responsif teks foto

Ahad, 31 Mac 2024

Buaya - Perjanjiannya di Sungai Pahang

 


“Buaya di Sungai Pahang tidak baham orang. Ada kisah lama di sebalik mengapa buaya-buaya ini tidak ganggu manusia cari rezeki di sungai,” kata Pok Mat memulakan cerita tradisi lisan penduduk Pahang.
Menurut Pok Mat, buaya-buaya di Sungai Pahang sudah tidak lagi membaham manusia disebabkan terikat ‘perjanjian’ dengan seorang pawang terkenal di negeri itu, Pawang Kader atau nama sebenarnya Abdul Kader Awang sekitar tahun 1930-an.

“Diceritakan, seekor buaya besar pernah membaham lelaki Orang Asli di daerah Pekan pada satu masa dahulu (1930-an). Lelaki itu cedera parah tetapi berjaya menyelamatkan diri. Berita itu sampai ke telinga Pawang Kader,” katanya.Ujar Pok Mat lagi, Pawang Kader yang meninggal dunia pada lewat 1980-an itu memiliki ilmu mistik termasuk pandai mengubati gangguan makhluk halus serta berkebolehan menjinakkan haiwan berbisa dan juga pemangsa seperti buaya.

“Setelah menerima khabar daripada penduduk, Pawang Kader segera bertemu lelaki Orang Asli itu. Pawang Kader bukan sahaja membantu mengubatinya, tetapi turut bertanya mengenai ciri-ciri buaya yang menyerangnya,” kata Pok Mat.

Pawang Kader dikatakan pergi ke tepi sungai yang menjadi lokasi lelaki itu diserang. Sambil disaksikan orang kampung, Pawang Kader menyeru buaya berkenaan supaya tampil bersemuka dengannya.
“Beberapa minit selepas membacakan ayat (al-Quran), buaya itu pun timbul. Dikatakan, Pawang Kader hukum buaya itu. Tidak pasti jenis hukumannya. Buaya itu mengalah dan diminta mengikat satu perjanjian.

“Dalam perjanjian (lisan), buaya itu serta seluruh keturunannya tidak dibenarkan membaham manusia. Untuk keadilan dalam perjanjian itu juga, manusia tidak akan membunuh buaya di negeri ini,” tambahnya. Bagaimanapun, Pok Mat menambah, langkah berhati-hati perlu diutamakan ketika berada di habitat haiwan pemangsa itu.

Ia kerana sifat semula jadi reptilia tersebut yang lazimnya akan bertindak ganas di luar jangkaan apabila berasa terancam disebabkan oleh kehadiran manusia.

Pawang Kadir & Kisah Perjanjiannya Di Sungai Pahang


Tiada ulasan:

AddToAny