responsif teks foto

Jumaat, 25 Ogos 2017

Misteri Wanita Dukung Anak Di Kem Batu Lima, Mentakab Pahang

Oleh : Nenek Kebayan


Perkara ini berlaku kira kira pada tahun 1984 yang lalu. Suami saya merupakan seorang pegawai tentera yang ditugaskan di Kem Batalion 2 Melayu DiRaja Malaysia. Ketika itu, saya dan suami duduk di sebuah Kem di Batu Lima, Mentakab Pahang. Kalau tak silap saya kem itu masih lagi wujud namun Batalion 2 Melayu DiRaja telah pun dibubarkan.

Pada waktu itu, komunis masih lagi bertapak di Malaysia. Maka selalunya anggota Batalion 2 Melayu ini akan ditugaskan untuk menjaga kawasan Hutan Lanchang, kawasan Mancis dan juga sekitar kawasan Bukit Mas, Pahang serta banyak lagi tempat yang lain. Para anggota perlu membuat rondaan memandangkan saki-baki komunis ada di kawasan tersebut.

Namun kali ni suami saya tidak terlibat dengan operasi membanteras saki-baki komunis yang berada di sekitar hutan di negeri Pahang. Suami saya berada di barisan belakang dengan seorang pegawai doktor, tugas mereka adalah untuk menjaga kem, kebajikan isteri dan anak-anak anggota yang ditinggalkan suami kerana terlibat dalam operasi membanteras saki-baki komunis. Sebenarnya kami hidup dalam ketakutan kerana komunis ada di kawasan berdekatan tetapi anggota kami sentiasa siap-sedia sebilang masa.

Rumah pegawai dan rumah anggota lain-lain pangkat diasingkan. Disebabkan suami saya seorang pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda pada waktu itu, kami ditempatkan di sebuah rumah jenis banglo. Manakala anggota lain-lain pangkat pula ditempatkan di rumah flat dan ada yang duduk di rumah kayu kita panggil rumah hijau atau rumah papan. Rumah itu adalah peninggalan tentera British dahulu.

Suami saya tidak boleh meninggalkan kem begitu juga dengan pegawai doktor yang berpangkat Mejar itu tadi. Dipendekkan cerita, si doktor ini baru saja berkahwin, isterinya pula masih belajar di sebuah universiti yang terletak di Kuala Lumpur. Mereka hidup secara berasingan. Jadi dia terpaksa menjemput isterinya menumpang di rumah saya, sewaktu itu saya sedang mengandung 2 bulan, doktor menginap di rumah saya ketika itu.

Pada awalnya dia merancang mahu menumpang selama seminggu tetapi tak jadi kerana pada keesokan harinya, isteri doktor mahu balik ke Kuala Lumpur sebab ketakutan. Sebab kenapa beliau ketakutan, saya akan ceritakan di sini. Pada satu malam, kebetulan pula malam itu adalah hari Khamis malam Jumaat. Kami berempat sedang makan malam, saya, suami, doktor dan isteri doktor. Selepas makan kami bersantai sambil menonton televisyen.

Tiba-tiba datang sebuah Landrover tentera di hadapan rumah, saya membuka tingkap nak tengok siapa yang datang. Rumah saya ini jenis banyak tingkap, bayangkan saja rumah banglo peninggalan tentera British. Rumah kami berjauhan antara satu rumah dengan rumah yang lain dalam lebih kurang 100 meter ke 300 meter. Bukan itu sahaja, rumah saya juga terasing dengan rumah orang lain kerana di belakang rumah saya terdapat anak sungai kecil yang memisahkan rumah kami dengan gudang peluru.

Berbalik kepada cerita tadi, saya mendengar suara anggota memberi salam dan saya menjawab salam tersebut. Kemudian seorang anggota berpangkat sarjan bertanya, “Assamualaikum puan, ini rumah Tuan A ke?”. Saya jawab ya. Suami saya kemudiannya menghampiri tingkap dan bercakap sendiri dengan sarjan berkenaan. Anggota itu berkata, “Tuan kami difahamkan bahawa Doktor K, ada kat rumah tuan”. Suami saya mengiakan pertanyaan tersebut.

Mendengar namanya disebut, doktor menghampiri suami saya di tingkap dan terus bertanya, “Ada apa hal sarjan?”. Sarjan itu menjawab, “Saya baru saja meronda kawasan dan kami berdua terjumpa seorang isteri anggota bersama anak kecil”. Doktor tanya, “Pimpin atau dukung?”. Jawab sarjan, “Dukung. Kami tanya nak ke mana, dia kata nak datang ke sini ke rumah Tuan A”.

Saya, suami dan isteri doktor memandang antara satu sama lain. Doktor berkata lagi, “Jadi dia bukan cari saya la ye?”. Sarjan menjawab, “Saya ada tanya dia doktor, dia kata dia nak jumpa doktor. Dia kata dia tahu doktor ada kat rumah Tuan A”. Doktor memberi arahan kepada sarjan dan pemandu untuk pergi ambil perempuan tadi dan bawa ke resat (klinik), nanti dia akan menyusul kemudian.

Jadi anggota tadi pergi semula ke tempat yang dia bertemu dengan perempuan tadi. Iaitu di pondok menunggu bas. Tidak berapa lama kemudian, sarjan tadi menelefon rumah saya untuk bercakap dengan doktor, suami saya jawab doktor sudah bergerak ke klinik. Suami saya sempat bertanya pada sarjan tadi tentang perempuan bersama anak kecil itu tapi sarjan jawab dia tak tahu perempuan itu sudah pergi ke mana.

Dia ada cari juga di sekitar kawasan pondok menunggu bas namun tidak jumpa. Hairan dia macam-mana perempuan boleh berjalan cepat sangat sambil bawa anak kecil, waktu malam pula tu. Kalau dia jalan dah tentu kita di sini nampak, sarjan beritahu pada suami takkan dia jalan ikut hutan kerana ini satu-satunya jalan yang ada.

Sebenarnya saya dah pernah mendengar cerita tentang perempuan kendong anak sedang menunggu di pondok bas dan berjalan pada waktu malam. Selalu anggota yang bertugas malam terserempak dengan perempuan berkenaan. Tetapi saya takut nak beritahu pada suami dan isteri doktor ketika itu, sebabnya malam itu ialah malam jumaat tambahan pula saya sedang mengandung masuk 2 bulan anak pertama.

Sebenarnya suami saya pun tahu tentang cerita itu tetapi dia sengaja buat macam biasa sebab rumah kami ada tetamu. Tidak berapa lama selepas itu, kami mendengar bunyi kereta doktor masuk ke kawasan laman rumah, dia masuk saja ke rumah terus kami bertanya, “Macam-mana doktor, ada ke perempuan yang sarjan bagitau tadi?”. Doktor berkata, “Tak ada, tapi tak apa dah pesan kat budak-budak tadi tu kalau ada terus telefon saya”.

Selepas itu, suami saya pun membuka cerita tentang perempuan kendong anak berkenaan. Alangkah terperanjatnya doktor apabila mendengar cerita itu. Doktor terus bertanya suami saya, “Memang betul ke ada benda itu kat sini?”. Suami saya menjawab, “Aku pun tidak tahu sebenarnya betul ke tidak tapi aku ada dengar. Bukan sorang je yang bercerita pasal itu. Tapi yang aku peliknya, macam mana dia tahu kau ada kat sini?”.

“Itulah yang aku fikirkan dari tadi sebab isteri aku tengah mengandung tu,” kata doktor. Sekarang, saya dah rasa seram sangat kerana isteri doktor rupa-rupanya baru sahaja mengandung. Usia kandungannya baru masuk sebulan. Kami kemudiannya membuat keputusan batalkan menonton filem di televisyen yang kami sedang tengok. Masing-masing masuk ke dalam bilik untuk tidur. Sedang kami tidur, kira-kira dalam anggaran pukul 2 lebih pagi rumah saya mula diganggu.

Mula-mula bunyi telefon berdering, suami saya bangun pergi ke ruang tamu untuk angkat telefon. Namun selepas telefon itu diangkat, tidak ada suara yang menjawab. Selepas itu, suami saya meletak telefon dan masuk ke bilik semula. Tidak lama kemudian, telefon itu berdering lagi tapi kali ini doktor pula yang angkat telefon. Seperti tadi juga, tidak ada orang pun yang bersuara di sebalik panggilan telefon itu.

Saya berbisik kepada suami, “Agaknya benda itu?”. Tetapi suami saya cuba menafikan, katanya dah nak masuk waktu subuh ni mana ada. Tak berapa lama selepas itu, ada yng mengetuk pintu rumah saya. Pintu rumah saya jenis besar ada cermin dan berbingkai kayu. Jadi kami terpaksa gantung langsir supaya tidak nampak orang di bahagian luar pintu rumah. Suami saya bangun lalu dia mengendap dari daun pintu bilik kami. Dia curi-curi tengok di sebalik kain langsir pintu. Suami saya kata dia nampak seorang perempuan bertudung kain batik di kepala, tetapi tak nampak mukanya sebab perempuan itu menghadapkan mukanya ke tempat rak kasut.

Suami saya kata memang confirm benda itu. Mungkin kerana tidak ada yang membuka pintu, tidak berapa lama selepas itu, mahkluk itu seolah-olah marah. Rumah kami yang dikelilingi dengan pokok mangga tiba-tiba macam ada angin kencang. Tingkap merata-rata macam ada orang ketuk. Tingkap rumah kami diketuk kuat dari satu tingkap ke satu tingkap. Rumah saya dahlah banyak tingkap, semua tingkap kaca bingkai kayu jenis lama. Kami yang berada di dalam rumah ketakutan dan masing-masing hanya diam membisu.

Yang paling takut, kami dengar di mana-mana, kami sendiri tidak pasti sama ada di depan rumah atau di belakang rumah atau mungkin di atas pokok ada suara perempuan menjerit menangis-nangis, diselang-seli dengan suara bayi yang menangis dengan kuat. Kami berempat terus mendiamkan diri sambil berdoa dan membaca apa-apa ayat yang kami ingat sampailah hilang bunyi itu.





Tiada ulasan:

AddToAny