responsif teks foto

Sabtu, 6 Ogos 2022

Ustaz Hussain bin Ibrahim dalam kenangan

 



TOKOH MAAL HIJRAH PAS LIPIS 1444 - ALLAHYARHAM USTAZ HUSSAIN BIN IBRAHIM DALAM KENANGAN

Alhamdulillah wasyukrulillah.
Majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Lipis Kali Ke 54 yang berlangsung pada 30 Julai lepas selain menjadi wahana perkongsian maklumat oleh kepimpinan PAS kepada ahli-ahli, juga turut memberikan penghargaan kepada tokoh-tokoh yang banyak berjasa kepada masyarakat.
Antara penghargaan yang diberikan ialah Anugerah Tokoh Maal Hijrah bertepatan dengan tarikh tersebut adalah 1 Muharram 1444. Salah seorang tokoh yang menerima anugerah tersebut ialah Allahyarham Ustaz Hussain Ibrahim As-Shahidi. Beliau dipilih berdasarkan sumbangan besarnya kepada dunia pendidikan di Daerah Lipis.

Panggilan "As-Shahidi' adalah salah satu nama yang diberikan kepada beliau semasa hayatnya. Beliau kembali ke rahmatulLah pada 8hb. Disember, 1988 di Hospital Besar Kuala Lumpur susulan daripada beberapa penyakit yang dihidapinya. Anak tunggal daripada perkongsian hidup antara Allahyarham Haji Ibrahim Haji Shahid dengan Kiah binti Deraman ini telah meninggalkan 9 orang cahaya mata dan seorang balu. Hampir kesemua anak beliau kini terlibat dalam sektor pendidikan.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Berchang, Kuala Lipis selain dihantar mengaji agama dan Al-Quran dengan seorang guru agama di kampung tersebut. Beliau kemudiannya telah mengikuti bapa angkatnya Tuan Haji Othman Daud, Kadi Daerah Lipis ketika itu yang mendapat arahan pertukaran ke Pekan, Pahang. Pada 3hb. Januari, 1947 beliau telah mendaftar di Kuliah Al Lughah Wal Addin Sultan Abu Bakar. Di madrasah tersebut, beliau adalah seorang pelajar yang aktif dengan menyertai pelbagai aktiviti seperti syarahan, ceramah, perbahasan dan sebagainya. Setelah tamat darjah 8 dan memperoleh Sijil Syahadah Thanawi, beliau kembali ke Lipis dan bersama rakan-rakannya yang lain telah berusaha menubuhkan sebuah sekolah agama rakyat yang kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama al-Maidah Addiniah di Padang Tengku.

Ilham menubuhkan sekolah tersebut tercetus susulan ketiadaan sebuah sekolah agama di Daerah Lipis. Ketika masih menuntut di Kuliah Sultan Abu Bakar, Ustaz Hussain pernah mendapat galakan daripada Datuk Abu Samah Ali, Ketua Jabatan Agama Islam Pahang supaya beliau menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menubuhkan sekolah tersebut agar tugas itu dapat berjalan dengan kemas dan teratur. Hasil dorongan itu beliau telah mengumpulkan orang-orang berpengaruh di kawasan Padang Tengku sehingga terbentuknya sebuah jawatankuasa untuk merintis usaha berkenaan.

Pada Mei 1957 sekolah tersebut telah dirasmikan oleh Tengku Mahkota Pahang ketika itu iaitu DYTM Tengku Ahmad Shah. Ustaz Hussain dilantik menjadi mudir yang pertama. Pada tahun 1967 sekolah tersebut telah diambil alih oleh Majlis Agama Islam Negeri Pahang. Sekolah yang diasaskan oleh beliau itu terus berkembang hingga kini melahirkan berbagai tokoh masyarakat, ahli-ahli politik dan pendidik-pendidik yang telah memberi sumbangan dalam sektor pendidikan negara.
 
Ustaz Hussain As-Shahidi telah menamatkan khidmatnya sebagai seorang pendidik di bawah Jabatan Agama Islam Pahang pada 31hb. Disember, 1986. Beliau kemudiannya menyumbangkan khidmat bakti kepada penduduk setempat sama ada dengan pengajian pondok mahupun ceramah agama hingga detik-detik akhir kehidupan beliau. Ketika masih berkhidmat sebagai guru beliau aktif di dalam ABIM Lipis dan setelah bersara beliau pernah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis.
Semoga ruhnya dihimpunkan Allah bersama kalangan hamba-Nya yang soleh.

CATATAN:
1. Rujukan mengenai sejarah penubuhan sekolah agama tersebut boleh dilihat di https://ms.m.wikipedia.org/.../Sekolah_Menengah_Agama_al...
2. Allahyarham Datuk Abu Samah Ali pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Pahang yang ketiga pada tahun 1965 hingga 1969. Beliau juga adalah bapa kepada Datuk Hamzah Abu Samah yang pernah menjadi menteri kerajaan Persekutuan Malaysia.
3. Anugerah telah diterima oleh balu Allahyarham iaitu Puan Hasmah binti Haji Ismail.

Kredit FB : Roslan Zainal Al-Ahmadi


Tiada ulasan:

AddToAny