responsif teks foto

Isnin, 7 Disember 2009

Merapoh destinasi persinggahan






Oleh ALI MAHMOOD

KUALA LIPIS 6 Dis. - Kedudukan strategik Merapoh yang menjadi penghubung antara Kota Bharu di Kelantan dengan Kuala Lumpur, membolehkan kawasan itu berpotensi dibangunkan menjadi pusat sehenti dan bandar baru.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, Merapoh kini menjadi destinasi persinggahan lebih 300 buah ekspres setiap malam sama ada untuk berhenti makan atau berehat.
Bagaimanapun kata beliau, kehadiran begitu banyak bas ekspres yang membawa bersama ramai penumpang hanya memberi manfaat kepada segelintir pengusaha gerai makan dan restoran yang beroperasi di kawasan tersebut.
''Sedangkan, kedudukan Merapoh yang strategik dan terletak di tengah-tengah laluan Kota Bharu-Kuala Lumpur secara tidak langsung boleh menjadi sebuah bandar baru yang bakal pesat membangun.
''Dengan kelebihan tersebut saya menggesa penduduk Merapoh bijak merebut peluang perniagaan yang wujud di kawasan itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Rahman turut menyarankan supaya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merapoh membangunkan kawasan sekitar stesen minyak miliknya sebagai pusat sehenti yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti kawasan rehat dan rawat (R&R), mesin pengeluaran wang automatik (ATM), restoran, gerai makan, cenderamata dan kraf tangan.
Tambahnya, PPK juga boleh membangunkan kawasan tersebut dengan lebih terancang bagi menarik bas-bas ekspres berhenti di situ seterusnya membantu penduduk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
''Pusat sehenti ini dapat memberikan peluang kepada para pesertanya berniaga bagi memasarkan pelbagai produk pertanian, makanan, makanan ringan, kraf tangan dan sebagainya," katanya.
Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata, penduduk Merapoh juga dijangka terus bertambah berikutan pembinaan kilang simen yang akan beroperasi tidak lama lagi yang menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan orang luar.
Beliau berkata, difahamkan Kerajaan Pusat juga akan menaik taraf jalan Lipis-Gua Musang dengan membina laluan empat lorong menerusi projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bermula dari Pelangai, Bentong sehingga ke sempadan Gua Musang, Kelantan dalam usaha menjana pertumbuhan ekonomi setempat.
"Dengan pelaksanaan projek tersebut, saya berharap Merapoh akan turut menikmati hasil limpahan ECER dan menjadi sebuah bandar baru selain menjadi pintu masuk ke Taman Negara yang menawarkan pelancongan bertaraf dunia," katanya.

http://taman-negara-merapoh.blogspot.com/

3 ulasan:

Pengembara silam, berkata...

Saya mencadangkan supaya Merapoh mewujudkan Pusat Hentian Setempat yang mana sekali berhenti di tempat tu, semua ada.. ATM,minyak, makan,cenderamata,solat kat satu tempat..tak payah berhenti kat banyak tempat.. Saya mohon mencadang..YB Dato' Aman..

Tanpa Nama berkata...

keh donga dah banyak kali Dato' Aman kata dalam sidang dewan....tapi xde respon...

joha berkata...

Pembangunan pertanian di Cameron merusakkan sumber air di pahang. Berapa banyak racun di semburkan dan ianya mengalir ke sungai. Munkin pemerintah kurang perhatin.

Sayor dari cameron mengandungi lebihan kemia, yang peliknya.. kita hanya tahu apabila Singapura beritahu..

joha
http://kuala-lipis-pahang.blogspot.com/

AddToAny