Oleh: Zulkhairil Zainuddin
Keadaan kes positif COVID-19 di Negeri Pahang menunjukkan peningkatan setiap hari.
Ia sesuatu yang membimbangkan sekiranya kita semua tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.
Berdasarkan statistik, tiga daerah sudah berada peringkat jingga iaitu Jerantut dengan 35 kes, Kuantan (26) dan Pekan (21).
Malah sudah semua daerah di Pahang sudah mempunyai kes dengan jumlah keseluruhan 114 kes positif.
Adakah kita mahu angkat ini terus meningkat. Adakah kita mahu Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan.
Percayalah sekiranya dilanjutkan tahapnya mungkin lebih diperketatkan atau Perintah Berkurung mungkin terpaksa dilaksanakan oleh kerajaan.
Perintah ini bukanlah untuk menyusahkan kita tetapi ia merupakan satu langkah drastik yang terpaksa diambil bagi memutuskan rantaian penularan wabak pembunuh ini.
Walaupun tiada kes kematian dicatatkan di Pahang setakat ini tetapi peningkatan kes positif ini sudah cukup meresahkan.
Cukup-cukuplah. Kasihanilah mereka yang terkesan akibat perintah ini.
Ramai dalam kalangan kita hilang punca pendapatan. Tidak mampu untuk menyara keluarga dan mungkin ada yang terpaksa berlapar.
Bukannya sistem ini kejam, tetapi sikap kita yang ambil mudah terhadap wabak ini.
Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai usaha. Hargailah pengorbanan petugas barisan hadapan yang setiap hari berdepan dengan bahaya COVID-19.
Ada dalam kalangan mereka sudah mula dijangkiti. Inilah pengorbanan yang terpaksa mereka terima.
Sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan prihatin, marilah kita bersama-sama hentikan penularan wabak ini.
Buanglah segala ego kita. Dengarlah arahan daripada kerajaan dan pihak berkuasa.
Bukannya susah hanya duduk sahaja di rumah. Inilah formula terbaik yang ada setakat ini.
Sekiranya kita semua faham akan tanggungjawab masing-masing, InsyaAllah wabak ini akan dapat dihentikan.
Marilah bersama-sama kita berdoa agar mereka di barisan hadapan terus cekal berjuang lakukan yang terbaik untuk kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan