responsif teks foto

Rabu, 27 Disember 2017

Sungai Telang tercemar teruk..."

Sungai Telang Tercemar
Jabatan Alam sekitar (JAS) Pahang mengesahkan air di Sungai Telang, Kampung Beletik, Lipis kelihatan tercemar dengan warnanya bertukar seakan-akan air lumpur, seperti yang diadu oleh orang awam.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata JAS Pahang telah mengambil sampel air sungai di kawasan berkenaan untuk dianalisis susulan aduan yang diterima oleh beliau menerusi aplikasi WhatsApp pada 12 dan 19 Dis lalu.


Katanya siasatan lanjut JAS Pahang juga mendapati berlaku aktiviti perlombongan di kawasan hutan Simpan Tersang dan usaha sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada lombong terbabit beroperasi secara sah atau tidak.

"Saya memandang serius terhadap pencemaran sungai ini kerana Sungai Telang merupakan sumber utama yang digunakan penduduk kampung untuk kegunaan harian seperti air minuman, mencuci pakaian dan menangkap ikan.

"Oleh demikian, saya telah mengarahkan JAS untuk menggunakan apa juga kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk mengekang pencemaran ini," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata buat masa ini, arahan pemberhentian kerja serta-merta akan dikeluarkan terhadap operator terbabit bagi membendung pencemaran yang berlaku dan arahan untuk melaksanakan langkah-langkah pemulihan kawasan yang menjadi punca pencemaran sungai juga akan dikeluarkan.

Keengganan mematuhi arahan ini boleh menyebabkan setiap operator didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, katanya.
Wan Junaidi

"Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap keperluan dan denyut nadi rakyat dalam mengurus pembangunan negara demi mengekalkan sumber asli dan alam sekitar secara lestari," katanya.


Wan Junaidi berkata JAS Cawangan Cameron Highlands juga telah memanjangkan aduan itu kepada Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Pahang, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, Pejabat Tanah dan Daerah Lipis serta Pejabat Hutan Daerah Raub untuk tindakan selanjutnya di bawah bidang kuasa agensi masing-masing.


Tiada ulasan:

AddToAny