responsif teks foto

Jumaat, 10 Julai 2009

Empat projek agro bantu kurangkan kadar kemiskinan tegar

Projek Prosdet Kampung Pantos
Rumah di penempatan tersebut yang sedang dalam pembinaan

KUALA LIPIS 9 Julai - Kerajaan sedang melaksanakan empat projek agropolitan bagi mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar dan membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010.
Sasaran kali ini ialah 10,000 peserta melibatkan empat kawasan baru iaitu di Batang Lupar dan Batang Sadong di Sarawak, Gana di Sabah dan Chemomoi di Pahang.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, projek itu merupakan usaha kerajaan untuk membantu masyarakat luar bandar dan warga miskin tegar keluar daripada garis kemiskinan.
"Program ini memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, prasarana fizikal dan pembangunan manusia," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Agropolitan Gahai dan Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil (Prosdet) Kampung Pantos di sini hari ini.
Hadir sama timbalannya, Datuk Hassan Malek; Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Shaharom Osman.
Projek agropolitan pertama di Pulau Banggi, Sabah dilaksanakan pada 11 Ogos 2007 manakala projek kedua di Gahai dirasmikan pada 5 Ogos tahun lalu.
Menurut Mohd. Shafie, keutamaan akan diberikan di kawasan terpencil tetapi mempunyai potensi ekonomi tinggi seperti pertanian, pelancongan dan industri yang boleh menjana pembangunan.
Mengulas projek agropolitan di Pulau Banggi, beliau berkata, ia telah menunjukkan perkembangan positif dan amat berpotensi untuk diteruskan.
Namun katanya, minat orang ramai terhadap projek ini masih kurang walaupun keberkesanannya amat nyata.
Sementara projek agropolitan Gahai pula yang mempunyai keluasan 222.58 hektar meliputi ladang getah dan nenas, seramai 50 peserta telah diberikan hak milik rumah dan menetap di kawasan tersebut manakala 30 lagi diberi milikan saham.
Mengenai lawatannya ke projek Prosdet di Kampung Pantos pula, beliau berkata, ia bermatlamat meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan para peserta.
Katanya, seramai 173 keluarga Orang Asli daripada suku kaum Semai, Batik dan Temuan terlibat dalam projek tersebut yang merangkumi kawasan seluas 478 hektar.
"Sebahagian penempatan yang disediakan masih dalam pembinaan dengan 159 rumah sudah siap dibina," katanya.
Jelas beliau, projek Prosdet Kampung Pantos dijangka siap sepenuhnya pada 3 Disember ini yang melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM11 juta. UM

1 ulasan:

lepeh mari berkata...

salam ukhuwah sahabat sedaerahku, terima kasih saudara kerana berusaha menyebarkan maklumat2 atau berita2 di lipis. elok saudara adakan ruangan sembang utk memudahkan kita berbincang persamaan antara kita. wallahua'lam.

semoga Allah merahmati saudara.

AddToAny