responsif teks foto

Jumaat, 6 Mac 2009

Promosi projek inap desa



KUALA LIPIS 5 Mac – Agensi pelancongan diminta membantu kerajaan negeri dalam mempromosikan projek inap desa (homestay) di Kampung Kuala Medang dan Kuala Koyan di Hulu Jelai dekat sini, bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat banyak tarikan di kedua-dua kawasan tersebut yang boleh ditonjolkan kepada pelancong tempatan dan asing.

Beliau berkata, ketika ini, projek inap desa terutama di Kuala Medang banyak menerima pelancong asing dari Korea, Jepun, Singapura, United Kingdom, Australia dan China yang ingin menyaksikan lebih dekat kehidupan tradisional masyarakat Melayu termasuk Orang Asli di Betau.

Katanya, untuk kemudahan pelancong, kerajaan negeri telah pun menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk jalan raya di kedua-dua kawasan berkenaan.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga telah memperuntukan sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan asas di Kuala Koyan bagi membolehkan sebuah lagi pusat inap desa berasaskan kehidupan Orang Asli dibangun di kawasan itu.

“Kita berharap, kerjasama daripada agensi pelancongan dapat menarik kedatangan lebih ramai pelawat ke kawasan terbabit seterusnya membantu penduduk dalam memasarkan hasil kraftangan mereka bagi menambah pendapatan,” katanya di sini hari ini. Utusan Malaysia

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pernah satu petang berbual dengan 2 orang pelancong dari Jerman di bahagian bawah Alamanda. Antara lain penulis tanya apa yang mereka cari datang ke sini. Jawapan mereka:
1. Nak tenguk bangunan lama termasuk rumah;
2. Nak tinggal di dalam kampong dan ikut serta buat kerja kampong: tanam padi, tanam jagung, tanam ubi, tangkap ikan, jaga kerbau kambing, dll aktiviti orang kampong.

Mereka bukan nak tenguk bangunan modern, dataran itu dataran ini. Tempat mereka lagi banyak, lagi hebat. Mereka kata mereka sudah bosan dengan benda-benda itu.

Cuba fikirkan.

AddToAny