by: Zaini Raban
LENGGONG 23 Jun - Kerajaan negeri sedia menempatkan bekas anggota tentera yang berasal dari negeri ini di kawasan kampung tersusun bagi membolehkan mereka memiliki tapak rumah dan kediaman sendiri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, bagi merealisasikan perkara tersebut, semua pegawai daerah telah diarah mengenal pasti kawasan kampung tersusun baru atau yang sedia ada bagi melaksanakan perkara berkenaan.
''Ini merupakan salah satu usaha dan inisiatif kerajaan negeri untuk menghargai jasa bekas tentera yang telah banyak berkorban hingga mengalami kecacatan kekal kerana mempertahankan negara.
''Kita tidak boleh melupakan jasa anggota-anggota tentera terbabit kerana dengan keberanian merekalah kita semua dapat menikmati kehidupan yang aman damai sekarang," katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa sesi dialog pada majlis Menteri Besar Bersama Rakyat di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Zambry berkata, langkah menyediakan tapak kediaman kepada bekas anggota tentera perlu diberi perhatian kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai kediaman sendiri selepas bersara.
Jelas beliau, keistimewaan tersebut akan dapat meringankan beban bekas-bekas anggota tentera yang berasal dari Perak untuk memiliki tapak kediaman sendiri.
''Tidak semestinya sesebuah kawasan kampung tersusun itu akan dihuni oleh semua bekas anggota tentera, mungkin ia akan didiami golongan lain.
''Selain itu, mungkin juga bekas tentera akan ditempatkan di kampung tersusun sedia ada jika masih ada tanah yang kosong," katanya.
KOMEN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan