responsif teks foto

Ahad, 21 Oktober 2012

Perigi Sejarah Mat Kilau


Perigi Sejarah Mat Kilau


Berdasarkan fakta sejarah, Perigi Sejarah Mat Kilau ini telah digali oleh salah seorang Pejuang Kemerdekaan Tanah Melayu iaitu Mat Kilau bin Imam Rasu bersama-sama pengikutnya disekitar tahun 1890an. Perigi ini digunakan sebagai sumber air bagi penduduk setempat termasuklah Mat Kilau dan ayahndanya Imam Rasu atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah yang merupakan anak jati kampung ini. Perigi ini juga terkenal ke seluruh kampung di kawasan Mukim Budu seperti Kg Napal, Kg Kipas, Kg Terap, Kg Jerening hingga menjangkau ke Kg Chat, Kg Tualang Padang dan Kg Peruang.

Perigi ini telah menjadi saksi kepada kerakusan pihak British serta semangat perjuangan Mat Kilau bin Imam Rasu dan pengikutnya dalam mempertahankan Mukim Budu dan Daerah Lipis. Kawasan ini serta kawasan sekitarnya merupakan tapak peperangan di antara Mat Kilau dengan askar-askar Sikh di bawah pimpinan Colonel Walker dan Hugh Clifford. Peristiwa berdarah itu menyebabkan Kampung Budu musnah, apabila rumah-rumah dibakar serta binatang ternakan dibunuh. Rentetan dari penyerangan tersebut seluruh penduduk kampung telah melarikan diri ke Bukit Raya (Bukit Tacing).

Walaupun demikian, perigi ini tetap wujud sejak zaman berzaman dan mempunyai banyak kelebihan. Antaranya:

a. Perigi ini tidak pernah kering walaupun di musim kemarau kerana terdapat lima buah mata air yang berpunca dari Bukit Gong dan Bukit Raya di dalam perigi ini.

b. Menjadi sumber air minuman, mandian dan kegunaan seharian bagi kanak-kanak sekolah yang berulang alik pada zaman dahulu, iaitu dari Sekolah Kebangsaan Budu ke kampung disekitarnya.

c. Air perigi ini berkhasiat untuk diminum apabila mengalami masalah terlekat tulang ikan. (Jangan bergantung dengan air perigi ini, tetapi hendaklah bergantung hati sepenuhnya dengan Allah SWT).

d. Walaupun fungsi Perigi Mat Kilau amat minima pada masa kini, namun penduduk setempat tetap meneruskan usaha-usaha menaiktaraf khazanah yang penuh bersejarah ini kerana ia sentiasa menjadi tumpuan dan masih boleh digunapakai sehingga hari ini.

Rujukan:

Jang Aisjah Mutalib. Pemberontakan Pahang 1891-1895. Kota Baharu:
Pustaka Aman, 1972
Kalthum Jeram. Hikayat Pahang,. Kuala Lumpur:
Fajar Bakti, 1986

Sabtu, 13 Oktober 2012

Risda beli biji getah.



Risda menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membeli biji getah daripada penduduk kampung di seluruh negara bagi mendapatkan biji benih untuk program tanam semula tahun depan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Mohamat Muda berkata, Risda memerlukan 240 metrik tan atau bersamaan 60 juta biji getah untuk tujuan tersebut.
"Kita hendak beli biji getah daripada orang kampung dengan harga RM3 sekilogram bagi menampung pendapatan sampingan keluarga mereka.
"Mereka boleh jual biji getah di pusat-pusat pembelian di tapak semaian Risda di seluruh negara," katanya kepada Bernama pada majlis Hari Inovasi dan Kualiti serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Risda peringkat negeri Terengganu di sini hari ini.
KOMEN
Biji getah merupakan makanan monyet, apabila gugur ke tanah menjadi makanan babi hutan. Kalau kita perhatikan kebun getah yang banyak musuh tanaman tersebut sudah tidak kelihatan biji getah.  

Khamis, 11 Oktober 2012

Salak Rawat Cirit-Birit

buah salak

 Buah salak atau nama saintifiknya, Salacca Edulis merupakan salah satu buah tropika yang berkhasiat tinggi dengan isinya mengandungi kalsium tanin, saponin dan flavonoid.
Kajian pakar kesihatan mendapati buah salak efektif dalam merawat cirit-birit. Bagaimana? Caranya cukup mudah. Hanya dengan memakan 20 gram isi buah salak segar yang masih muda, cirit birit yang dialami akan hilang dengan sendirinya.
Selain hebat merawat cirit-birit salak juga kaya beta karotena yang baik untuk kesihatan mata.  Jika Individu ingin menjaga kesihatan mata tetapi bosan untuk terus meminum jus lobak merah, anda boleh mengantikan jus tersebut dengan jus salak. 

Isnin, 8 Oktober 2012

Bekas Tentera mengikut Akta Veteran 2012

Bekas Tentera
 Selepas pembentangan bajet 2013 berbagai persoalan timbul berkenaan dengan siapa yang dikatakan bekas tentera yang tidak berpencen yang  menerima RM 1000 atau yang berpencen sudah menerima RM 500 sebelum menyambut hari raya puasa tempoh hari.
Definisi   Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut Akta Veteran 2012 yang telah pun diwartakan pada 9 Februari 2012 adalah Warganegara Malaysia yang telah berkhidmat sepenuh masa dan tidak pernah dibersarakan atau diberhentikan daripada perkhidmatan atas alasan salah laku dalam mana-mana Angkatan seperti berikut:
1.1 Angkatan Tetap ATM;
1.2 Angkatan Sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan;
1.3 Force 136;
1.4 Tentera British yang berkhidmat di Malaya/Malaysia atau Singapura; dan
1.5 Sarawak Rangers.
Semua bekas tentera yang termasuk dalam kategori di atas, tidak mengira sama ada berpencen atau tidak, adalah diiktiraf sebagai Veteran ATM tanpa mengambilkira zaman di mana mereka pernah berkhidmat termasuklah ketika darurat, konfrantasi dan ancaman komunis. Oleh yang demikian, bagi mereka yang tidak berpencen  layak untuk menerima pemberian sumbangan RM1,000 secara one-off seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri di dalam Pembentangan Bajet 2013 yang lalu
Di samping itu, sebagai seorang Veteran ATM banyak kemudahan disediakan kepada mereka melalui Skim Bantuan Kebajikan, Pendidikan dan Perubatan (SBKPP) yang terdapat di Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV). SBKPP merupakan program bantuan kewangan bertujuan menjaga kebajikan Veteran ATM dan orang tanggungan mereka yang memerlukannya supaya dapat memperbaiki dan menjalani kehidupan yang lebih selesa.
Terdapat lima kategori bantuan di bawah skim ini iaitu Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam/Politeknik (IPTA), Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam. Bantuan Sara Hidup secara bulanan di antara RM100.00 hingga RM300.00 adalah disasarkan terutamanya kepada Veteran yang telah tua, uzur dan daif.
JHEV juga menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk kemudahan bayaran balik tuntutan perubatan termasuk haemodialisis, ubat-ubatan, peralatan/implan dan rawatan perubatan tanpa membezakan sama ada seseorang Veteran itu berpencen ataupun tidak. Semenjak penubuhan JHEV pada tahun 2001, Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM140.9 juta untuk bayaran faedah-faedah perubatan, RM40.4 juta untuk bantuan persekolahan dan kemasukan ke IPTA serta RM35.7 juta untuk lain-lain bantuan kebajikan termasuk bantuan sara hidup.
Kesimpulannya, Veteran ATM termasuk bekas tentera tidak berpencen yang pernah berkhidmat di zaman darurat, konfrantasi dan komunis sebenarnya telah mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya daripada Kerajaan yang disalurkan melalui JHEV. Keprihatinan serta penghargaan yang diberikan oleh Kerajaan dalam bentuk tersebut adalah lebih memadai kepada Veteran ATM serta orang tanggungan mereka jika dihitung secara berpanjangan.

AddToAny