Selasa, 3 Jun 2008

KARNIVAL LIPIS 2008



Majlis Daerah Lipis (MDL) akan menganjurkan Karnival Lipis 2008 di dataran MDL di sini mulai 14 Jun hingga 20 Jun ini.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed berkata, karnival tahunan itu akan memaparkan kesenian dan kebudayaan penduduk termasuk Orang Asli daerah ini.

Beliau berkata, antara acara yang akan diadakan termasuk demonstrasi memasak makanan tradisional seperti nasi kebuli, kuih-muih daripada gula kabung, membuat kraftangan, pertunjukan kesenian dan permainan tradisional daripada badan kebudayaan Daerah Lipis.

''Karnival ini diadakan untuk menarik ramai pelawat tempatan dan pelancong luar ke bandar bersejarah Lipis,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, Karnival Lipis yang bermula pukul 9 pagi hingga 11 malam itu setiap hari itu turut dimeriahkan oleh persembahan artis tempatan termasuk daripada Akademi Fantasia (AF).

Pengunjung juga, katanya, berpeluang menyertai permainan paintball, tarik tali, senamrobik, menyumpit dan permainan tradisional lain yang popular di pedalaman Lipis.

Pada karnival itu juga, beliau berkata, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan mengadakan rakaman Forum Perdana Hal Ehwal Islam.

''Kita juga mengundang petani dan pengusaha mengadakan pameran projek pertanian dan produk masing-masing untuk promosi serta dipasarkan kepada orang ramai sepanjang karnival ini,'' katanya.

"Datanglah beramai-ramai"

Tiada ulasan: