responsif teks foto

Sabtu, 7 Jun 2014

Rumah mampu milik

Penduduk Kuala Telang, Tanjong Jambu dan Merapoh dalam kawasan Dun Padang Tengku berpeluang memiliki rumah mampu milik apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Pejabat Pentadbiran daerah Lipis sudah mengenal pasti tapak untuk projek berkenaan.

Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Longberkata, seluas 3.6 hektar tapak dikenal pasti di persimpangan Kuala Telang/Tanjong Jambu untuk projek kediaman mampu milik membabitkan 120 unit rumah, termasuk di Merapoh dalam jumlah keluasan yang sama.

Menurutnya, lawatan ke tapak projek berkenaan dilaksanakan pegawai SPNB, Pejabat Daerah Lipis dan penghulu mukim berkenaan, manakala kajian dari segi pemasaran, lokasi dan tanah sedang diselenggarakan SPNB sebelum keputusan dibuat dalam masa terdekat.

“Kita mengharapkan SPNB melaksanakan tanggungjawab terbaik kerana penduduk kawasan ini mengharapkan projek kediaman mampu milik yang kompetitif dan sederhana berasaskan pendapatan serta nilai ekonomi di sini.

“Saya yakin projek ini akan direalisasikan secepat mungkin kerana penduduk kawasan Padang Tengku khususnya kalangan generasi hari ini yang sudah berkeluarga memerlukan kediaman tetap, selesa dan berdekatan tempat kerja masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak perumahan bersama pegawai SPNB dan Pejabat Daerah Lipis, di Simpang Kuala Telang/Tanjong Jambu dan Merapoh, di sini semalam.

Mustapa berkata, projek berkenaan merupakan perintis dalam sektor perumahan mampu milik di Lipis juga melestarikan sebahagian transformasi dalam bidang sosial di sini.

“Hasrat kita melebarkan projek ini di pinggir bandar Kuala Lipis dan lokasi berdekatan jalan raya Kuala Lipis ke Merapoh memandangkan daerah ini sahaja masih memerlukan 4,000 unit rumah berasaskan kepesatan penduduk dan pembangunan perbandarannya,” katanya.

Menurutnya, pembangunan pinggir bandar Lipis dan pusat pertumbuhan baharu Merapoh yang kian melebar berasaskan sektor pertanian, industri kecil dan sederhana termasuk pelancongan menyebabkan permintaan terhadap kediaman yang selesa dan kos yang kompetitif semakin menggalakkan dalam kalangan penduduk tempatan dan orang luar.

“Pembangunan jalan raya Central Spine Road (CSR) yang selesa dari Kuala Lipis ke Merapoh memberi impak pertumbuhan kawasan baharu sehingga permintaan terhadap kediaman tetap semakin meningkat,” katanya.

Sehubungan itu katanya, SPNB dapat membantu pembangunan projek itu sekali gus berperanan bagi memastikan harga rumah yang dijual lebih rendah berbanding pemaju swasta yang lain.

Beliau berkata, projek berkenaan antara manifestasi kerajaan negeri untuk memastikan penduduk memiliki kediaman tetap, selain projek Perumahan 1Malaysia (Prima) termasuk kemudahan yang sama disediakan anak syarikat kerajaan negeri dan Felda.

Tiada ulasan:

AddToAny