responsif teks foto

Jumaat, 31 Julai 2009

Sudah Merebak Ke Lipis




Kesan Domino H1N1

Oleh : My

Selama ini saya memandang ringan kes berkaitan H1N1 di negara kita. Seperti juga pihak sesetengah pihak yang mahu menukarkan istilah tersebut kepada selsema babi, bagi saya ianya tidak berapa penting. Namun sejak dua hari lepas di kawasan saya terdapat dua pelajar disyaki menghidap H1N1 dan hari ini saya mendapat tahu pelajar terbabit sah dijangkiti H1N1 barulah saya sedar betapa seriusnya wabak ini. Dan serta-merta sekolah pelajar terbabit iaitu Sek. Men. Keb. Clifford Kuala Lipis menjadi institusi terbaru yang mengumumkan penutupannya hari ini.

Apa yang menjadi persoalan di sini, adakah dengan menutup dan mengarahkan pelajar pulang kerumah (bagi pelajar asrama) akan menutup peluang merebaknya virus ini?

Seperti yang saya baca dari internet, "Seseorang yang dijangkiti mungkin boleh menjangkiti seorang lain bermula sehari sebelum simptom itu merebak hingga ke hari ke-7 selepas dijangkiti (sakit)"
(http://pmr.penerangan.gov.my/)

Dalam bahasa yang mudah, apabila pelajar A dikesan menghidap H1N1 dan merebak kepada pelajar B pada hari ini. Sekolah kemudian ditutup dan pelajar A ditahan di hospital sementara Pelajar B yang belum menunjukkan simptom pulang ke kampung/rumah dan dengan cara ini kesan seperti teori domino pun meletus! Cuba bayangkan selama ini IPT, Politeknik, Sekolah dan Kolej yang menutup dan membenarkan pelajar-pelajarnya pulang, berapa ratus agaknya dari mereka pembawa virus yang tidak dapat dikesan membawa pulang H1N1 ke kawasan masing-masing. Justeru itu kita sepatutnya memberi perhatian serius kepada isu H1N1 ini berbanding isu-isu lain seperti GMI, SPRM, PPSMI dan sebagainya.

Dalam pada parti pembangkang berura-ura mahu berhimpun berkenaan isu ISA pada 1 Ogos nanti, negara kita sebenarnya menghadapi satu masalah yang maha besar iaitu H1N1. Oleh itu wajarlah kiranya wakil-wakil dari pembangkang dan kerajaan duduk semeja bagi mencari satu jalan penyelesaian yang lebih sesuai berbanding dengan hanya menutup sekolah.

Percayalah bahawa wabak ini tidak mustahil menjadi sangat melarat hingga tidak mampu dikawal jika tiada langkah pencegahan yang lebih efisien. Harap pihak kementerian mengkaji semula prosedur penutupan IPT/Sekolah ini atau melakukan penambah-baikan supaya negara kita tidak musnah gara-gara kesan domino.

Antara cadangan saya adalah pihak media lebih banyak menyiarkan info berkaitan H1N1, simptom dan gejala penyakit serta maklumat terperinci tahap-tahap penyakit daripada awal jangkitan dan sehingga tahap kronik supaya masyarakat sedar peri-bahayanya H1N1.

Untuk lebih lanjut berkaitan H1N1, layari http://www.andiza.net/2009/06/influenza-h1n1-selesema-babi.html

Tiada ulasan:

AddToAny