Sabtu, 20 Mac 2010

Najib Sebak Pulang Ke Lipis


foto by Kumprinx

KUALA LIPIS: Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, lawatannya sehari hari ini ke Kuala Lipis, bukanlah sebarang lawatan.

Ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan bonda Tun Rahah Mohd Noah, program sehari beliau bersama warga Lipis, tempat kelahirannya begitu bermakna sekali.

Lawatannya ke tempat kelahirannya itu merupakan yang pertama kali sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009.

"Saya begitu tersentuh hati bila orang Lepeh (sebutan Lipis) mengibaratkan saya sudah "balik ke Lepeh", dan saya begitu terharu dengan sambutan yang diberikan," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dengan Umno dan Barisan Nasional Lipis, di sini.

Perdana Menteri berkata sejak pagi tadi selepas menghadiri program Sambutan 50 tahun Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan lawatan ke rumah kelahirannya di Bukit Bius, emosinya begitu terharu dengan sambutan yang diberikan.

Lebih 5,000 orang membanjiri Dataran Lipis ketika menyambut Najib merasmikan program kementerian itu.

Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata beliau juga terharu ketika ditawarkan bertanding di Parlimen Pekan pada pilihan raya umum 2004 berikutan keputusan agak kurang memberangsangkan pada pilihan raya umum sebelum itu.

"Pada 1999 (pilihan raya umum) saya hadapi masalah di Pekan, saya menang cuma 241 undi majoriti.

"Saya sayang "Lepeh" tapi saya yakin orang Pekan masih menerima saya," katanya.

Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 ketika Allahyarham Tun Razak dan Tun Rahah menetap di Kuala Lipis.

Berucap pada sambutan 50 tahun Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan wilayah sebelum itu juga, Najib berkata beliau memaklumkan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya majlis sambutan itu tidak sesekali diadakan di Pekan.

"Apabila Datuk Seri Shafie kata nak buat di Lipis, saya begitu teruja sekali, malah bonda saya juga berkata walau apa pun, beliau pasti akan datang juga," kata Najib.

Beliau kemudiannya turut melawat rumah kelahirannya yang kini menjadi kediaman rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang di Bukit Bius di sini yang ternyata menggamit memori beliau 57 tahun lepas.

Najib yang ditemani Rosmah dan Rahah tiba di rumah berkenaan kira-kira 1.25 petang dan meluangkan masa kira-kira 30 minit.

Beliau nyata begitu teruja semasa menatap gambar-gambar lamanya ketika dibesarkan di rumah berkenaan. - BERNAMA

Gurindam dari Lipis




Anak Lipis dewasa di Pekan,
Turun waris pemimpin ternama,
Alhamdulilah syukur kita lafazkan,
Satu Malaysia rakyat di utamakan.

Turun waris pemimpin ternama,
Bagai harimau meninggalkan belang,
Satu Malaysia rakyat diutamakan,
Bersatu melonjak prestasi cemerlang.

Bagai harimau meninggalkan belang,
Masyhur sejarah musim berzaman,
Bersatu melonjak prestasi cemerlang,
Makmur Malaysia sepanjang zaman.

Oleh : Rahmin Mahasan

1 ulasan:

inDah iNdrIana berkata...

wah.. bestnye.. tp syg x dpt tgk sbb ade kt serawak