Kawasan yang dipercayai Lemas
Pemangku Ketua Polis Daerah Lipis, DSP Abdul Razak Hassan berkata A. Norriswan Zaki, 14, dari Desa Jeram Batu, yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Orang Kaya Haji, Lipis dipercayai lemas ketika sedang bermain air di tepi sungai berkenaan dalam kejadian pada 3 petang.
Beliau berkata, 10 lagi rakannya yang berusia antara 13 dan 15 tahun hanya mampu melihat mangsa dibawa arus kerana kebanyakan mereka juga tidak pandai berenang.
"Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bersama rakan-rakannya pergi ke sungai berkenaan untuk memancing dan dipercayai turut bermain air di tebing sungai berkenaan.
"Bagaimanapun ketika sedang bermain-main, mangsa dipercayai telah terjatuh sebelum hanyut dibawa arus," katanya kepada Bernama.
Bapa mangsa yang dimaklumkan mengenai perkara itu kemudiannya membuat laporan polis sebelum gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan.
Abdul Razak berkata, seramai 10 anggota polis dengan dua bot penyelamat melakukan operasi berkenaan yang turut dibantu beberapa pasukan penyelamat lain daripada pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan penduduk setempat.
Menurutnya, pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari sejauh 20 kilometer dari lokasi kejadian dan akan meneruskannya di kawasan yang lebih jauh memandangkan hujan lebat malam Khamis.
"Disebabkan hujan lebat malam tadi, kita khuatir kalau mangsa benar-benar lemas, dia mungkin hanyut lebih jauh lagi," katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan