responsif teks foto

Rabu, 18 Mei 2022

Pengurusan Banjir : Cadangan kepada Kerajaan

 






Ketika banjir Besar  melanda Daerah Lipis pada Disember 2021, saya telah ditaklifkan untuk menjadi Ketua Penyelaras Khidmat Malaysia Kawasan Lipis. Khidmat Malaysia adalah sebuah NGO berdaftar dan YB Dato' Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjadi pengerusinya di peringkat nasional.

Khidmat Malaysia Lipis melaksanakan fungsi menyelaraskan dan mengatur pergerakan sukarelawan banjir daripada Jabatan Amal Malaysia, sukarelawan daripada negeri-negeri luar khasnya Kelantan dan Terengganu yang datang membantu di Pahang, dan sukarelawan tempatan yang turut bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa banjir.

Seramai lebih 300 orang sukarelawan daripada Kelantan diketuai tiga orang ADUN secara bergilir menjalankan tugasan mencuci premis-premis awam dan persendirian yang dilanda banjir, terutamanya di sekitar bandar Kuala Lipis dan Benta. Menguruskan sukarelawan luar yang ramai bersama lebih 100 sukarelawan tempatan bukanlah mudah terutama di dalam keadaan kekangan kewangan dan prasarana. Namun syukur kepada Allah semuanya dapat dilakukan hasil sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk beberapa jabatan kerajaan.

Seusai banjir, saya telah menyerahkan laporan post-mortem kepada YB Timbalan Menteri melalui Pengerusi Penyelaras Khidmat Malaysia Pahang. Saya kongsikan di bawah ini sedutan kandungan post-mortem tersebut daripada bahagian yang ditujukan sebagai cadangan untuk tindakan kerajaan.

Saranan Kepada Kerajaan;

 
1. PBT diminta menyediakan kemudahan dan bantuan kepada penduduk di kawasan kerap banjir jika mereka ingin membina loteng atau tingkat rumah tambahan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir berulang.

(NOTA: Alhamdulillah wassyukrulillah, baru-baru ini saya dimaklumkan oleh mangsa-mangsa banjir sekitar bandar Kuala Lipis bahawa mereka diberikan kemudahan oleh Majlis Daerah Lipis (MDL) jika berhasrat membuat binaan tambahan di rumah mereka guna sebagai persediaan menghadapi banjir. TAHNIAH MDL, suatu tindakan proaktif tanpa perlu menunggu respon massa).

2. Pihak kerajaan disarankan mengkaji sistem kawalan air dengan membina pintu air atau benteng di kawasan lembah yang dilanda banjir yang disebabkan limpahan air sungai utama (air sebak) melalui sistem perparitan atau saliran kawasan berkenaan. Contohnya SMK Benta yang terletak di kelilingi bukit dilanda banjir mungkin kerana limpahan air Sungai Lipis yang masuk melalui sistem saliran.

3. Kerajaan perlu menggalakkan setiap komuniti kampung atau taman atau kariah masjid supaya mempunyai pasukan sukarelawan yang boleh digerakkan membantu mangsa-mangsa dan premis dilanda banjir, untuk menampung tugasan bantuan banjir yang dilakukan agensi kerajaan dan NGO.

4. Pembinaan premis kerajaan atau institusi awam pada masa depan perlu dielakkan di kawasan kerap dilanda banjir. Dalam konteks bandar Kuala Lipis, perancang bandar sebaiknya membawa keluar pembangunan ke kawasan pinggir bandar yang kurang risiko banjir.

5. Pihak kerajaan diminta memastikan setiap pembinaan premis kerajaan atau awam mestilah mengambil kira rekod aras banjir di tapak berkenaan, justeru teknikal dan kejuruteraan pembinaan akan dibuat sesuai untuk mengelakkan banjir.

6. Pihak kerajaan diminta mengkaji sistem bekalan air alternatif supaya bekalan air tidak terjejas atau dapat segera dipulihkan apabila berlakunya banjir.
 
7. Audit kualiti kawasan tadahan air semulajadi mesti dilakukan segera oleh pelbagai agensi kerajaan berkaitan diketuai oleh KASA. Ini bertujuan memastikan kawasan tersebut tidak terjejas dengan sebarang aktiviti pencerobohan yang merosakkan.

8. Undang-undang melarang pembinaan kediaman di tanah rezab sungai mesti dikuatkuasakan, selain mengurangkan kerugian harta benda akibat banjir, ia juga membantu mengurangkan pencemaran air sungai.

9. Kerajaan perlu pertimbangkan untuk menyediakan semula rancangan penempatan semula banjir (RPSB) di kawasan-kawasan terpilih, terutamanya untuk generasi muda kawasan yang sering terjejas banjir. Contohnya di Kg Seberang Jelai, Padang Tengku, Kuala Lipis di mana diberitakan pada tahun 1980an ada rancangan untuk membina penempatan semula di persimpangan kampung tersebut namun terbantut sehingga kini.

10. Pihak kerajaan perlu mengkaji apakah aktiviti pertanian terbaik yang kalis rendaman banjir untuk memanfaatkan tanah di kawasan kerap dilanda banjir, agar kawasan tersebut tetap produktif untuk kepentingan sosioekonomi rakyat setempat.

ROSLAN BIN ZAINAL
Ketua Penyelaras Khidmat Malaysia Lipis 2021.




2 ulasan:

Abam Kie berkata...

Semoga segala cadangan ini akan diambil tindakan sewajarnya sebelum musim banjir 2022 menjelma. Aamiin...
Done follow back.... Tq.

Nan Zul berkata...

Semoga kita tidak mengundi dalam dalam banjir..."

AddToAny