responsif teks foto

Selasa, 24 Jun 2008

Contohi Johor Serah Lot Rumah



Oleh SALEHUDIN MAT RASAD




BANDAR JENGKA 23 Jun - Kerajaan Pahang perlu mencontohi Johor yang telah menyerahkan lot-lot tapak rumah di tanah kosong rancangan Felda di negeri itu kepada generasi baru bagi membolehkan mereka membina rumah sendiri.

Ketua-ketua peneroka Felda Jengka ketika ditemui menyifatkan, pemberian lot-lot tapak rumah di kawasan tanah kosong kepada generasi baru Felda lebih relevan bagi mengatasi masalah rumah di kalangan masyarakat Felda.

Ketua Kampung Anggerik Jengka Satu, Mohd. Akhir Awang, 53, berkata, walaupun Felda berusaha membangunkan projek perumahan generasi baru Felda di lokasi tertentu tetapi langkah itu tidak dapat mengatasi keperluan rumah di tanah rancangan.

''Felda berhasrat untuk memajukan perumahan di Jengka Satu tetapi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan generasi baru Felda lebih berminat mendirikan sendiri rumah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketua Kampung Felda Semarak Jengka 15, Adnan Darus, 53, yang turut menyokong usaha tersebut berkata, banyak kawasan tanah kosong yang terbiar dan tidak produktif di kawasan Felda boleh ditukar syarat tanah kepada kawasan perumahan.

Tambahnya, ramai generasi kedua dan ketiga Felda sudah berkeluarga dan memerlukan rumah kediaman sendiri untuk membesarkan anak masing-masing.

''Jika ramai di kalangan mereka diberi peluang mendirikan rumah di tanah rancangan secara langsung dapat menghalang tenaga produktif berhijrah ke kawasan lain khususnya ke bandar-bandar besar mencari kehidupan baru," katanya.

Ketua Kampung Felda Melati Jengka Sebelas, Abdul Razak Abdul Rahman, 52, berkata, projek perumahan generasi Felda di bawah kendalian agensi itu amat dialu-alukan tetapi secara realitinya tidak ramai berjaya terpilih mendiami rumah berkenaan.

Selain itu tegasnya, tidak semua mereka mampu membeli rumah kos rendah dan sederhana yang berharga antara RM35,000 hingga RM90,000 ditawarkan agensi itu.

''Strategi paling tepat ialah beri lot-lot tapak rumah kepada individu terpilih dan mereka mendirikan rumah di tapak itu dengan reka bentuk dan perbelanjaan sendiri," katanya.

Pengerusi Belia Felda Harapan Baru Jengka Satu, Mohd. Zaharunn Nizam Mahmad, 28, pula memberitahu, tidak ramai golongan muda yang mampu membeli rumah siap yang ditawarkan oleh Felda berikutan mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap. Utusan Malaysia

Komen

Generasi sebelum merdeka telah mendapat faedah dengan perlaksanaan DEB yang berakhir pada 1990. Kebanyakan mereka telah pun mempunyai aset daripada perlaksanaan dasar tersebut seperti Pembangunan Tanah Pinggir, Rancangan Pengumpulan Semula Mangsa-Mangsa Banjir (RPSB), Rancangan Tanah Pemuda (RTP), Rancangan Pemulihan Tanah(Felcra) dan Rancangan Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda). Tetapi generasi selepas tahun 1990 untuk mendapat sebidang tanah untuk membina sebuah rumah pun tidak ada. Pemimpin di peringkat atasan perlu berusaha memikirkan rancangan yang perlu dibuat bagi golongan muda terutama generasi kedua Felda. Bagaimana untuk membangunkan IKS disesebuah penempatan Felda jika tiada tempat untuk menginap bagaimana untuk mengerjakan ladang di Felda jika tiada sebuah rumah untuk tinggal. Generasi pertama felda pada masa ini sudah tidak produktif kebanyakan umur mereka mencecah 60 ke 70 ke atas. Jika kerajaan yang dipilih oleh rakyat terlalu sayang kepada sekeping tanah untuk diberi kepada rakyatnya beri peluang mereka untuk membuka tanah kelompok tanpa memberi geran tanah. “Jika sebidang tanah pun tiada untuk tinggal bumi Malaysia ini apalah yang boleh dibangga 50 tahun merdeka”.


Tiada ulasan:

AddToAny