Ahad, 20 Disember 2009

Angin Kencang Di Pantai Timur Hingga Selasa


KUALA LUMPUR, 18 Dis [3.34 pm] - Jabatan Metereologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning iaitu hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun dari semasa ke semasa di Perak dan Kedah bermula hari ini, dijangka berterusan sehingga 20 Disember. Di Kedah daerah yang terlibat adalah Padang Terap dan Sik manakala di Perak daerah yang terlibat adalah Hulu Perak dan keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah seperti berhampiran tebing sungai. "Manakala keadaan yang sama dijangka berterusan hingga 22 Dis di kawasan pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang," kata jabatan itu. Di Kelantan kawasan yang dijangka mengalami keadaan itu adalah jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai. Manakala di Terengganu kawasan yang terjejas adalah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, dan di Pahang daerah yang mengalami keadaan demikian ialah Kuantan, Pekan dan Rompin. Kenyataan itu berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer (km) sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur) perairan Condore, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat dan Kudat) Reef North, Layang-layang dan Palawan di Laut China Selatan dijangka berterusan sehingga 23 Disember. Sehubungan itu, katanya, kawasan pantai di pantai timur Semenanjung terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sepanjang tempoh itu. "Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, kegiatan sukan dan rekreasi laut," kata kenyataan itu.
[Kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Metereologi ini seolah-olah ada kebenarannya. Difahamkan, seluruh bandar Kuantan mengalami hujan mulai awal pagi tadi. Kejadian yang sudah dianggap baik selepas edisi banjir baru-baru ini. Apakah banjir akan berlaku lagi untuk kali kedua di negeri ini agaknya?. Apapun kepada semua rakyat Pahang yang mendiami kawasan berisiko banjir, diharap dapat bersedia bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku. Pastikan segala dokumen penting disimpan dan diletakkan ditempat yang selamat. Ikut arahan pihak polis dan jangan sesekali memandai-mandai untuk menunjukkan kehebatan. Kita tidak mahu lagi mendengar ada mangsa yang meninggal dunia].

Tiada ulasan: