responsif teks foto

Khamis, 4 Mac 2021

MAKLUMAT VAKSIN COVID-19




1 MAKLUMAT VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (KELUARAN SYARIKAT PFIZER-BIONTECH) BAGI PENERIMA VAKSIN


APA ITU COVID-19?

Penyakit COVID-19 disebabkan oleh coronavirus yang disebut SARS-CoV-2. Gejala mungkin
muncul 2 hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus. Gejala yang mungkin dialami adalah:

• demam atau menggigil;
• batuk;
• sesak nafas;
• keletihan;
• sakit otot atau badan;
• sakit kepala;
• kehilangan deria rasa atau bau;
• sakit tekak;
• kesesakan atau hidung berair;
• loya atau muntah; atau
• cirit-birit.

SIAPAKAH GOLONGAN BERISIKO TINGGI UNTUK MENDAPAT JANGKITAN COVID19?

Golongan berisiko adalah:

• Kanak-kanak
• Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas
• Pesakit dengan penyakit kronik
• Pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah
• Wanita hamil

APAKAH KEPENTINGAN MENGAMBIL VAKSIN COVID 19?

Vaksin COVID-19 diberikan untuk mengawal penularan penyakit COVID-19. Apabila semakin
ramai orang mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan
seterusnya mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang lebih teruk.
Secara tidak langsung ia boleh melindungi golongan yang berisiko yang tidak layak menerima
vaksinasi.



APAKAH JENIS VAKSIN YANG AKAN DIGUNAKAN DI MALAYSIA?

Terdapat beberapa jenis yang akan digunakan di Malaysia iaitu:

• Vaksin Covid-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech
• Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Astra Zeneka
• Vaksin Covid-19 inactivated keluaran Sinovac
• Vaksin Covid-19 recombinant viral vector keluaran CanSino
• Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Gamaleya

SIAPAKAH YANG LAYAK MENERIMA VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZERBIONTECH)?

Semua penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas layak menerima vaksin COVID-19
COMIRNATY (Pfizer-BioNTech). Keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan,
mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 seperti warga emas, pesakit
dengan masalah perubatan seperti pesakit jantung, kencing manis, darah tinggi, asthma,
kanser dan sebagainya.

SIAPA YANG TIDAK LAYAK MENERIMA VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZERBIONTECH)?

Anda tidak layak menerima vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) sekiranya
anda mempunyai:

Sejarah reaksi alahan teruk atau sejarah anafilaksis selepas menerima dos pertama
vaksin mRNA seperti vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech);
Nota: Reaksi alahan dianggap teruk sekiranya individu tersebut perlu diberi rawatan
di hospital

Reaksi alahan kepada sebarang kandungan vaksin mRNA COVID-19 walaupun tidak
teruk (reaksi alahan yang berlaku dalam tempoh 4 jam selepas menerima suntikan
vaksin mRNA COVID-19). Individu yang mengalami reaksi ini setelah menerima dos
pertama vaksin mRNA COVID-19, tidak akan diberikan dos kedua; atau

Sejarah reaksi alahan teruk atau sejarah anafilaksis setelah mengambil sebarang
ubat atau makanan atau kepada bahan yang tidak diketahui.

APAKAH HUKUM PENGAMBILAN VAKSIN COVID-19?

Majlis Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama
Islam yang bersidang pada 3 Disember 2020 mengambil ketetapan bahawa hukum
penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan
oleh Kerajaan.

ADAKAH SAYA DIBERI PILIHAN UNTUK MEMILIH JENIS VAKSIN COVID-19?

Tidak. Penerima vaksin tidak dibenarkan untuk memilih jenis vaksin COVID-19 yang akan
diterima. Ianya bergantung kepada bekalan stok sedia ada di pusat vaksinasi.

ADAKAH VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH) SELAMAT
PENGGUNAANNYA DI MALAYSIA?

Ya, vaksin ini selamat digunakan kerana ia telah berdaftar dan telah diluluskan oleh Bahagian
Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari 2021 untuk penggunaannya di Malaysia.

Pihak Food and Drug Administration (FDA) telah membenarkan penggunaan Vaksin COVID19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) sebagai langkah kecemasan untuk mencegah COVID-19
dalam kalangan individu berumur 16 tahun dan ke atas di bawah Penggunaan Kecemasan

Kebenaran (EUA).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memperakui bahawa vaksin COVID-19
COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) boleh digunakan bagi tujuan kecemasan pada 31 Disember
2020.

Ia juga telah diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan di USA, UK, negara-negara Eropah,
Israel dan Singapura. Malah sebanyak 48 negara telah memperakui penggunaan vaksin ini.


APAKAH YANG PERLU SAYA MAKLUMKAN KEPADA PETUGAS KESIHATAN
SEBELUM MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZERBIONTECH)?




Maklumkan kepada petugas kesihatan sekiranya anda:

• mempunyai sejarah alahan yang teruk;
• mengalami masalah pendarahan (bleeding disorder) seperti Haemophilia, Idiopathic
Thrombocytopenic Purpura (ITP) dan sebagainya;
• sedang dalam rawatan ubatan pencair darah;
• sedang mendapat rawatan yang merendahkan sistem imun badan;
• sedang mengandung atau merancang untuk hamil;
• sedang menyusukan bayi; atau
• telah menerima vaksin COVID-19 daripada jenama yang lain

Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor pakar terlebih dahulu untuk menentukan
kesesuaian untuk menerima vaksin COVID-19.

APAKAH PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN SELEPAS MENERIMA SUNTIKAN
VAKSIN COVID-19?

Setelah menerima suntikan vaksin COVID-19, penerima vaksin perlu:

1. Berada di ruang pemerhatian yang ditetapkan sekurang-kurangnya selama 15 minit.

2. Anda mesti memaklumkan kepada petugas kesihatan atau mendapatkan rawatan segera
sekiranya anda mengalami tanda-tanda berikut selepas menerima vaksin COVID-19:

• Kesukaran bernafas
• Pembengkakan muka, bibir dan tekak
• Denyutan jantung yang sangat cepat
• Ruam teruk timbul di seluruh badan
• Merasa pening dan lemah tubuh badan

3. Penerima vaksin perlu sentiasa mengamalkan norma baharu dan mengikuti langkah
pencegahan penyakit COVID-19.

4. Anda perlu menyimpan kad vaksinasi yang diberi oleh anggota kesihatan. Apabila anda
mendapat dos pertama, anda akan diberi kad vaksinasi untuk menunjukkan bila anda
perlu mendapatkan dos kedua Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.

APAKAH BAHAN-BAHAN YANG TERKANDUNG DALAM VAKSIN COVID-19
COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH)?


Vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) adalah jenis mRNA di mana bahan utama
adalah mRNA, lipid, gula, garam. Perincian kandungan vaksin adalah seperti berikut: mRNA, lipids ((4-
hydroxybutyl)azanediyl)bis(hexane-6,1-diyl)bis(2-hexyldecanoate), 2 [(polyethylene glycol)-
2000]-N,N-ditetradecylacetamide, 1,2-Distearoyl-sn-glycero-3-phosphocholine, and
cholesterol), potassium chloride, monobasic potassium phosphate, sodium chloride, dibasic
sodium phosphate dihydrate, and sucrose.

BAGAIMANA VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH) DIBERIKAN?

Vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) akan diberikan secara suntikan ke dalam
otot seperti di otot bahu. Anda akan menerima sebanyak dua (2) dos vaksin dalam selang
masa tiga (3) minggu (21 hari). Anda hendaklah menerima kedua-dua dos bagi memastikan
perlindungan optima. Bagaimanapun, vaksin ini tidak memberi jaminan untuk melindungi
semua orang daripada jangkitan COVID-19.

ADAKAH SAYA AKAN DILINDUNGI SEPENUHNYA SELEPAS MENERIMA VAKSIN
COVID-19 COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH)?







Vaksin akan mula menunjukkan keberkesanan melalui peningkatan antibodi dalam badan
bermula dari hari ke-12 selepas dos pertama diberikan. Pembentukan antibodi akan
meningkat secara mendadak selepas pemberian dos kedua. Ini bermakna, seseorang akan
dilindungi secara optima selepas menerima kedua-dua dos untuk mengurangkan
kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang serius. Walaupun seseorang itu telah
menerima dos lengkap vaksin, beliau masih perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti
mengamalkan 3W iaitu Wash, Wear, Warn dan mengelakkan 3C iaitu mengelakkan Confined
space (Sempit), Crowded Place (Sesak) dan Close conversation (Sembang dekat). Walau
bagaimanapun, pada masa ini, tempoh perlindungan jangka panjang terhadap COVID-19
masih belum diketahui.

APAKAH KESAN SAMPINGAN VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH)?

Vaksin ini adalah selamat dan kesan sampingan yang telah dilaporkan adalah ringan dan
bersifat sementara. Kesan sampingan ringan yang kerap dilaporkan adalah seperti berikut:

• sakit di tempat suntikan;
• penat (tiredness);
• sakit kepala;
• sakit otot;
• menggigil;
• sakit sendi;
• demam;
• pembengkakan di tempat suntikan;
• kemerahan di tempat suntikan;
• loya;
• merasa tidak sihat;
• pembengkakan kelenjar limfa; dan
• kesan-kesan sampingan yang

mungkin akan dilaporkan dari semasa ke semasa.
Walaupun sangat jarang berlaku, ada kemungkinan Vaksin COVID-19 (Pfizer-BioNTech)
boleh menyebabkan reaksi alahan yang teruk. Gejala alahan yang teruk biasanya berlaku
dalam tempoh beberapa minit hingga satu jam setelah menerima Vaksin COVID-19
COMIRNATY (Pfizer-BioNTech).

APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA SAYA MENGALAMI KESAN
SAMPINGAN SELEPAS SUNTIKAN?


Sekiranya anda mengalami kesan sampingan selain yang telah dinyatakan di atas, sila lapor
ke klinik kesihatan terdekat dan dapatkan rawatan dengan segera. Terdapat kemungkinan
kesan sampingan yang lain yang belum dilaporkan boleh berlaku.

BOLEHKAH SAYA MENOLAK UNTUK MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19
COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH)?


Anda boleh memilih untuk tidak menerima vaksin kerana penerimaan vaksin COVID-19 ini
adalah secara sukarela. Sekiranya anda adalah petugas barisan hadapan, mempunyai
penyakit kronik dan warga emas, penerimaan vaksin ini boleh mengurangkan risiko keterukan
penyakit apabila anda dijangkiti.

BAGAIMANA SAYA BOLEH MENDAPATKAN MAKLUMAT LEBIH LANJUT BERKAITAN
VAKSIN?

• Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, sila bertanya kepada petugas
kesihatan berhampiran
• Anda juga boleh melayari laman sesawang yang mengandungi maklumat yang lebih tepat
dan dipercayai seperti:

Terima Kasih Kerajaan Malaysia, RELA, KKM kerana memasukan nama saya dalam Fasa Pertama pada 7 Mac 2021.mengunakan Vaksin Covid-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech.


Tiada ulasan:

AddToAny