Bekas Tentera |
Selepas pembentangan bajet 2013
berbagai persoalan timbul berkenaan dengan siapa yang dikatakan bekas tentera
yang tidak berpencen yang menerima RM
1000 atau yang berpencen sudah menerima RM 500 sebelum menyambut
hari raya puasa tempoh hari.
Definisi Veteran
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut Akta Veteran 2012 yang telah pun
diwartakan pada 9 Februari 2012 adalah Warganegara Malaysia yang telah
berkhidmat sepenuh masa dan tidak pernah dibersarakan atau diberhentikan
daripada perkhidmatan atas alasan salah laku dalam mana-mana Angkatan seperti
berikut:
1.1 Angkatan Tetap ATM;
1.2 Angkatan Sukarela yang
dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan;
1.3 Force 136;
1.4 Tentera British yang berkhidmat
di Malaya/Malaysia atau Singapura; dan
1.5 Sarawak Rangers.
Semua bekas tentera yang termasuk
dalam kategori di atas, tidak mengira sama ada berpencen atau tidak, adalah
diiktiraf sebagai Veteran ATM tanpa mengambilkira zaman di mana mereka pernah
berkhidmat termasuklah ketika darurat, konfrantasi dan ancaman komunis. Oleh
yang demikian, bagi mereka yang tidak berpencen layak untuk menerima pemberian sumbangan
RM1,000 secara one-off seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri di dalam
Pembentangan Bajet 2013 yang lalu
Di samping itu, sebagai seorang
Veteran ATM banyak kemudahan disediakan kepada mereka melalui Skim Bantuan
Kebajikan, Pendidikan dan Perubatan (SBKPP) yang terdapat di Jabatan Hal Ehwal
Veteran ATM (JHEV). SBKPP merupakan program bantuan kewangan bertujuan menjaga
kebajikan Veteran ATM dan orang tanggungan mereka yang memerlukannya supaya
dapat memperbaiki dan menjalani kehidupan yang lebih selesa.
Terdapat lima kategori bantuan di
bawah skim ini iaitu Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan, Bantuan
Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam/Politeknik (IPTA), Bantuan
Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam. Bantuan Sara Hidup secara bulanan
di antara RM100.00 hingga RM300.00 adalah disasarkan terutamanya kepada Veteran
yang telah tua, uzur dan daif.
JHEV juga menyediakan peruntukan
yang secukupnya untuk kemudahan bayaran balik tuntutan perubatan termasuk
haemodialisis, ubat-ubatan, peralatan/implan dan rawatan perubatan tanpa
membezakan sama ada seseorang Veteran itu berpencen ataupun tidak. Semenjak
penubuhan JHEV pada tahun 2001, Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM140.9
juta untuk bayaran faedah-faedah perubatan, RM40.4 juta untuk bantuan
persekolahan dan kemasukan ke IPTA serta RM35.7 juta untuk lain-lain bantuan kebajikan
termasuk bantuan sara hidup.
Kesimpulannya, Veteran ATM
termasuk bekas tentera tidak berpencen yang pernah berkhidmat di zaman darurat,
konfrantasi dan komunis sebenarnya telah mendapat pembelaan dan bantuan
sewajarnya daripada Kerajaan yang disalurkan melalui JHEV. Keprihatinan serta
penghargaan yang diberikan oleh Kerajaan dalam bentuk tersebut adalah lebih
memadai kepada Veteran ATM serta orang tanggungan mereka jika dihitung secara
berpanjangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan