responsif teks foto

Rabu, 18 Mac 2020

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR PAHANG


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

01. Berikutan Perutusan Khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam Isnin, 16 Mac, mengenai wabak Pandemik COVID-19 khususnya berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, sukacita saya menyarankan rakyat Pahang supaya akur kepada Perintah ini.

02. Perintah Kawalan Pergerakan kepada semua rakyat Malaysia bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sesuai dengan Warta Kerajaan Persekutuan P.U (A) 87 pada 17 Mac 2020 bertujuan mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan wabak Pandemik ini.

03. Negeri Pahang telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, bagi membolehkan atur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh.

04. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, keputusan ini dibuat demi membendung gejala wabak COVID-19 daripada menjadi lebih parah hingga akhirnya menggugat nyawa kita dan anggota keluarga kita sekalian.

05. Saya tidak nafikan bahawa, akan berlaku sedikit ketidak-selesaan pada kehidupan biasa seharian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac,  tetapi inilah pengorbanan yang harus kita lakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini.

06. Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri, telah membuat beberapa keputusan yang selaras dengan Arahan MKN 20 yang antaranya –

# Semua Pejabat Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri (kecuali agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan penting) termasuk UTC Pahang dan RTC Pahang akan ditutup.

# Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan Perkhidmatan Bas Domestik akan beroperasi namun, premis-premis selain premis makanan di tempat tersebut akan ditutup.

# Semua urusan perbankan masih diteruskan tetapi penggunaan kemudahan perbankan internet lebih digalakkan.
# Operasi kilang-kilang bergantung kepada keputusan terkini Kementerian-kementerian berkenaan.

# Semua pemegang permit/lesen batuan, mineral dan balak dikehendaki menghentikan aktiviti pemindahan dan pengeluaran bahan mineral, batuan dan balak termasuk aktiviti memproses bahan tersebut.

# Selaras dengan Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang khusus untuk umat Islam, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat dan solat berjemaah tidak diadakan. Tetapi, Muazzin dibenarkan melaungkan Azan.

#Masjid dan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) hanya dibenarkan bagi tujuan pengurusan berkaitan dengan kematian sahaja.

# Pasaraya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi, manakala pasar awam pula hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

# Semua aktiviti pasar tani dan pasar pagi dihentikan, begitu juga operasi pasar malam dan ‘car boot sale’.

# Semua premis menjual makanan boleh dibuka dengan syarat berikut –

  • Tidak dibenarkan makan di premis, 
  • Hanya perkhidmatan bawa pulang (take away) dan 
  • pandu lalu dibenarkan.


# Semua bentuk hiburan dan sukan termasuk taman tema, kelab sukan, kelab golf, pusat akuatik, gimnasium, dewan awam/orang ramai kerajaan serta swasta, pusat hiburan (disko, kelab malam, pub), mesin slot, arked hiburan keluarga (karaoke, snooker, panggung wayang, fun-fair dan seumpamanya), rumah kesihatan (spa, massage, sauna dan seumpamanya) ditutup.

# Urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanyalah untuk mendaftar kelahiran baharu, pendaftaran kematian dan pendaftaran dan penggantian kad pengenalan.

# Menyedari kepentingan keperluan kecemasan, bengkel membaiki kenderaan, pusat servis dan kedai tayar akan dibenarkan beroperasi dengan had waktu dari pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

# Penghuni hotel, residensi dan asrama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) boleh kekal menginap di premis masing-masing.

# Semua ‘coffee house’ di hotel tidak dibenarkan beroperasi kecuali untuk kegunaan tetamu yang menginap di hotel sahaja.

# Semua kedai menjual makanan dan keperluan haiwan dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 12.00 tengah hari sahaja.

# Pusat asuhan kanak-kanak yang khusus untuk anggota perkhidmatan penting dibenarkan untuk terus beroperasi.

# Pegawai penguatkuasa bersama (PDRM, PBT, APM, KPDNHEP) akan membuat pemantauan di seluruh premis bagi memastikan pematuhan arahan yang telah dikeluarkan. Sebarang perlanggaran arahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua (2) tahun.

07. Semoga dengan kita akur kepada Perintah Kawalan Pergerakan serta dengan langkah-langkah lanjutan yang Kerajaan Negeri ambil ini, kita dapat melalui tempoh sukar ini dengan hasil yang terbaik, In Sya Allah.

08. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada para petugas kesihatan serta semua pihak yang terlibat dalam menangani wabak Pandemik COVID-19 ini.

YAB DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
18 Mac 2020

KENYATAAN MEDIA 19 Mac 2020

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

1. Sukacita saya maklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah memperkenalkan beberapa lagi langkah dalam menangani wabak Pandemik COVID-19 dan untuk mengurangkan beban tanggungan kepada golongan yang hilang punca pendapatan khususnya dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa 18 Mac hingga 31 Mac.

Antaranya ialah :-

i) Menyediakan peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri dan GLC sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 sepanjang tempoh 14 hari.

Agihan peruntukan khas ini akan diperincikan kemudian.

ii) Kerajaan Negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri yang melibatkan 2,895 penerima.

Ini bermakna, Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) untuk bulan April akan dipercepatkan pembayarannya pada 27 Mac 2020 ini.

iii) Bagi meringanan beban penyewa premis perniagaan PKNP, pihak PKNP akan memberikan kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis.

iv) Kerajaan Negeri juga menetapkan bahawa, Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang akan tetap menerima elaun penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

v) Bagi bersama-sama menzahirkan keperihatinan terhadap situasi yang dihadapi oleh negara kini, Kerajaan Negeri menyarankan orang ramai dan syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini supaya membuat sumbangan untuk membantu golongan rakyat yang memerlukan ini.

Mekanisme sumbangan oleh orangramai dan syarikat-syarikat ini akan ditentukan oleh Pejabat Kewangan Negeri.

Saya percaya, sebagai warganegara dan warga korporat yang bertanggungjawab serta prihatin terhadap isu yang sedang melanda negara dan negeri, saranan ini akan disambut dengan sebaik-baiknya, In Sya Allah.

2. Sukacita juga saya ingin memaklumkan bahawa pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar di Maran telah bersetuju dengan pandangan Kerajaan Negeri agar upacara tahunan penyembahan dan penyucian jiwa atau ‘Al Pangguni Alaayam’ yang dijadualkan berlangsung di kuil tersebut pada 6 dan 7 April ini, ditangguhkan.

Menerusi penangguhan ini, tidak berlakulah pergerakan keluar-masuk sehingga kira-kira 120,000 orang penganut di perkarangan kuil tersebut. Dengan itu, langkah ‘pre-emptive’ yang berkesan dapat dilaksanakan bagi membendung wabak Pandemik COVID-19 ini.

Mengambil kesempatan ini, sukacita saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar, atas keprihatinan dan persetujuan mereka dengan penangguhan ini.

3. Sukacita juga saya maklumkan, akan ada beberapa lagi langkah dan inisiatif yang akan diperkenalkan bagi terus menangani wabak Pandemik COVID-19 dan juga untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

4. Semoga dengan ini, usaha kita bersama-sama untuk menangani seterusnya mengatasi wabak Pandemik COVID-19 ini akan berjaya, In Sya Allah.

YAB DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
19 Mac 2020


Tiada ulasan:

AddToAny