Fenomena sebahagian remaja menjadikan Valentine’s
Day sebagai
perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama
kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dananeh kerana perayaan ini tidak
pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalender. Akan tetapi ia terus
diingati dan diraikan saban tahun.
To be my Valentine?
Bagi mereka yang meraikan sambutan Valentine’s Day ungkapan ‘To be my
Valentine’ sering bermain di bibir. Kebiasaannya ia diungkapkan oleh teruna
kepada si dara dalam menzahirkan kecintaannya.
Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin
yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang
Maha Kuasa”.
Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan
kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar
atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya
menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu
sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah
dengan aqidah dan dimurkai Allah. Ini karena ia telah meminta seseorang menjadi
“Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya
pemujaan berhala.
Mengapa Mawar Merah?
Selain
ucapan ‘To be my Valentine’ pemberian jambangan mawar merah oleh si teruna
kepada si dara juga sering menjadi amalan pada Valentine’s
Day. Ia
dianggap satu simbol dalam menzahirkan kasih sayang ‘hakiki’. Sebenarnya
perbuatan ini merupakan amalan kebudayaan Eropah dengan diselitkan kepercayaan
aneh dan karut. Menurut satu mitos Rom kuno, mawar merah merupakan bunga
kegemaran Venus, si dewi cinta. Dewi itu amat sinonim dengan memperingati
kekasih. Ia tidak ada kaitan dengan Islam dan hanya mengikut ‘teladan’ mitos
karut.
Amalan memberi bunga mawar merah ini
sebenarnya mula dipopularkan pada tahun 1970an. Ia berlaku selepas Raja Charles
II mengarang buku yang bertajuk The Languange of Flowers, yang menguraikan tentang
amalan kebiasaan bangsa Persia yang mengungkapkan perasaan melalui bunga. Sejak
itu pemberian mawar merah terutama pada saat Valentine’s Day amat popular. Tanpa
mengetahui sebabnya ia terus menjadi amalan.
Hukum Menyambut Valentine’s Day
Sebenarnya,
majoriti tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan
Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian
Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.”
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November
2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan
oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya
yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh
Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama
Islam.
Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana
ingin menghalang keseronokan atau dengki di atas aktiviti trend baru zaman
moden ini. Tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam
Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan seantero umat manusia bagi
mengecapi keindahan hidup di dunia dan diakhirat.
Sejarah Valentine’s
Day
Menurut Rizki Ridyasmara di dalam bukunya, Valentine
Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, para sejarawan masih tidak
mempunyai kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari
Valentine terus diperingat. Tetapi daripada beberapa sumber sejarah terdapat
empat (4) versi pendapat yang amat popular berkaitan dengannya.
Pendapat Pertama
Pendapat pertama mengaitkan Sambutan Hari
Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian
yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang
berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi
cinta (Queen of Feverish Love) bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata.
Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi
pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut
kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama
gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan
menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta
perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari itu mereka akan
menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda
Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke
badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan diadakan
perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua
akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan
para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka
beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka. Semasa agama Kristian
menguasai Rom, mereka mengadaptasikan upacara paganism ini dan mewarnainya
dengan nuansa Kristian. Mereka menggantikan nama-nama gadis dengan nama-nama
Paus atau Pastor. Antara pendukungnya adalah Raja Konstantine dan Paus Gregory
I.
Pendapat Kedua
Pendapat
kedua pula mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika
pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua (2) kisah
berkaitan dengan St. Valentine ini.
Versi pertama menyatakan bahawa pada masa
pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi, hidup dengan
penuh mitos dan lagenda amat memusuhi penganut agama Kristian. Para mubaligh
Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang
tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut
dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan,
beliau tetap tegar mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan
banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan
diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau
memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14
Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut
Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap
agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh
penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.
Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan
anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh,
beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang
bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang
Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang
demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.
Versi
kedua pula menyatakan bahawa Claudius II, yang berhadapan dengan peperangan
beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih
tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang
telah berkahwin. Justeru itu, Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin.
Namun demikian, St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah
melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda Rom secara rahsia. Aktiviti
St. Valentine ini akhirnya diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan
St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.
Pendapat Ketiga
Ia
dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol dimana St.
Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha
menjatuhkan kerajaan Islam itu. Disebabkan sumbangan itu, St. Valentine
dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan
Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka
menganggap Islam adalah agama yang zalim.
Pendapat Keempat
Berdasarkan
apa yang dinukilkan oleh Geoffrey Chaucer, seorang penyair Inggris di dalam
puisinya. Sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang
musim mengawannya pada 14 Februari.
Berdasarkan kepada versi-versi tersebut, ianya
amat jelas tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung
dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan ianya amat terang
lagi tersuluh mempunyai kaitan dalam memperlekehkan aqidah Islam dan orang
Islam sendiri.
Kebejatan Acara Valentine’s Day
Sebenarnya
bukan sekadar apa yang tersirat di sebalik amalan dan kepercayaan berkenaan
Sambutan Hari Valentine ini sahaja amat keji dan perlu dihindari. Tetapi
acara-acara jelek dan tidak boleh diterima oleh budaya manusia bertamadun,
menjadikan ianya perlu ditolak dan dipadamkan dari takwim perayaan manusia
madani dan memiliki pegangan aqidah yang suci.
Lihatlah bagaimana saban tahun kebelakangan
ini, media-media mendedahkan pelbagai acara dianjurkan bagi mengamatkan
Sambutan Hari Valentine, khususnya kepada kalangan muda mudi. Ianya dicatur
berpaksikan kepada menzahirkan perasaan kasih dan sayang kepada pasangan
masing-masing. Amat jijik dan jelek sekiranya difikirkan dengan akal pemikiran
yang waras. Bagaimanakah seorang kekasih boleh menyerahkan dan melakukan apa
sahaja untuk kekasihnya tanpa ada sebarang ikatan demi membuktikan perjanjian
cinta?
Akan
tetapi, apa yang amat mendukacitakan, acara tidak bertamadun dan tidak bermata
dalam menilai kehormatan sesama insan itu tetap mendapat sambutan. Ia sukar
dibendung. Jauh sekali untuk dibersihkan sepenuhnya. Kesedaran pemikiran yang
waras tercabut dengan hayalan dan dongengan dek janji indahnya kasih sayang
tanpa ada suluhan kebenaran yang hak.
Berdasarkan kepada apa yang telah terjadi,
sebenarnya Hari yang bertemakan kepada menyanjungi dan mengagungi kasih sayang
di kalangan para kekasih menjadi hari permulaan bermulanya bencana dan
kehancuran. Sememangnya pada Valentine's Day akan muncul si Romeo dan si
Juliet yang mampu mengungkapkan bait-bait puisi seindah puisi William
Shakespeare. Tidak kurang pula juga mereka yang sehebat si Laila dan si Majnun
dalam bergelumang memperjuangkan kesetiaan cinta dengan bibir mengalunkan
kata-kata puitis seindah puisi Jamaludin Rumi. Itu semua hanya seketika dek
karamnya mereka di dalam bahtera gelojak nafsu tanpa nakhoda keimanan.
Keindahan detik ‘syurga’ ciptaan penuh tipu daya hanya wujud pada hari itu
sahaja. Ia akan ghaib entah ke mana setelah berakhirnya Valentine’s Day.
Penderitaan,
kekecewaan dan penyesalan akan menyelusuri. Ia akan menggantikan nikmat yang
tidak seberapa. Si Romeo yang menjanjikan seribu kesetiaan menjadi halimunan
bersama janjinya. Si Majnun yang menaburkan selangit pengorbanan demi kasih,
cinta dan setia bisu dan ghaib entah kemana. Ia sudah terlambat untuk diatasi.
Nasi sudah menjadi bubur. Cempedak sudah menjadi nangka. Kekesalan sudah tiada
gunanya.
Islam Ada Cara
Islam sebagai agama fitrah dan sempurna,
sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama kekasih. Ini dapat dilihat melalui
apa yang diungkapkan di dalam Kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah
s.a.w. bongkarlah khazanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w itu bagi
mencarinya.
Menzahirkan
kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia.
Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis
di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul
ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan
sebagai perkahwinan.
Ia bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama
manusia. Akan tetapi, ia hanya bermatlamatkan menjadikan masyarakat yang
stabil, aman dan harmoni. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang
dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu
menunggu detik satu hari dalam setahun.
Penutup
Bagi
menyelamatkan agamadan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan
bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s Day ini perlulah
disemaikan dalam setiap minda kita mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s
Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di Negara kita. Wujudkanlah
perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak
akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah,
syarak dan tamadun manusia. JAKIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan