Kedua-dua PRK kali ini adalah cubaan kali pertama di
semenanjung untuk pola politik baru negara. Pertandingan tiga penjuru yang
benar-benar tiga penjuru. Walaupun semasa PRU13 lalu ia telah berlaku di
beberapa kerusi, namun blok politik masih dalam konsep dwiparti.
Dari keputusan PRK, nampaknya bentuk sebegini amat positif
terutama bagi parti yang teguh berjuang atas dasar dan prinsip masing-masing.
Mereka tidak perlu berkira-kira untuk melonggarkan prinsip atau menipu pengundi
semata-mata meraikan pakatan. Jangan bimbang soal membentuk kerajaan kerana
pakatan tidak semestinya berlaku sebelum pilihanraya sahaja!
2. KEPUTUSAN DUA PRK SEKATA
Bacaan trend pengundian dilihat sama antara kedua PRK ini.
Walaupun pecahan kaum agak berbeza, tetapi dari sudut yang lain ia memberikan
banyak persamaan seperti bilangan keluar mengundi dan undi mengikut kaum.
Ini sedikit sebanyak boleh memberi gambaran umum bagaimana
trend politik semasa rakyat Malaysia. Jika diadu dengan keputusan PRN Sarawak
yang baru sahaja selesai, mudah untuk mana-mana parti melakukan muhasabah dan
mencatur gerak untuk menghadapi PRU14.
3. TIADA FAKTOR CALON
Faktor calon tidak begitu memberi kesan. Pemilih lebih
melihat kepada perjuangan parti. Perkara ini berada dalam status quo. Ini biasa
berlaku di kawasan parlimen dan juga kerusi campuran.
Keadaan ini memudahkan semua parti menjelang PRU14. Yang
berpakat boleh terus berbincang soal pembahagian kerusi tanpa menilai wibawa
setiap calon. Tetapi barang diingat, ini hanya terpakai pada kawasan kerusi campuran.
4. BN MENANG TAPI MENURUN
Sekali pandang, BN menang besar kali ini dengan majoriti
yang tersangat tinggi. Tetapi jika dihitung campuran undi dua pembangkang
ditambah sedikit faktor pecah undi, sokongan terhadap BN boleh dikatakan statik
sahaja. Undi BN nyata menurun kira-kira 2000 undi, berbanding PRU13 walhal PRK
biasanya adalah lauk BN.
Perpecahan pembangkang tidak memberi nilai tambah yang
ketara buat BN. Sokongan terhadap kepimpinan Najib masih tidak pulih. BN masih
tidak boleh selesa terutama jika pembangkang menjumpai solusi untuk mengubat
persepsi terhadap mereka.
5. PAS RAMPAS UNDI BN
Sebahagian undi BN adalah dari masyarakat cina yang mula
beralih dari Dap. Dengan jumlah undi keseluruhan BN yang menurun, ini bermakna
sokongan melayu terhadap BN telah pergi kepada PAS dan diganti oleh cina.
Ini boleh dilihat melalui setiap peti undi. Di kawasan Cina,
50% dimiliki PH dan 50% lagi dimiliki BN. Kawasan melayu pula, 50% diperoleh BN
dan 50% dimiliki PAS. Melayu sangat tidak berminat kepada PH.
BN patut memikirkan lebih jauh terutama di kawasan majoriti
melayu intelek yang tidak boleh digula-gulakan. Potensi PAS untuk menguasainya
adalah sangat tinggi sekiranya PRU dilambatkan seperti sedia kala.
6. PH PARTI CINA
Angan-angan PH untuk kuasai negara boleh dilupakan. Ini
kerana mereka hanya mendapar sokongan kaum minoriti sahaja di Malaysia. Itupun
sudah menurun drastik. Sedangkan undi teras di Malaysia adalah dari kaum
melayu.
Faktor BN boleh memerintah sehingga hari ini adalah kerana
menguasai undi melayu walaupun pernah hilang hampir 100% undi bukan melayu.
Malangnya hakikat ini masih sukar difahami politikus PH.
7. PAN TUNGGUL KAYU
Nyata kemunculan Pan tidak berjaya menggantikan peranan PAS
dalam PR suatu ketika dulu. Undi melayu masih diantara BN dan PAS sahaja. Dap
boleh lupakan Pan mulai sekarang kerana mereka tidak memberi apa-apa nilai
tambah kepada PH.
Terserah jika Pan masih mahu berusaha. Tetapi adat politik
Malaysia, parti serpihan sebegini hanya beri kesan untuk tempoh yang sebentar
sahaja, itupun sebagai tunggangan parti besar buat sementara waktu sahaja.
8. PH TERJEJAS TERUK
PH yang bergantung penuh kepada sokongan cina tidak lagi
boleh duduk diam. Jika dahulu mereka memiliki sokongan hampir 90% masyarakat
Tiong Hua, kali ini menurun hingga ke 50% sahaja. Perkara sama berlaku di
Sarawak dalam PRN baru-baru ini. Dijangka akan terus menyusut ekoran beberapa
isu urustadbir Dap di Penang dan lain-lain.
Nampaknya taktik menguasai pengundi melalui sentimen
Islamophobia tidak begitu berkesan. Tiong Hua yang celik lebih mengambil cakna
soal kecekapan urustadbir dan maslahah ekonomi mereka. Mereka lebih percaya
kepada persatuan-persatuan peniaga, kebajikan dan pendidikan mereka lebih dari
tipudaya politikus.
9. PH PENGACAU POLITIK
Sepatutnya kewujudan PH dalam politik Malaysia yang selama
ini hanya mengenali PAS dan Umno mampu untuk memberi impak signifikan untuk
menumbangkan BN. Malangnya mereka tidak berjaya menyentuh sedikitpun undi Umno.
Lebih malang apabila kewujudan mereka hanya untuk berebut undi dengan PAS
sahaja.
Mereka langsung tidak mahu tunduk menyokong sahaja PAS yang
sudah lama bertapak. Malah sikap PAS yang merendah diri menerima mereka sebagai
rakan akhirnya dipijak kepala. Nyatalah apa warna PH selama ini. Samada gila
berkuasa, talibarut BN atau semenangnya bodoh berpolitik.
10. PH DITAKUK LAMA
Mereka tidak boleh pergi lebih daripada trend 2008. Seolah
telah mati akal untuk mencari formula baru bagi menambah sokongan. Kononnya
menganggap dengan mengekalkan status quo boleh meningkatkan sokongan sebaliknya
merudum pula.
Dengan dakwaan mewakili kelompok profesional, PH sepatutnya
mencipta idea-idea baru untuk mewarnai trend politik Malaysia, bukan hanya
muncul bercakap soal salah laku kerajaan sepanjang masa. Profesional mereka
hanya jadi pembaca berita sahaja bukan sebagai jurutera masadepan negara.
Sedangkan PAS pula walaupun dituduh jumud dan parti Pak Lebai, sudah bercakap
perkara tersebut berpuluh tahun lalu sejak mereka masih ditipu BN lagi. Kini
PAS sudah mula meninggalkan fasa itu untuk bergerak setapak lagi sebagai
penyelesai masalah pula.
11. HUDUD BAHAN POLITIK
Sepanjang kempen PRK, PH jelas mempergunakan agama untuk
politik walaupun PAS telah nyatakan RUU 355 bukan hudud. Ia hanya soal
naiktaraf bidangkuasa mahkamah syariah. Pindaan sebegini sudah berlaku zaman
90an dahulu dan bukan perkara pelik dari sudut perundangan.
Mereka bercakap di hadapan audiens bukan Islam isu ini
walhal tiada kaitan sedikitpun dengan mereka. Nyata ia menjadi alat untuk
memburukkan Islam secara halus. Dasar politik machiavelli, sanggup mengenepikan
agama demi politik.
Namun PAS tidak peduli dan tetap bawa usul RUU sehingga
dibaca. Ini menunjukkan PAS tidak sedikitpun bimbang soal sokongan kerana yang
lebih mustahak adalah soal martabat agama, bukan semata-mata politik.
12. ISU NASIONAL TAK MAIN PERANAN
Kesilapan PH adalah banyak berceramah isu-isu nasional tanpa
menyentuh isu setempat. Mereka juga tidak ada tokoh tempatan yang lebih dekat
dengan rakyat. Semuanya mengharap tokoh luar. Walaupun isu yang dibawa sangat
besar dan merugikan kerajaan, tetapi ia tidak mempengaruhi rakyat.
Rakyat perlukan pemimpin yang kenal mereka dan mereka kenal
pemimpin. Rakyat tidak sempat berfikir soal jet atau 1MDB. Mereka lebih
terkesan dengan isu setempat, isu harga barang, masalah JKKK, perparitan,
prasarana kampung dan sebagainya.
13. MAHATHIR TUTUP BUKU
Nampaknya tidak ada apa yang boleh dibanggakan lagi kepada
Mahathir. Menyatakan sokongan kepada PH pun tidak boleh berbuat apa. Sedarlah
orang BN tidak wala' kepada individu walau sehebat manapun jasa dan namanya.
Bagi yang terhegeh gilakan sokongan dari Mahathir, ingatlah
kembali tegasan Presiden PAS, usaha kalian itu hanya sia-sia sahaja. Kalau
alergik dengan kebenaran dari PAS sekalipun, sekurang-kurangnya renunglah
kembali warkah dari penjara.
14. ANALISA AWAL PAKAR POLITIK TERSASAR
Sebelum PRK, ramai menjangka PAS akan jadi parti tercorot
dan hilang pengaruh. Perkara ini disebut ramai pensyarah, pengulas, peramal dan
pakar politik.
Hakikatnya apa yang disebut sekadar bersifat omongan kosong.
Ataupun mereka memainkan peranan sebagai spekulator atau pencipta persepsi.
Mereka tidak jujur dengan profesionaliti yang ada apabila bercakap tanpa
statistik dan fakta.
Terdahulu mereka pernah buat ramalan untuk pemilihan PAS dan
PAS pasca muktamar. Nyata semua itu tersasar. Rekod-rekod ini menunjukkan
ulasan mereka ini tidak boleh lagi diterima untuk akan datang. Tidak
keterlaluan jika saya nyatakan ulasan politikus BN lebih tepat dari mereka.
15. WAJAH BARU PAS DITERIMA
Undi PAS dalam PRK ini hapir sama dengan kedudukan seperti
tahun 2004, sewaktu tanpa koalisi Dap. Ini menunjukkan undi teras PAS tidak
tergugat. Satu petanda baik bagi PAS yang sedang mencuba pendekatan baru
seperti BPMS dan blok ke-3. Penyokong PAS menerima baik perkara ini. Tuduhan
bahawa PAS kini mengelirukan awam dan tersasar dari perjuangan adalah jauh dari
realiti.
Kerja bertambah mudah apabila hanya perlu memahamkan atas
pagar sahaja. BPMS dan Blok ke-3 masih di peringkat permulaan. Keputusan PRK
ini amat positif untuk PAS meneruskan strategi ini hingga ke kemuncaknya.
16. KEKUATAN SEBENAR PAS
Walaupun PAS bersendirian, jika dibanding dengan gabungan
tiga parti dalam PH, undi yang diperoleh sekata. Ini bermakna PAS menyumbang
hampir 50% kekuatan PR selama ini. Nyata tanpa PAS PH tiada apa-apa. PH perlu
terima hakikat yang pahit ini.
Sedikit masa lagi PAS akan jadi parti termahal nilainya di
Malaysia. Masing-masing akan berusaha merebut PAS sebagai rakan koalisi. Waktu
inilah PAS boleh jual mahal, dengan mensyaratkan koalisi mestilah membenarkan
PAS dengan cita-cita Islamnya.
*ISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN*
_(Alang Ibn Shukrimun)_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan