Pakar perubatan bersetuju bahawa hasil kajian setakat ini
menunjukkan, ketum tidak membawa mudarat kepada individu yang mengamalkannya.
Daun Ketum urat merah.." |
Bagaimanapun, Pakar Psikiatri Pusat Pakar Perubatan
Universiti Malaya (UMSC) Dr Rusdi Abd Rashid memberitahu penanaman atau
penghasilan ketum masih perlu dikawal agar ia tidak disalah guna.
Katanya lagi, berdasarkan pengalamannya bekerja di Kedah
selama enam tahun serta menjalankan tinjauan di sebuah negeri di utara tanah
air, pengguna ketum yang tidak dicampur sebarang dadah tidak menunjukkan
tanda-tanda agresif, sebaliknya mereka menjalankan aktiviti harian seperti
biasa.
Malah, Dr Rusdi memberitahu, hasil tinjauan juga
mendapati, daripada 100 responden yang ditemui, 24 peratus daripadanya pengguna
ketum dan 15 peratus berhenti mengambil heroin.
“Pengalaman saya sendiri yang kerja di Alor Setar empat
tahun dan di Yan dua tahun, saya tak pernah didatangi individu yang ada masalah
(ketagihan) ketum, kecuali mereka yang ada masalah dadah dan pada masa sama
guna ketum.
"Kebanyakan mereka hanya mengadu pasal dadah bukan
pasal ketum.
“Apabila ditanya kenapa guna ketum, mereka kata nak
hilangkan ketagihan pada dadah seperti (dadah jenis) pil kuda, heroin,"
katanya.
Dr Rusdi |
Dr Rusdi (gambar) menjelaskan kajiannya mendapati
pengguna ketum juga tidak bermasalah dan boleh bekerja seperti biasa, dan
bukannya gagal berfungsi dalam masyarakat seperti penagih dadah.
Bahkan katanya selepas mengambil ketum, mereka boleh
bekerja kerana bahan itu memberi tenaga.
Berdasarkan pemerhatian, kata Dr Rusdi, dia merumuskan
tiada akibat negatif terhadap pengguna ketum kerana ramai daripada mereka yang
mengambilnya ialah orang tua bagi mengatasi masalah sakit sendi.
Dr Rusdi berkata demikian ketika menyampaikan ceramah
‘Ketum - Use or abuse di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari
ini.
Boleh ganti
Metadon
Selain itu, beliau juga memberitahu, isu salah guna ketum
boleh berlaku apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mencampurkannya dengan
dadah atau bahan lain - seperti ubat nyamuk - untuk mendapatkan kesan yang
lebih kuat.
Namun, katanya, untuk mengklasifikasikan ketum sebagai
dadah berbahaya adalah tidak wajar.
Justeru, Dr Rusdi meminta agar ketum tidak diletak di
bawah Akta Dadah Berbahaya bagi membolehkan pengkaji menjalankan penyelidikan
lebih mendalam terhadap tumbuhan berkenaan.
Ini kerana, menurutnya, ketum boleh menjadi ubat
alternatif kepada metadon bagi merawat pesakit yang mengalami ketagihan opioid
seperti heroin.
“Saya rasa kita perlu ada alternatif kepada metadon dan
mungkin ketum ini alternatifnya.
"Orang yang mengambil ketum mereka tak mengantuk
macam orang yang ambil metadon," katanya.
Justeru Dr Rusdi berkata ada kemungkinan ketum boleh
menjadi satu daripada bahan mengubat masalah psikiatri.
Jika ketum di letakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya,
kata Dr Rusdi, pengkaji tidak lagi dapat membuat penyelidikan lebih mendalam
mengenainya.
Dari sisi lain Dr Rusdi juga mengingatkan sesuatu
tumbuhan yang dicipta Tuhan pasti mempunyai kegunaan tertentu.
"Kita ada ramai penagih dadah, mungkin kita boleh
guna ketum untuk rawat mereka.
"Kalau kita boleh tangguhkan dulu untuk letak ketum
di bawah Akta Dadah Berbahaya, kita boleh buat kajian tanpa batasan,"
katanya.
Lagi bahaya
berbanding ketum
Langkah itu juga kata Dr Rusdi boleh menjimatkan
perbelanjaan apabila kerajaan tidak lagi perlu mengimport metadon dari luar
negara yang dijual pada harga mahal.
"Apa salahnya kita guna produk sendiri? Selain dapat
merawat penagih, kita juga boleh eksport ubat sirap (cairan) ketum dan menjana
ekonomi negara kita,” katanya sambil menambah, terdapat banyak manfaat daripada
pokok ketum sekiranya ia diproses dengan betul.
Dalam sesi soal jawab pula, Dr Rusdi menjelaskan gula lebih memudaratkan berbanding ketum
kerana bahan itu boleh menyebabkan seseorang diserang penyakit kencing manis.
Pada masa sama katanya ada pesakit kencing manis
mengambil ketum sebagai bahan sampingan bagi merawat masalah kesihatan mereka.
“Sekarang pihak Risda nak berbincang untuk
dikomersialkan. Saya rasa, apa salahnya?
"Penoreh getah pun sekarang hidup susah, mungkin
apabila dibenarkan (mengkomersialkan) ketum, mereka boleh eksport ketum yang
telah dijadikan sabun.
"Ia boleh membantu peladang kecil dalam keadaan
ekonomi tak baik sekarang ini,” katanya lagi.
Pada April 2015, kerajaan membentangkan Rang
Undang-undang Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2014) untuk menyenaraikan daun
ketum dalam jadual pertama akta berkenaan.
Lampu hijau buat ketum
Turut berada dalam jadual itu ialah pokok ganja, kanabis,
popi dan koka.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya
membentangkan cadangan pindaan itu sehingga ke peringkat bacaan kali kedua di
Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, laporan Bernama pada November 2015
menyatakan pembentangan itu ditarik balik kerana terdapat bantahan terhadap
cadangan takrifan penyalahgunaannya.
Antara lain langkah itu dikhuatiri boleh menyebabkan
penganiayaan kepada penduduk kampung yang menanam dan menggunakan bahan itu
untuk tujuan perubatan serta kesihatan sendiri.
Dalam laporan itu juga, Timbalan Menteri Dalam Negeri
Datuk Nur Jazlan Mohamed dipetik berkata kerajaan memerlukan masa untuk menyediakan
takrifan perundangan baru bagi daun ketum.
Prof Dr. Mustafa Ali Mohd |
Sementara itu, doktor di Jabatan Patologi UMSC, Prof Dr
Mustafa Ali Mohd (gambar, atas) menggesa kerajaan memberi kebenaran serta geran
kepada pihak-pihak yang ingin lakukan kajian terhadap pokok ketum.
Beliau yang juga pakar dalam bidang farmakologi dan
Ubat-ubatan tradisional berkata Malaysia mempunyai segala kepakaran untuk
membuat kajian terhadap tumbuhan tersebut namun ia berdepan kekangan apabila
tidak mendapat 'lampu hijau'.
“Jika kerajaan beri kebenaran (untuk lakukan kajian) dan
geran, kita boleh lakukan dan menjadikannya satu minuman sirap tradisional
untuk meningkatkan tenaga, kesihatan. Kita boleh eksport.
“Kita boleh lakukannya tetapi lampu hijau tak ada. Kita
telah ada orangnya (untuk buat kajian), kita ada pengalaman, kita ada mesin
tetapi lesen tidak ada.
“Kita telah cuba (untuk dapatkan kelulusan buat kajian
terhadap ketum) beberapa tahun yang lalu," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan