Rabu, 26 Disember 2007

Sejarah Ringkas Kuala Lipis


Kuala Lipis merupakan ibu negeri Pahang yang pertama. Ia juga boleh dikatakan menjadi penempatan terawal di Pahang. Kedudukannya juga amat strategik iaitu di pertemuan tiga sungai iaitu Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Lipis

Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa Kuala Lipis telah mula didiami manusia sejak 2500 – 2400 tahun yang lampau. Kajian arkeologi telah menjumpai banyak artifak, antaranya ‘Pisau Tembeling’ iaitu alat yang digunakan oleh manusia pada zaman neolitik.

Penempatan manusia di sini berterusan hingga beribu-ribu tahun selepas zaman neolitik. Ini adalah kerana kedudukan geografinya yang strategik terletak berhampiran dengan sungai. Di sinilah punca air boleh didapati dengan mudah di samping merupakan antara jalan pengangkutan yang utama pada masa tersebut

Nama “Lipis” adalah dipercayai diambil bersempena dengan sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai Serau Lipis ( Pavetta indica). Memandangkan lokasi bandar ini terletak di kuala Sungai Lipis, maka ia dinamakan Kuala Lipis

Sebelum kedatangan orang Inggeris pada tahun 1887, Kuala Lipis menjadi pusat perdagangan bagi emas, jelutung dan lain-lain hasil daripada hutan disekitarnya.

Daerah ini dahulu dikenali Pahang Hulu atau Jelai, ianya diperintah oleh Maharaja Indera Perba Jelai merupakan gelaran bagi salah seorang Orang Besar Berempat di negeri Pahang dan Orang Kaya Indera Lipis (Orang Kaya Haji) memerintah di Kuala Lipis.

Setelah Inggeris memerintah Pahang, Inggeris telah menjadikan Kuala Lipis ibu negeri pada penguhujung bulan Jun 1898 mengantikan Pekan. Pada 27 Ogos 1955 ibu negeri Pahang dipindahkan pula ke Kuantan. Sebagai bandar utama pada masa itu, Inggeris telah membuka Pusat Pentadbiran Negeri dan sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Clifford yang mendapat nama daripada Sir Hugh Clfford residen pertama British di Negeri Pahang.

Perkhidmatan keretapi bermula pada tahun 1926 memyambungkan KualaLipis ke Johor Baharu disebelah selatan dan ke Tumpat Kelantan disebelah Utara. Sebelum adanya jalan keretapi perhubungan melalui sungai menjadi pengangkutan utama.

Tiada ulasan: