Laporan Sinar Harian
KUALA LIPIS - Hari pertama persekolahan jauh berbeza buat
seorang murid pra sekolah Sekolah Batu Yon, Bukit Betong di sini apabila
terpaksa menyeberang jambatan gantung yang telah rosak.
Lutfil Hadi Abdul Jalil, 5, dibantu oleh bapanya Abdul
Jalil Sulaiman, 41, terpaksa menggunakan
jambatan rosak itu di Kampung Pamah Aur, Bukit Kota pagi tadi ekoran jalan
darat di kampung tersebut dinaiki air serta tidak boleh dilalui oleh kenderaan
ringan.
Video Lutfil Hadi menyeberang jambatan rosak yang
merentangi Sungai Tanum sambil dibantu bapanya tular di laman sosial
Facebook pagi tadi dan telah ditonton
oleh lebih 780, 000 penonton hingga jam 1.15 tengah hari hari ini.
Ibu Lutfil Hadi, Siti Zaharah Othman, 33, berkata, anak
ke empatnya begitu bersemangat untuk ke sekolah walaupun tahu bahaya untuk menyeberang jambatan
berkenaan.
Menurutnya, walaupun ada laluan alternatif lain untuk ke
sekolah namun ia mengambil masa 45 minit perjalanan dengan melalui jalan Aur
Gading - Padang Tengku.
Peta mengikut 'google map' |
"Jambatan gantung ni telah rosak sejak setahun yang
lalu akibat banjir namun hingga kini masih belum dibaik pulih.
"Penduduk kampung guna laluan ini sebab lebih dekat
dan boleh jimatkan masa ,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini,
hari ini.
Siti Zaharah berkata, adalah diharapkan agar pihak
berkaitan mengambil tindakan segera membaik pulih jambatan itu bagi memudahkan
penduduk selain memberi keselesaan kepada pelajar sekolah untuk berulang alik.
Rakaman video berdurasi dua minit itu dibuat oleh Siti Zaharah telah mengundang rasa takut dan simpati netizen
yang menyaksikan situasi cemas Lutfil Hadi memegang tangan Abdul Jalil serta besi
penghadang jambatan tersebut untuk menyeberang Sungai Tanum dengan arus air
sungai deras.
Rata-rata netizen juga meminta pihak bertanggungjawab
mengambil tindakan segera dengan membina jambatan baharu.
Sementara itu, Exco Perumahan dan Perbandaran negeri
merangkap Adun Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja
membaik pulih jambatan tersebut akan bermula pada 8 Januari ini.
Menurutnya, sejumlah RM462,000 telah diperuntukkan untuk
membaik pulih jambatan berkenaan dan dijangka siap 18 Mac.
"Timbul sikit salah faham apabila tular kisah murid
dan bapa berkenaan menggunakan jambatan rosak untuk ke sekolah sedangkan pihak
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kota ada menyediakan
perkhidmatan bot untuk menyeberang.
"Saya harap mereka yang berkenaan mendapatkan maklumat sahih tentang status jambatan
terbabit dan kita sedaya upaya menyediakan kemudahan asas terbaik untuk
rakyat,"katanya.
Jambatan rosak mengikut peta topo 1993 |
Laporan #LIPIS FB
KISAH SEBUAH JAMBATAN
Memandangkan ADMIN dihubungi begitu kerap oleh followers
page ini. Maka ADMIN telah melaksanakan sedikit penyelidikan berhubung satu isu
yang telah diviralkan oleh pengguna fb seluruh negara, berhubung kisah seorang
anak kecil dan bapanya yang telah bersabung nyawa melintasi sebuah jambatan
gantung yg rosak untuk ke sekolah di Kampung Pamah Aur, Bukit Betong, Kuala
Lipis pagi tadi.
Mungkin ada fakta yang tertinggal dalam jawapan yang
diperoleh ADMIN, ADMIN terbuka untuk sebarang pembetulan sekiranya perlu.
Jambatan Gantung Pamah Aur menghubungkan kampung ini dan
kampung Beriang dalam pentadbiran JKKK Bukit Kota. Kerosakan selepas banjir
Disember 2014 telah diperbaiki pada tahun 2015. Ianya sekali lagi rosak selepas
banjir pada Januari 2017. YB Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail selaku ADUN Jelai
telah memohon sejumlah besar peruntukkan daripada Agensi Pengurusan Bencana
Negara bagi membaiki kerosakan-kerosakan akibat banjir dalam DUN Jelai termasuk
jambatan gantung terbabit pada 1 Jun 2017 (lihat surat permohonan sbg lampiran
1). Harus diingat tempoh beberapa bulan diperlukan bagi agensi teknikal seperti
JKR dan Pejabat Daerah Lipis mengenalpasti jenis kerosakan, kaedah pembaikan
dan kos pelaksanaan dapat ditentukan supaya permohonan dapat dibuat serentak
(meliputi kerosakan di kampung-kampung lain) dan peruntukkan yang mencukupi
dapat disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pahang.
Melalui peruntukkan daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah
Bantuan Bencana Negara, Pejabat Kewangan Negeri telah memaklumkan bahawa projek
ini telah mendapat kelulusan melalui satu surat bertarikh 20 Oktober 2017.
(Lihat Lampiran Kenyataan FB Friends PDRM).
Proses Tender oleh JKR Daerah Lipis telah dilaksanakan
dan surat tawaran kepada kontraktor yang berjaya telah dikeluarkan pada 21
Disember 2017. Dalam surat tawaran tersebut telah dinyatakan bahawa kerja-kerja
harus dimulakan pada 8 Januari 2018 dan tempoh pembinaan adalah selama 10
minggu. (Lihat Lampiran 3 Surat Pejabat Jurutera Daerah).
Kronologi di atas diharapkan dapat menepis tuduhan bahawa
pihak berkuasa khususnya wakil rakyat dan agensi kerajaan tidak mengambil berat
tentang masalah penduduk di situ.
Selain daripada itu Kampung Pamah Aur juga dihubungkan ke
Bandar Kuala Lipis melalui jalan sediaada melalui Kampung Seberang Jelai.
Kemungkinan Puan Zaharah dan suami tidak dapat menghantar anak ke sekolah
melalui jalan darat adalah kerana terdapat kawasan yg tenggelam akibat kenaikan
paras air sungai Tanum malam tadi. Buktinya adalah sehari sebelum itu Puan
Zaharah telah menghantar anak-anaknya ke sekolah berasrama menggunakan
kenderaan milik mereka.
Walau bagaimanapun kami dimaklumkan JKKK Bukit Kota turut
menyediakan kemudahan bot bagi mereka yang memerlukan selain terdapat juga
penduduk kampung yang memiliki bot persendirian. hubungan persaudaraan di
kampung ini seharusnya membolehkan mereka bantu-membantu antara satu sama lain.
Menjawab pula kecaman dan tuduhan terhadap pihak YB Dato'
Haji Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Lipis, untuk makluman pembaca sekalian
lokasi kampung terbabit bukan dalam Parlimen Lipis namun dalam Parlimen Cameron
Highlands. Jadi kepada sebahagian daripada kita yang suka membuat tuduhan
melulu seperti komen dalam posting Sukan Star (lihat lampiran 4) diharapkan
dapat berhenti daripada terus memfitnah dan menyambung fitnah.
Buat Puan Zaharah dan Suami, walau apa pun niat Puan dan
Tuan, usahlah mempertaruhkan nyawa anak kecil seperti itu. sedikit kesilapan
boleh membawa kekesalan selamanya. dapat jambatan pulau pinang pun dah tiada
gunanya lagi. tak perlulah ke sekolah hanya untuk sehari dua jika benar-benar
keadaan tidak mengizinkan.
ADMIN berharap jawapan yang diterima dan dikongsi bersama
dalam posting ini dapat memberi penjelasan sebaiknya. Tugas Page LIPIS adalah
untuk menyalur cerita dan berita yang benar tentang daerah Lipis, bukan untuk
mengadu domba dan meraih populariti semata-mata
Terima Kasih & Salam Hormat
Dari Blogspot Pahang Post
Dari Blogspot Pahang Post
VIRAL VIDEO ANAK LALU JAMBATAN ROSAK - CARI GLAMOUR
BAHAYAKAN NYAWA
CARI GLAMOUR BAHAYAKAN NYAWA ANAK - BIJAKKAH IBU BAPA
TERSEBUT?
Tular satu video yang menunjukkan seorang bapa sedang
menuntun anaknya melalui sebatang jambatan yang rosak. Dalam klip tersebut
jelas menunjukkan hanya seorang bapa dan anaknya melalui jambatan tersebut
dengan air sungai deras di bawah jambatan itu.
Difahamkan surat tawaran membaiki jambatan sudah dikeluarkan
dan kerja akan dimulakan pada 8 Januari 2018.
Dalam klip tersebut, perakam tidak menjelaskan mengapa
beliau dan suami mengambil risiko membahayakan nyawa anaknya. Adakah beliau
memang mahu mencari viraliti hanya untuk memburukkan kerajaan sedangkan hakikat
jalan alternatif sudah disediakan kerajaan
dan difahamkan jalan tersebut kini ditenggelami air berikutan cuaca
buruk.
Cara beliau dan suami yang membahayakan nyawa demi
viraliti dan glamour ini sebenarnya mengundang persepsi buruk terhadap kerajaan
dan pembangkang memang mahu menjadikan ia sebagai isu kelemahan kerajaan
Pahang.
Jadi fikirkan dengan akal sebelum menempelak kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan