responsif teks foto

Khamis, 7 Disember 2017

Ustaz Farid Ravi.


Tiada  siapa menduga, anak kecil yang sering mengunjungi gereja 20 tahun lalu akan menjadi seorang pendakwah Islam yang terkenal hari ini. Dibesarkan dalam lingkungan keluarga beragama Kristian, namun hidayah Allah tiada siapa mampu menghalang.

Itulah anugerah termahal daripada Allah SWT kepada kita semua, sehingga memungkinkan kita untuk dapat memesrai sosok lelaki yang ramah bernama Mohd. Farid Ravi Abdullah, 39, yang lebih popular dengan nama Ustaz Farid Ravi.

"Dahulu, saya dikenali sebagai Jasiah a/l Ravi. Saya dan keluarga adalah penganut Kristian. Saban minggu kami akan mengunjungi gereja. Namun, hakikatnya hati saya sedari awal sudah terpikat kepada Islam.

"Bahkan sewaktu di bangku sekolah rendah lagi, saya telah betah mengikuti kelas Pendidikan Islam bersama kawan-kawan yang beragama Islam.

"Antara punca saya minat kepada kelas Agama Islam ialah kerana ustazah yang mengajarnya bijak menyampaikan.

"Selain itu, sejak kecil saya begitu minat mendengar bacaan al-Quran, khususnya apabila adanya Majlis Tilawah al-Quran yang diadakan di negara kita saban tahun.

"Ibu memarahi saya kerana saya minat mendengar bacaan al-Quran," jelas beliau. Namun alhamdulillah, ibunya juga sudah memeluk Islam sebelum dipanggil mengadap ilahi.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat berteduh. Bagi Farid Ravi, beliau amat terhutang budi dengan keluarga angkatnya iaitu keluarga Hashim Talib (ketika itu seorang anggota polis yang berpangkat sarjan) dan Saunah Arifin dari  Kg. Tanjung  Sg. Choh, Rawang  Selangor.

"Mereka telah mendorong saya untuk menuju ke arah yang benar. Dorongan dan motivasi yang diberikan oleh keluarga angkat saya ini tidak akan dapat saya lupakan sehingga ke akhir hayat. "Mereka juga telah memberikan layanan yang terbaik kepada saya. Saya dianggap seolah-olah anak mereka sendiri," ceritanya menghimbau kembali detik-detik awal saat mula mengenali Islam.

Faktor kawan juga banyak membantu. Bahkan Farid Ravi mengakui, berkat bimbingan rakan, pada usia 11 tahun beliau sudah mampu membaca surah al-Fatihah dan menjawab azan.

Sehinggalah ketika usianya 18 tahun, hatinya sudah tidak mampu ditahan-tahan lagi dan akhirnya di hadapan ustaz Kadir Chong beliau melafazkan dua kalimah syahadah di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

AddToAny