Pesara tentera, Staf Sarjan (SSjn) Bersara Nor Hisham Sapie hanya mengharapkan bantuan untuk meneruskan kehidupan beliau sekeluarga kerana terlantar akibat penyakit yang misteri.
Penyakit tersebut menyebabkan beliau lumpuh separuh badan dan tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga mencari rezeki.
Keadaan ini menyebabkan pesara tentera itu terlantar di katil sejak 9 Februari lalu.
Menurut beliau, segalanya bermula dari ketumbuhan yang dialami pada bahagian leher.
“Saya semakin pulih selepas jalani pembedahan buang ketumbuhan di Hospital Besar Temerloh,
“Namun keadaan kesihatan semakin merosot sebulan kemudian,” kata Nor Hisham kepada Air Times sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Durian Tawar, Kuala Triang, Bera, Pahang.
Menurutnya, beliau menderita apabila ketumbuhan yang dialami berlaku sekali lagi dan menyebabkan sakit di bahagian belakang.
Tambah Nor Hisham, pihak hospital masih gagal untuk mengesan penyakit yang dialaminya.
“Untuk mengenalpasti penyakit yang dialami, pihak hospital pernah mencadangkan agar saya merujuk ke hospital swasta dengan menggunakan duit sendiri,
“Saya buat Magnetic Resonance Imaging (MRI) di Pahang Medical Centre pun masih tidak dapat keputusan yang sebenar,” ujarnya lagi.
Buat masa ini Nor Hisham menghadapi kekangan apabila dirinya sudah tidak mampu bergerak tanpa bantuan isteri dan anak-anak di sisi. Ini terutamanya apabila beliau perlu berulang-alik ke Hospital Besar Temerloh bagi mendapatkan rawatan.
“Saya amat berharap agar diberikan peluang untuk jalani rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan,
“Mungkin rawatan di situ dapat memulihkan kembali keadaan saya dan boleh menyara keluarga,” ujarnya.
Keadaan Nor Hisham yang lumpuh separuh badan kini diuruskan oleh isterinya Norehan Mohd Rashid dan dua anaknya.
Menurut Norehan, suaminya mula mengadu mengalami sesak nafas dan pihak hospital mengesyaki berkemungkinan terdapat permasalahan di bahagian jantung. Namun setelah pemeriksaan dilakukan oleh pihak hospital, tiada simptom berkaitan jantung dikesan.
Selain mengharapkan wang pencen suami, anak lelakinya turut membantu menampung perbelanjaan harian dengan melakukan kerja-kerja di kampung. Seorang lagi anaknya sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka.
“Baru-baru ini saya menemani beliau di hospital selama dua minggu dan rawatan MRI di Hospital Kuantan,
“Saya tidak bekerja, hanya mengambil upah mengasuh dua anak jiran sementara ibu bapa mereka keluar bekerja,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Norehan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana sudi datang melawat dan memberikan sedikit sumbangan untuk meringankan beban beliau sekeluarga.
Terdahulu Menteri Kanan Pertahanan melancarkan Program Jiwa Murni di Kuala Triang, Bera sempena Hari Tentera Darat ke-88 yang disambut pada 1 Mac lalu. –
Kredit : airtimes.my
1 ulasan:
Pada 6 April 2021 Dimaklumkan Nor hissam b. Safie,bekas pesara tentera yang disebut di atas telah KEMBALI KE RAHMATULLAH sebentar tadi..Mari lah kita sama-sama sedekah kan Al-fatihah buat arwah Dan Salam takziah buat keluarganya..
(1) Tarikh Pengkebumian : 6 Apr 21
(2) Masa : Lepas Asar
(3) Tempat : Tanah Perkuburan Felda Sungai Kemahal
(4) Alamat Rumah : No 42, Felda Sungai Kemahal
28300 Triang
Catat Ulasan