Sambutan Tahun Masihi |
Soalan
Saya
pernah terbaca bahawa haram bagi kita umat Islam menyambut perayaan
Tahun Baru pada malam 31 Disember? Apa pandangan ustaz dalam perkara
ini?
Jawapan
Pertamanya,
sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari
menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu
menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah
sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita
mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang
tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut
disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.
Oleh
itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan
perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai
sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada
unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.
Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.
Walaupun
kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada
penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut
dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil
endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana
agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di
atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti
berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-
* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat
dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia
diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang
jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan
progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya
masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum
kelebihan majlis ilmu.
Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT
berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan
Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah " Al-‘Adat Muhakkamah"
Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).
Terdapat satu keadah lain berbunyi : " Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat"
Ertinya : Sesungguhnya
diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan
dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali
Ahmad An-Nadawi, ms 65)
* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram
yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini
hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan
oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang
baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala
itu, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga. Namun
ia tidak semestinya menjadikan seluruh sambutan menjadi haram jika
percampuran itu tidak menjadi satu agenda penganjur, tatkala itu,
mereka yang bercampur atas kehendak sendiri melakukan dosa secara
individu dan ia dari jenis 'haram lighairihi' atau haram yang datang
akibat dari sebab-sebab luaran.
* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam.
Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada
ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan
nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga
memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).
* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara'.
Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai
mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.
Sekian
Ust Zaharuddin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan