responsif teks foto

Rabu, 25 Mac 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan



Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemaklumanan pelanjutan tempoh ini dibuat lebih awal supaya rakyat lebih bersedia.

Katanya, beliau diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara yang memaklumkan trend semasa menunjukkan kes positif Covid-19 yang baharu masih berlaku.

"Trend ini dijangka berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama.

"(Jadi) Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu.

"Pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka sehingga sekarang.

“Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak mengurusnya," katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya, hari ini.

Isnin, 23 Mac 2020

Sidang Media PM melibatkan Covid-19



Sidang media PM hari ini :

Inisiatif kerajaan terbaru yang telah diputuskan :

1. Kemudahan pengeluaran KWSP , bawah 55 boleh keluarkan akaun 2 maksimum RM 500 sebulan, selama 12 bulan bermula 1 April 2020.
.
2. Menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM 500 juta kepada kementerian kesihatan.
Peruntukan 100 juta untuk KKM melantik 2000 Kakitangan baru secara kontrak.
.
3. Menyalurkan peruntukan 130 juta ringgit kepada negeri2 untuk membantu peniaga dan penjaja kecil, bantuan kepada ahli keluarga pesakit Dan petugas2 kerajaan negeri tanpa mengira parti mana yang memerintah negeri.
.
4. Menyediakan lanjutan masa dari 3 bulan kepada 6 bulan kepada peminjam PTPTN untuk membayar balik pinjaman.

Ahad, 22 Mac 2020

Perintah Larangan Untuk Kedai


Memandangkan daerah Lipis terdapat seorang positis COVID 19. Arahan perintah larangan untuk semua kedai,semua kedai 24 jam diarahkan tutup mulai 7 petang sehingga 7 pagi telah dikuatkuasa.Oleh itu semua KPB daerah Lipis hendaklah memberikan nasihat dan makluman kepada semua pemilik kedai utk mematuhi arahan ini.Satu notis akan dikeluarkan oleh pihak Majlis Daerah Lipis untuk pemakluman ini kepada semua pemilik yang terlibat.

Khamis, 19 Mac 2020

Simptom-Simptom awal Covid -19


Garis Masa Jangkitan Convid-19
Tempoh inkubasi (masa yang diambil untuk gejala pertama untuk menunjukkan dirinya selepas seseorang yang dijangkiti virus) untuk Novel Coronavirus ini dijangkakan berada dalam tempoh 14 hari. Ianya bermakna seseorang yang dijangkiti virus ini tidak akan mempunyai gejala atau tanda selama 14 hari dan berpotensi menyebarkan penyakit ini dalam masa tersebut. Berikut adalah simptom 2019 Novel 

Coronavirus:

Demam - Gejala ini tidak khusus hanya untuk 2019 Coronavirus Novel seperti yang anda ketahui. Demam boleh disebabkan oleh pelbagai kondisi perubatan seperti jangkitan kuman, sakit, kanser dan banyak lagi. Demam boleh muncul seawal 3-5 hari selepas seseorang itu dijangkiti dengan virus ini tetapi mungkin tidak dikesan oleh ramai orang jika suhu demam tidak terlalu tinggi.

Batuk - Seperti virus pernafasan lain seperti virus influenza, pesakit dengan 2019 Novel Coronavirus juga biasanya mempunyai gejala batuk kerana virus itu boleh menjangkiti saluran pernafasan dan menyebabkan kerengsaan.

Sesak nafas - Ini adalah hasil jangkitan saluran pernafasan yang lebih rendah atau radang paru-paru. Sesak nafas tidak boleh berlaku jika jangkitan hanya berada di saluran pernafasan atas seperti hidung dan tekak. Ini adalah salah satu gejala penting yang perlu diberi perhatian untuk orang yang berisiko tinggi terhadap jangkitan Novel Coronavirus 2019.

Sakit Badan - Gejala ini tidak diketahui sebab ia berlaku, tetapi ia boleh berpunca oleh pelbagai faktor seperti anemia (sel darah merah rendah), tekanan darah rendah atau disebabkan oleh jangkitan akut seperti jangkitan influenza.

Sakit Tekak - Sakit tekak tidaklah lazim berlaku dan bukan gejala utama untuk Novel Coronavirus 2019.

Sakit Kepala - Sesetengah pesakit mungkin mempunyai gejala ini dan ianya tidak diketahui mengapa ia boleh berlaku.

Dr Ramzdhan


Tiga Langkah mudah untuk mencegah COVID-19 

 1. Duduk di rumah

2. Kerap basuh tangan & jaga kebersihan diri

3. Kekal jarak 1 meter antara individu



Langkah pencegahan yang dibuat di China

Cara yang telah dibuat di China oleh mereka yang kena kawalan pergerakan/lockdown.

Kalau yang keluar beli makanan di pasaraya tatacara yg betul adalah

1. Pakai sarung tangan plastik bila ambil barang di rak-rak pasaraya. Virus ni boleh hidup di permukaan hingga 9 jam.

2. Pakai mask. Elak both direction. Pembawa  tidak sebar virus, virus pun tidak boleh masuk ke rongga hidung, mulut dr luar.

Langkah selepas balik dari membeli makanan.

1. Jangan disambut oleh ahli keluarga terutama anak-anak  Elakan dari terus bertemu ahli keluarga lain.

2. Terus masuk ke dalam toilet, buka semua pakaian dan masukan dalam beg plastik untuk dicuci terus.

3. Baru buka mask dan sarung tangan,  terus buangkan dalam plastik khas. Jangan buang dalam tong sampah biasa. Virus boleh hidup jika ada host iaitu sisa-sisa  makanan dalam tong sampah

4. Mandi dan cuci dengan sabun, detol.

5. Baru keluar bertemu ahli keluarga.

6. Barang-barang yang dibeli, jangan terus guna. Sebaiknya biarkan di satu sudut simpanan khas selama 8 jam supaya jika ada virus pada barangan yang dibeli, boleh mati selepas 8 jam.

Jika beli makanan siap masak.

1. Pastikan kedai yang bersih
2. Pastikan tiada crowd yang ramai menunggu
3. Beli dan terus balik.
4. Balik ulangi tatacara mengurus diri seperti di atas tadi. Makanan  siap masak yang dibeli boleh terus dihidangkan. Sebaiknya elakan beli di luar. Masak sendiri di rumah.

Cara ini telah dibuat di China oleh mereka yg kena kawalan pergerakan/lockdown. Baru lah efektif.




kenapa kita perlu kuarantinkan diri kita selama 14 hari ?

Rabu, 18 Mac 2020

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR PAHANG


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

01. Berikutan Perutusan Khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam Isnin, 16 Mac, mengenai wabak Pandemik COVID-19 khususnya berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, sukacita saya menyarankan rakyat Pahang supaya akur kepada Perintah ini.

02. Perintah Kawalan Pergerakan kepada semua rakyat Malaysia bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sesuai dengan Warta Kerajaan Persekutuan P.U (A) 87 pada 17 Mac 2020 bertujuan mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan wabak Pandemik ini.

03. Negeri Pahang telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, bagi membolehkan atur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh.

04. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, keputusan ini dibuat demi membendung gejala wabak COVID-19 daripada menjadi lebih parah hingga akhirnya menggugat nyawa kita dan anggota keluarga kita sekalian.

05. Saya tidak nafikan bahawa, akan berlaku sedikit ketidak-selesaan pada kehidupan biasa seharian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac,  tetapi inilah pengorbanan yang harus kita lakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini.

06. Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri, telah membuat beberapa keputusan yang selaras dengan Arahan MKN 20 yang antaranya –

# Semua Pejabat Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri (kecuali agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan penting) termasuk UTC Pahang dan RTC Pahang akan ditutup.

# Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan Perkhidmatan Bas Domestik akan beroperasi namun, premis-premis selain premis makanan di tempat tersebut akan ditutup.

# Semua urusan perbankan masih diteruskan tetapi penggunaan kemudahan perbankan internet lebih digalakkan.
# Operasi kilang-kilang bergantung kepada keputusan terkini Kementerian-kementerian berkenaan.

# Semua pemegang permit/lesen batuan, mineral dan balak dikehendaki menghentikan aktiviti pemindahan dan pengeluaran bahan mineral, batuan dan balak termasuk aktiviti memproses bahan tersebut.

# Selaras dengan Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang khusus untuk umat Islam, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat dan solat berjemaah tidak diadakan. Tetapi, Muazzin dibenarkan melaungkan Azan.

#Masjid dan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) hanya dibenarkan bagi tujuan pengurusan berkaitan dengan kematian sahaja.

# Pasaraya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi, manakala pasar awam pula hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

# Semua aktiviti pasar tani dan pasar pagi dihentikan, begitu juga operasi pasar malam dan ‘car boot sale’.

# Semua premis menjual makanan boleh dibuka dengan syarat berikut –

  • Tidak dibenarkan makan di premis, 
  • Hanya perkhidmatan bawa pulang (take away) dan 
  • pandu lalu dibenarkan.


# Semua bentuk hiburan dan sukan termasuk taman tema, kelab sukan, kelab golf, pusat akuatik, gimnasium, dewan awam/orang ramai kerajaan serta swasta, pusat hiburan (disko, kelab malam, pub), mesin slot, arked hiburan keluarga (karaoke, snooker, panggung wayang, fun-fair dan seumpamanya), rumah kesihatan (spa, massage, sauna dan seumpamanya) ditutup.

# Urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanyalah untuk mendaftar kelahiran baharu, pendaftaran kematian dan pendaftaran dan penggantian kad pengenalan.

# Menyedari kepentingan keperluan kecemasan, bengkel membaiki kenderaan, pusat servis dan kedai tayar akan dibenarkan beroperasi dengan had waktu dari pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

# Penghuni hotel, residensi dan asrama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) boleh kekal menginap di premis masing-masing.

# Semua ‘coffee house’ di hotel tidak dibenarkan beroperasi kecuali untuk kegunaan tetamu yang menginap di hotel sahaja.

# Semua kedai menjual makanan dan keperluan haiwan dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 12.00 tengah hari sahaja.

# Pusat asuhan kanak-kanak yang khusus untuk anggota perkhidmatan penting dibenarkan untuk terus beroperasi.

# Pegawai penguatkuasa bersama (PDRM, PBT, APM, KPDNHEP) akan membuat pemantauan di seluruh premis bagi memastikan pematuhan arahan yang telah dikeluarkan. Sebarang perlanggaran arahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua (2) tahun.

07. Semoga dengan kita akur kepada Perintah Kawalan Pergerakan serta dengan langkah-langkah lanjutan yang Kerajaan Negeri ambil ini, kita dapat melalui tempoh sukar ini dengan hasil yang terbaik, In Sya Allah.

08. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada para petugas kesihatan serta semua pihak yang terlibat dalam menangani wabak Pandemik COVID-19 ini.

YAB DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
18 Mac 2020

KENYATAAN MEDIA 19 Mac 2020

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

1. Sukacita saya maklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah memperkenalkan beberapa lagi langkah dalam menangani wabak Pandemik COVID-19 dan untuk mengurangkan beban tanggungan kepada golongan yang hilang punca pendapatan khususnya dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa 18 Mac hingga 31 Mac.

Antaranya ialah :-

i) Menyediakan peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri dan GLC sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 sepanjang tempoh 14 hari.

Agihan peruntukan khas ini akan diperincikan kemudian.

ii) Kerajaan Negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri yang melibatkan 2,895 penerima.

Ini bermakna, Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) untuk bulan April akan dipercepatkan pembayarannya pada 27 Mac 2020 ini.

iii) Bagi meringanan beban penyewa premis perniagaan PKNP, pihak PKNP akan memberikan kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis.

iv) Kerajaan Negeri juga menetapkan bahawa, Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang akan tetap menerima elaun penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

v) Bagi bersama-sama menzahirkan keperihatinan terhadap situasi yang dihadapi oleh negara kini, Kerajaan Negeri menyarankan orang ramai dan syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini supaya membuat sumbangan untuk membantu golongan rakyat yang memerlukan ini.

Mekanisme sumbangan oleh orangramai dan syarikat-syarikat ini akan ditentukan oleh Pejabat Kewangan Negeri.

Saya percaya, sebagai warganegara dan warga korporat yang bertanggungjawab serta prihatin terhadap isu yang sedang melanda negara dan negeri, saranan ini akan disambut dengan sebaik-baiknya, In Sya Allah.

2. Sukacita juga saya ingin memaklumkan bahawa pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar di Maran telah bersetuju dengan pandangan Kerajaan Negeri agar upacara tahunan penyembahan dan penyucian jiwa atau ‘Al Pangguni Alaayam’ yang dijadualkan berlangsung di kuil tersebut pada 6 dan 7 April ini, ditangguhkan.

Menerusi penangguhan ini, tidak berlakulah pergerakan keluar-masuk sehingga kira-kira 120,000 orang penganut di perkarangan kuil tersebut. Dengan itu, langkah ‘pre-emptive’ yang berkesan dapat dilaksanakan bagi membendung wabak Pandemik COVID-19 ini.

Mengambil kesempatan ini, sukacita saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar, atas keprihatinan dan persetujuan mereka dengan penangguhan ini.

3. Sukacita juga saya maklumkan, akan ada beberapa lagi langkah dan inisiatif yang akan diperkenalkan bagi terus menangani wabak Pandemik COVID-19 dan juga untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

4. Semoga dengan ini, usaha kita bersama-sama untuk menangani seterusnya mengatasi wabak Pandemik COVID-19 ini akan berjaya, In Sya Allah.

YAB DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
19 Mac 2020


Tolong Jangan balik kampung

Dijangka ribuan kenderaan akan meninggalkan ibu negara
pada malam ini hingga pagi ini

Italy hancur sebab 10,000 orang balik kampung dari kawasan merah sebelum kuarantin dilaksanakan.

China dan kemudiannya seluruh dunia jadi teruk sebab 5 juta orang lari keluar dari Wuhan sebelum perintah berkurung berkuatkuasa.

JANGAN balik kampung!!
JANGAN tinggalkan kawasan anda!!

ANDA MUNGKIN ADALAH PENYEBAR VIRUS COVID-19!!

Kemungkinan akan berjangkit kepada mak, ayah, adik beradik, saudara mara, & jiran-jiran yang lain. tak kesian ke kepada mereka??

Orang tua lagi sukar sembuh dan tahap kematian tinggi akibat jangkitan covid-19 adalah daripada golongan berusia kerana mereka lebih lemah.

Nabi kata jangan masuk ke kawasan wabak dan jangan keluar dari kawasan wabak.

Tolonglah wahai rakyat


Isnin, 16 Mac 2020

PERUTUSAN KHAS PM MENGENAI COVID-19


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, saudara-saudari rakyat Malaysia yang
saya kasihi.

Malam ini, sekali lagi saya berada di hadapan saudara-saudari sekalian untuk
memaklumkan situasi semasa ancaman wabak Covid-19 yang telah
menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh
dunia.

Sehingga kini, wabak Covid-19 telah merebak di 135 buah negara. Seramai
162,711 orang telah disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia. Daripada
jumlah ini, seramai 6,443 orang telah meninggal dunia.

Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu
190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah
keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang.
Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital,
manakala 42 orang telah pun pulih.

Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini
terutama perkembangan gelombang kedua. Keutamaan Kerajaan pada masa
ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan
menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan
drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.

Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan
Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh
negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan

Pergerakan ini meliputi;

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh
negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk
menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan
2 hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai
serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam,
penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat
Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa
Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.
Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani
pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self
quarantine) selama 14 hari;
Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam
negara;

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk
sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz
dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta
serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat
dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air,
elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas,
bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi,
bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan,
pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.


Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan
yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk
saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. Namun, tindakan ini mesti
diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang
berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.

Kita telah melihat peningkatan wabak Covid-19 secara mendadak daripada
puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam masa yang
3 singkat di beberapa buah negara lain. Sudah pasti saudara-saudari tidak mahu
keadaan yang sama berlaku di negara kita.

Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih
meruncing. Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat
penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai. Inilah
satu-satunya cara untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini
dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.

Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan
panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang. Saya percaya dengan
langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kita
mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat.

Kita telah melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah yang agak
drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah
menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan Covid-19.

Saya juga ingin memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan,
keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah
mencukupi. Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan
dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalah

Pergerakan ini berkuatkuasa.

Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah
Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti
kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita,
masyarakat kita dan negara kita.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan
Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi
wabak Covid-19. Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan
memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak Covid-19
dari semasa ke semasa. 4

Jika saudara-saudari mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah
Kawalan Pergerakan, saudara-saudari boleh menghubungi Pusat Pengurusan
Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih
kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah
bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak ini.
Saya berdoa agar saudara-saudari sekalian terus cekal dan tabah dalam
menjalankan tugas untuk negara demi memastikan keselamatan dan
kesejahteraan rakyat di negara ini sentiasa terpelihara.

Akhir sekali, saya berdoa agar saudara dan saudari sekalian sentiasa diberikan
perlindungan oleh Allah S.W.T.

Wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

AddToAny