responsif teks foto

Jumaat, 21 Mac 2025

Bandar Lipis antara 20 bandar paling bahagi

 


Bandar Lipis di Pahang dan Telupid di Sabah telah diiktiraf sebagai antara 20 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2025 berdasarkan Indeks Kebahagiaan Malaysia.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan berkata, lapan daerah dianugerahkan gelaran Bandar Paling Bahagia dalam Kategori Majlis Daerah, manakala 12 lagi bandar menerima penghargaan yang sama dalam Kategori Majlis Bandaraya/Perbandaran sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.

Selain Lipis dan Telupid, tujuh bandar lain yang mendapat anugerah dalam kategori Majlis Daerah adalah Cameron Highlands (Pahang), Kuala Krai (Kelantan), Bandar Baharu (Kedah), Jerantut (Pahang), dan Jelebu (Negeri Sembilan), menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, 11 bandar yang menerima anugerah dalam kategori Majlis Bandaraya/Perbandaran termasuklah Bintulu (Sarawak), Temerloh (Pahang), Bandaraya Diraja Klang (Selangor), Jasin (Melaka), serta Batu Pahat, Pontian, dan Johor Bahru (Johor).

Bandar-bandar lain yang turut menerima anugerah tersebut adalah Putrajaya, Petaling Jaya (Selangor), Bandaraya Melaka (Melaka), Ampang Jaya (Selangor), dan Port Dickson (Negeri Sembilan).

Kajian Indeks Kebahagiaan melibatkan 153 Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Labuan), Sabah, serta Sarawak. Dari jumlah tersebut, 115 bandar (75 peratus) diiktiraf sebagai bandar bahagia, manakala 38 bandar (25 peratus) lagi berada dalam kategori sederhana bahagia.

Kriteria pengukuran indeks ini sejajar dengan penilaian kebahagiaan di peringkat global yang menilai faktor seperti tekanan hidup, kesihatan, hubungan kekeluargaan, serta tahap kepuasan terhadap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Kredit: Sinar Harian

AddToAny