 1917. Tempat baginda diganti oleh adinda baginda, Yang Mulia Tengku Abdullah yang kemudiannya ditabal dengan gelaran Al-Mu’tasim Billah Al-Sultan Abdullah.

Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah
Baginda Sultan Abdullah dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Antaranya ialah Yang Mulia Tengku Abu Bakar. Dalam tahun 1925, Tengku Abu Bakar dikahwinkan dengan Raja Fatimah, puteri kepada Sultan Alang Iskandar Shah, Perak. Tidak berapa lama selepas perkahwinan Diraja itu dilangsungkan, Sultan Alang Iskandar Shah telah berunding dengan Sultan Abdullah untuk mendapatkan persetujuan kerajaan Inggeris supaya Sultan Abu Bakar dilantik sebagai ‘ganti raja’ menggantikan keputusan yang diambil semasa Yang Mulia Tengku Mahmud diisytiharkan sebagai Tengku Besar .

Setelah beberapa lama, dengan sokongan Pesuruhjaya Tinggi Sir Hugh Clifford, kerajaan Inggeris telah bersetuju supaya Putera Sulung Sultan yang memerintah dilantik sebagai Pengganti Raja, dengan gelaran Tengku Mahkota. Maka pada 10 Jun 1930, Yang Mulia Tengku Abu Bakar telah ditabal sebagai Tengku Mahkota Pahang yang pertama. Dengan usaha Pesuruhjaya Tinggi C. Clement, kerajaan Inggeris telah bersetuju agar putera Sultan yang kedua dilantik sebagai ‘Tengku Arif Bendahara’ dan putera ketiga sebagai ‘Tengku Arif Temenggong’.




Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah
Baginda Sultan Abdullah mangkat pada pukul 8.25 malam Rabu. 22 Jun 1932. Sebelum jenazah Almarhum meninggalkan Istana Kuning, Yang Teramat Mulia Tengku Abu Bakar telah diisytihar sebagai Sultan Pahang. Baginda ditabal dengan gelaran Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933. Baginda Sultan Abu Bakar mangkat pada pukul 12.45 pagi, Ahad 5 Mei, 1974 setelah 42 tahun berada di atas takhta kerajaan negeri Pahang.



Sultan Haji Ahmad Shah Al‑Musta’in Billah
Maka dengan itu, Yang Teramat Mulia Tengku Haji Ahmad Shah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar telah diisytiharkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada 7hb Mei 1974.

Pada 1944, ketika berusia 14 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang. Apabila peperangan tamat, baginda meneruskan pembelajaran baginda di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu.

Pada 1948, Sultan Haji Ahmad Shah meneruskan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Oxford. Baginda turut masuk ke University College, Exeter, Devon bagi kursus Pentadbiran Tempatan. Ketika menduduki kursus tersebut, baginda menjalani latihan di Majlis Daerah Perbandaran di Sidmouth untuk tiga tahun.

Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Baginda menyerahkan takhta kepada paduka putera baginda, Tengku Abdullah, selepas memerintah negeri ini hampir 45 tahun bagi membenarkan paduka putera baginda layak menjadi Yang di-Pertuan Agong yang baharu berikutan Sultan Muhammad V turun takhta

Pada 22 Mei 2019, Istana Pahang melaporkan Paduka Ayahanda telah kembali ke rahmatullah tepat jam 8:50 pagi di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur setelah gering sekian lama. Baginda dimakamkan bersebelahan pusara isteri Baginda, Tengku Ampuan Afzan di Makam Diraja Pahang, berdekatan dengan Masjid Abu Bakar di Pekan, Pahang.

Tengku Abdullah diputra pada 30 Julai 1959 di Pekan, Pahang. Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari 2019, kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 oleh Majlis Raja-raja pada 24 Januari 2019. Baginda sebelum ini menyandang jawatan Tengku Mahkota Pahang hampir 44 tahun. Pada tahun 2016, baginda telah dimasyhurkan sebagai Pemangku Raja Pahang setelah mendapat perkenan oleh Sultan Pahang.

Tengku Abdullah berkahwin dengan puteri ketiga Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar, iaitu Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac 1986 di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor. Baginda mempunyai enam cahaya mata bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah; empat putera dan dua puteri.


Baginda berkahwin buat kali kedua dengan Julia Rais yang merupakan bekas pelakon Malaysia dan mempunyai tiga cahaya mata; kesemuanya puteri.

Yang di-Pertuan Agong ke-16
Pada 24 Januari 2019, Majlis Raja-raja dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-251 telah berkenan memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-16. Baginda telah mengangkat sumpah jawatan bagi memulakan pemerintahan baginda di tampuk Persekutuan di Istana Negara pada 31 Januari 2019.

Sumber: Malaysia Ku Dulu Dulu 
               wikipedia.org



Tiada ulasan:

AddToAny