ANGGOTA-ANGGOTA polis yang diserang pengganas
komunis di
Balai Polis Bukit Kepong pada 1950.
|
Peristiwa ini tidak pernah luput daripada ingatan dan kenangan setiap rakyat Malaysia apabila segerombolan pengganas komunis melancarkan serangan mengejut ke atas Balai Polis Bukit Kepong yang terletak kira-kira 59 kilometer dari Muar, Johor.
Peristiwa hitam yang berlaku kira-kira 69 tahun lalu itu terpahat sebagai kemuncak kekejaman pengganas komunis di Tanah Melayu yang bertujuan membalas dendam terhadap pasukan keselamatan yang telah membunuh ramai anggota mereka sejak perintah Darurat diisytiharkan pada tahun 1948.
Abdullah C. D dalam buku Memoir Abdullah CD Bahagian II: Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10 (2007) mengakui, serangan mengejut kira-kira pukul 4.30 pagi, menjelang waktu Subuh itu digerakkan dengan kekuatan satu kompeni pasukan gabungan komunis yang terdiri daripada anggota Cina dan dua platun seksyen Melayu di bawah pimpinan Mat Indera.
“Mereka mengetahui bahawa polis-polis di situ terdiri daripada orang Melayu. Untuk mengelakkan pertumpahan darah yang besar mereka tidak putus-putus melaungkan seruan ‘surrender’, ‘buang senapang tak mati’, agar polis-polis itu terselamat dari maut.
“Akan tetapi kerana polis-polis itu berlawan bermati-matian, mereka terus ditekan dengan tembakan hebat dan lontaran bom tangan sehingga balai polis tersebut terbakar dan ditawan. Kompeni tersebut merampas sejumlah senjata dan peluru” (Abdullah C. D. 2007).
Abdul Samad Idris dalam buku 25 Tahun Merdeka (1982) menyatakan peristiwa menyayat hati itu tetap dikenang sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan lagi jijik pengganas komunis dalam sejarah negara.
“Pengganas komunis bukan sahaja membunuh anggota pasukan polis yang mempertahankan kedaulatan negara bahkan turut membunuh isteri-isteri dan anak-anak pasukan keselamatan yang tidak berdosa.
“Biarlah generasi akan datang terus mengutuk keganasan komunis yang tidak berperikemanusiaan itu,” tulis Abdul Samad Idris lagi.
Walaupun diserang bertali arus oleh pengganas, namun Sarjan Jamil Mohd. Shah bersama 25 anggota polis terlibat mempertahankan diri dari dalam kubu masing-masing di kawasan balai tersebut.
Pertempuran sengit itu didengari penduduk kampung bersenjatakan senapang patah dari Kampung Jawa tetapi kemaraan mereka disekat anggota komunis yang siap sedia berkawal di situ.
Menurut Abdul Samad, pihak polis tetap memberi tentangan sengit terhadap serangan komunis yang dianggarkan dengan kekuatan 10 kali ganda berbanding pasukan keselamatan yang bertahan di Balai Polis Bukit Kepong itu.
“Kira-kira 250 orang gerila komunis yang diketuai seorang Melayu dikenali sebagai Mat Indera telah menyeru Sarjan Jamil supaya menyerah diri. Namun, Sarjan Jamil dan orang-orangnya tidak menyerah kalah walaupun pasukannya hanya mempunyai kekuatan 25 orang sahaja” (Abdul Samad Idris 1982: 439).
Menurut Abdul Samad, pihak pengganas terus menggandakan serangan sehingga berlarutan menghampiri pukul 6.30 pagi pada 23 Februari 1950.
Ketika itulah, ketua pengganas tersebut, Mat Indera meniup trompet kali terakhir meminta semua anggota polis menyerah diri jika mahu selamat tetapi disahut oleh Sarjan Jamil dengan laungan: “Pihak polis tidak akan menyerah diri biar apa pun terjadi!”.
Tembak menembak bergema kembali dan pihak komunis mula melontar bom tangan ke arah balai polis tersebut menyebabkan asap berkepul-kepul menjulang ke udara. Selepas lima jam pertempuran sengit berlaku antara kedua belah pihak, pihak komunis berjaya menawan balai polis itu. Kematian Sarjan Jamil Mohd. Shah dan rakan-rakannya, tiga anggota pegawai rendah, anggota polis biasa (6), anggota polis marin (3), anggota polis tambahan (2) , anggota polis bantuan (5), isteri polis (2), anak anggota polis yang masih kecil (2) dan orang awam (2), begitu menyayat hati.
Hanya empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga termasuk isteri dan anak-anak mereka terselamat dalam serangan nekad tersebut.
“Kita sendiri tentulah dapat menggambarkan bagaimana perasaan setiap anggota polis dengan jumlah yang kecil terpaksa menghadapi tiga ketumbukan pasukan gerila komunis dengan bilangan 10 kali ganda ramainya.
“Tindakan komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah langkah balas dendamnya setelah anggota keselamatan membunuh 23 orang pengganas komunis dan mencederakan 17 orang lagi rakan mereka di hutan Labis, Segamat Johor pada bulan Januari 1950” (Abdul Samad Idris: 440).
Menurut laporan Utusan Malaysia pada 24 Februari 2012, bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Datuk J. J. Raj menganggap anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Bukit Kepong sebagai wira yang tiada tolok bandingnya dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara menentang keganasan komunis.
“Mat Indera telah meminta polis serah diri tetapi Sarjan Jamil tetap tidak mahu menyerah. Ketika itu mayat berada di sebelah kanan dan kiri Sarjan Jamil. Kalau manusia biasa tentu dia sudah serah diri tetapi semangat Sarjan Jamil begitu kental, beliau pada saya adalah anggota polis paling berani di negara ini,” beritahu J.J Raj yang menyelia 20 buah balai polis termasuk Balai Polis Bukit Kepong di bawah jagaannya ketika itu. - Utusan Malaysia
"Sampai juga saya ke sini masa dalam Tentera dulu Tahun 2001..." |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan