Khamis, 13 Mei 2010

Pengasas Al-Arqam meninggal dunia



Bekas pemimpin Al-Arqam, Ustaz Ashaari Muhammad telah meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center pada 13 Mei 2010, jam 2.10 petang kerana jangkitan paru-paru. Jenazah beliau telah dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah di Ipoh.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari Muhammad. Ia juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan telah mengembangkan pengaruhnya dikalangan berbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia ini. Ajaran-ajaran Al-Arqam mendapat sambutan sebilangan masyarakat yang dikelirukan dan menganggapnya sebagai sebuah badan dakwah yang unggul. Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.

Sejarah
Bermula dengan 10 hingga 12 orang ahli Al-Arqam pada tahun 1968 ketika ditubuhkan, kemudian bertambah kepada 40 orang ahli jemaah pada tahun 1976, keahlian jemaah ini, menurut Ann Wang Seng, kemudian bertambah secara mendadak pada tahun-tahun berikutnya sehingga pada tahun 1987 jemaah itu mencatat sekitar 5,000 hingga 6,000 keahlian. Namun menurut Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994 dianggarkan seramai 6,000 pengikut yang fanatik dan 15,000 simpatisan. Utusan Melayu (4 Julai 1994) pula melaporkan seramai 10,000 pengikut.
Aktiviti Darul Al-Arqam bermula pada 1971-72 di Kampung Datuk Keramat dan beroleh perhatian dan penerimaan ramai setelah bertapak di Sungai Pencala pada 1973-75.

Pemimpin kanan
Berikut beberapa pemimpin kanan Al-Arqam yang menjadi tulang belakang kejayaan pertubuhan Al-Arqam selama 26 tahun dari 1968 – 1994.
1. Ustaz Ashaari Muhammad – pengasas pertubuhan Al-Arqam
2. Akhbar Anang
3. Ustaz Mohktar Yaakob – sarjana syariah
4. Zabidi Mohamed – penasihatundang-undangAl-Arqam
5. Haji Hassan Mokhtar
6. Khairil Anuar Ujang- peguam
7. Shuib Sulaiman
8. Ibrahim Mohamad
9. Jailani Kasmani
10. Khadijah Aam
11. Khadijah Din
12. Pak Salleh

Ajaran
Di antara kepercayaan mereka adalah kepercayaan bahawa Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup. Menurut Ustaz Ashaari, Sheikh al-Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin Umat Islam. Tindakan Ashaari yang mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir .
Ciri-Ciri
Pegangan Al-Arqam adalah berpunca dari pengajaran Ashaari Muhammad dan pegangan pengikut-pengikutnya terhadap Aurad Muhammadiah yang diantara lain memberi ajaran dan

fahaman seperti berikut: [1]
* Syeikh Muhammad As-Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah, berjumpa Rasulullah saw dalam jaga dan menerima Aurad Muhammadiah daripada Baginda Rasulullah saw di dalam Kaabah.
* Syeikh Muhammad As-Suhaimi tidak mati, tetapi ghaib dan akan muncul semula sebagai Imam Mahdi.
* Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Khalifah Rasulullah saw dan meletakkan setaraf dengan Khulafa’ Al-Rasyidin.
* Rasulullah saw, para sahabat dan para aulia didakwa boleh ditemui secara jaga (majlis yaqazah) selain melalui mimpi. Mereka datang k untuk mengesahkan sesuatu yang diperlukan oleh pengikut-pengikut Al-Arqam umpamanya mengenali siapa yang taat dan siapa yang tidak taat kepada Al-Arqam dan pemimpinnya.
* Syeikh Muhammad As-Suhaimi dipercayai kononnya boleh datang menolong apabila diseru namanya.
* Ashaari Muhammad dipercayai, selain seorang yang soleh, wali yang mempunyai karamah, adalah seorang Mujaddid akhir zaman .
* Ashaari mendakwa dirinya dari keturunan Bani Tamim, iaitu satu rumpun dengan keturunan Nabi Muhammad saw yang memegang panji-panji Al-Mahdi. [2]

Meluaskan Pengaruh
Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan kecemerlangan organisasi dakwah tertentu. Tidak dinafikan aspek kewangan sangat penting untuk keberlangsungan sesuatu gerakan, namun banyak lagi faktor lain yang perlu diambilkira seperti aspek kepimpinan, keagamaan, keilmuan dan keintelektualan, kepengikutan, pengurusan, pembinaan dan lainnya. Sebanyak 52 buah kedai runcit dibangunkan di seluruh perkampungan Al-Arqam, 20 buah pasar mini, 36 buah kedai buku dan alat ibadat dan 18 buah restoran di seluruh Malaysia. Al-Arqam juga memiliki 56 buah kilang perusahaan di seluruh Malaysia.
Pada tahun 1993, Al-Arqam mengambil langkah yang drastik dengan menumpukan perhatian kepada dunia antarabangsa. Langkah pertama adalah dengan menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC) yang menghimpunkan 22 buah anak syarikat milik jemaah Al-Arqam. Setelah membuka pusat hubungan antarabangsa di Islamabad, Pakistan dan diberi nama Al-Arqam International Centre (AIC). Pada tahun inilah Ashaari mengisytiharkan terbentuknya Daulah Islam di bumi Malaysia, Indonesia dan Khurasan.

Krisis Kepimpinan
Krisis kepimpinan Al-Arqam bermula setelah berlakunya penyingkiran Akbar Anang pada tahun 1979 yang merupakan Ketua Unit Perkhidmatan Ummah. Menurut Akbar Anang, penyingkirannya bersama adalah kerana beliau mempersoalkan ajaran Al-Arqam , namun menurut Ashaari, Akbar Anang disingkirkan kerana beliau cuba membentuk pakatan yang bertujuan menyingkirkan Ashaari daripada tampuk kepimpinan Al-Arqam. Akbar Anang memberontak dan mendedahkan keperihalan Aurad Muhammadiah sehingga dihadapkan ke Pusat Islam pada 1979. Ashaari dilapor menafikan Kiyai Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Imam Mahadi dan berjaya membersihkan Darul Al-Arqam daripada kesangsian asas.

Diharamkan
JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) telah melihat adanya penyelewengan akidah dalam organisasi ini. Setelah bermuzakarah dengan pemimpinnya, Ashaari Muhammad, yang pertama sekali dilakukan oleh kerajaan adalah mengharamkan buku Aurad Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam pada tahun 1986.
Kini kumpulan Al-Arqam tidak lagi wujud kerana telah diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994, tetapi yang wujud ialah Kumpulan Rufaqa’. Kerajaan telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikeluarkan pada 5 Ogos 1994. Fatwa Majlis Kebangsaan itu memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik.
Berikutan itu Ashaari yang ditahan bersama beberapa pemimpin kanan kumpulan itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah membuat pengakuan terbuka mengenai penyelewengan Al-Arqam. Kemudian beliau dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan. Beliau dibebaskan pada 25 Oktober 2004.

Rujukan
Penyelewengan Jemaah Al-Arqam dan Usaha Pemurniannya oleh Mohd. Lazim Lawee,Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, 2004. 223 halaman + indeks. ISBN 967-942-682-3.
Tersungkur di Pintu Syurga, Zabidi Mohamad]] , Zabidi Publication, Kuala Lumpur , 1998

4 ulasan:

Pengembara silam, berkata...

Al-fatihah..yg keh kenal shuib sulaiamn sebab dia org Batu sembilan, jln keretapi..

Perentas masa berkata...

al fatihah dulu ramai juga orang lipis join arqam ni sebelum di haramkan

Tanpa Nama berkata...

Siub Sulaiman tu orang Kg Bt 9

zaini berkata...

"ada juga orang Lipis..."berita harian online semalam melapurkan ada pengikut kumpulan itu yang berangapan kononnya bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad itu cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat. Perkara ini menyalahi fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan. Kerajaan perlulah mengambil tindakan tegas.