responsif teks foto

Ahad, 24 Jun 2012

Kereta terbabas


Keadaan kereta yang dipandu Norazian terbabas dan terbalik
 di Felda Sungai Koyan, kelmarin.

LIPIS, FELDA SUNGAI KOYAN - Seorang remaja nyaris maut apabila kereta yang dipandu terbalik selepas terhumban ke dalam longkang di Kilometer 1, Jalan Kuala Lipis- Sungai Koyan di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, remaja terbabit, Norazian Ahad, 19, hanya mengalami kecederaan ringan.

Norazian ketika ditemui berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari rumah di Padang Tengku untuk mengambil kakaknya di Felda Sungai Koyan.

Menurutnya, bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian apabila kereta jenis Honda yang dipandu terbabit kemalangan.

“Kereta saya hilang kawalan dan berpusing beberapa kali ketika melalui satu laluan berselekoh sebelum tersasar ke kiri jalan dan terhumban ke dalam longkang.

“Akibat kejadian, kereta saya terbalik dengan keempa-tempat tayar ke atas,” katanya ketika ditemui di lokasi
kejadian, kelmarin.

Norazian yang berjaya keluar dari kenderaannya yang terbalik bersyukur kerana terselamat namun dia mengakui masih trauma dengan kemalangan yang nyaris meragut nyawanya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan mengesahkan beliau menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

Menurutnya, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh di laluan berkenaan menyebabkan kereta yang dipandu terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang.

“Pemandu dinasihatkan supaya lebih berhati-hati memandu terutama di kawasan selekoh bagi mengelakkan kemalangan,” katanya. - Sinar Harian

Sabtu, 16 Jun 2012

Bawa pulang RM20,000


PEMENANG pertandingan memancing bergambar bersama replika cek
 masing-masing di Kampung Beletik, 
KUALA LIPIS 12 Jun - Seorang pemuda yang menyertai pertandingan memancing kelmarin di Kolam Sempurna Sejati, Kampung Beletik di sini, Jefri Md. Nawi, 20, tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang.
Jefri yang menyertai pertandingan itu sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri berjaya menaikkan ikan keli seberat 8.9 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Menurut Jefri, pada awalnya dia mengikuti rakan yang juga seorang guru semata-mata untuk memeriahkan sambutan Hari Guru dan tidak menduga memperoleh rezeki apabila jorannya direntap seekor ikan keli.
"Saya tidak pernah memenangi hadiah wang tunai sebanyak ini tetapi bersyukur kerana membolehkan saya berbelanja peralatan membaiki rumah dan menabung untuk waktu kecemasan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama Pegawai Pelajaran Lipis, Misnan Mohd. Damin dan Penolong Pegawai Pelajaran Lipis (Unit Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya), Ahmad Daniar Ismail.
Sementara itu, anak peneroka Felda Chegar Perah, Zulkafli Mohamad, 42, menang tempat kedua dengan memperoleh wang tunai RM8,000 manakala tempat ketiga disandang oleh seorang buruh di Felda Koyan Satu, Yatong Abdullah, 25, (RM2,000).
Dalam pada itu Misnan berkata, program anjuran bersama Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) dengan Pejabat Pelajaran Lipis serta pengusaha pengusaha kolam itu disertai para kaki pancing terdiri daripada guru dari daerah ini, Raub, Maran, Bentong, Jerantut dan Lembah Klang.
"Program itu secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara guru dengan masyarakat setempat dan merupakan salah satu pengisian sambutan Hari Guru yang akan dilancarkan pada Sabtu ini," katanya.
Menurutnya, pertandingan tersebut mendapat sambutan dan mungkin dijadikan acara tahunan pada masa akan datang. UM

AddToAny