Sekatan
Undang-Undang Dalam Urusan Melibatkan Tanah Felda
Bapa mertua saya adalah peneroka felda. Saya dapati
banyak kes dan permasalahan yang timbul apabila melibatkan tanah felda ini dari
segi perundangan.
Ramai peneroka yang menjual dan memajakkan tanah felda
yang mereka perolehi kepada pihak ke tiga. Alasan mereka, mereka sudah tidak
hendak lagi duduk di felda dan hendak balik kampung.
Ada juga peneroka yang berbalah sesama anak beranak untuk
memindahmilikkan tanahnya kepada anak-anak yang mereka paling sayangi.
Bukan setakat itu sahaja, apabila sahaja peneroka
tersebut meninggal dunia, waris-waris berbalah pulak sesama sendiri dari segi
pembahagian harta pusaka.
Ditambah lagi dengan tuntutan harta spencarian oleh bekas
isteri yang telah bercerai dan sebagainya. Semua ini adalah masalah biasa
dihadapi oleh komuniti felda apabila melibatkan tanah felda.
Status Tanah Felda
Tahukah anda, sebenarnya tanah felda ini statusnya tidak
sama macam tanah biasa. Ianya tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok
(GSA) 1967. Oleh itu terdapat sekatan-sekatan dari segi perundangan yang
terpakai kepada tanah felda.
Sekatan-Sekatan
Perundangan
Tanah tapak rumah dan ladang adalah berstatus tanah
berangkai. Ianya tidak boleh dipisah bahagi selama lamanya. Maknanya, peneroka
tidak boleh memisahkan tapak rumah sebagai satu bahagian, dan tapak ladang
sebagai satu bahagian. Kedua-duanya mestilah dimiliki bersekali selama lamanya.
Ianya juga tidak boleh dipecah bahagi kepada tanah lot-lot kecil.
Tiada sebarang urusan jual beli, pindah milik, gadaian,
sewaan, hibah, wasiat, wakil kuasa (PA) dan sebagainya sah dilakukan ke atas
tanah felda, sama ada sebahagian atau kesemuanya, melainkan dengan persetujuan bertulis
daripada pihak felda terlebih dahulu.
Ini kerana status hakmilik ke atas tanah felda adalah
status pemilikan tidak sempurna. Segala transaksi melibatkan tanah felda
mestilah tertakluk kepada kebenaran pihak felda.
Penama di atas geran hendaklah tidak melebihi 2 orang
sahaja dalam satu masa. Ertinya, sekiranya seseorang peneroka itu ada 5 orang
anak, peneroka tersebut hanya boleh memindahmilikkan bahagian nya dalam geran
kepada 2 orang anaknya sahaja. Itu pun tertakluk kepada kebenaran bertulis daripada
pihak felda terlebih dahulu.
Dari segi pewarisan harta setelah peneroka tersebut
meninggal dunia pula, tanah felda hanya boleh diletakkan nama 2 orang waris
sahaja dengan persetujuan daripada semua waris. Biasanya dengan cara penama
tersebut membeli bahagian hak waris-waris yang lain.
Sekiranya waris-waris tidak bersetuju, pejabat pusaka
kecil atau mahkamah berhak melantik 2 orang penama di dalam geran sebagai
pentadbir harta. Menjadi tanggungjawab pentadbir harta untuk
membahagi-bahagikan hasil dan manfaat yang diperolehi daripada tanah felda
tersebut kepada waris-waris yang sah mengikut bahagian yang telah diputuskan.
Dari segi tuntutan harta sepencarian pula, tanah felda
ini boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Walaubagaimanapun, bahagian peratusan
masing-masing adalah tertakluk kepada mahkamah syariah untuk tentukannya. Dan
bahagian tersebut tidak boleh dipecah bahagikan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kepada peneroka dan generasi kedua felda,
adalah wajib bagi anda memahami perkara ini dan bersedia dari awal lagi dengan
langkah-langkah terbaik dari segi perancangan harta untuk mengelakkan sebarang
perbalahan melibatkan tanah felda ini
timbul di kemudian hari.
Ketahuilah, untuk mereka yang bercadang hendak beli tanah
felda, berfikir lah banyak kali. Kerana ianya adalah pembelian yang berisko.
Jika bernasib baik, tanah tersebut mungkin dapat dipindahmilikan kepada anda.
Tetapi jika tidak bernasib baik, duit habis, hakmilik tanah tak dapat.
Beringatlah!
Sekian, terima kasih,
Yang benar,
SALKUKHAIRI ABD
SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan