Mengapa Tsunami
Melayu Tidak Akan Berlaku Menjelang PRU-14
SATU hasil tinjauan Merdeka Centre yang baru-baru ini
mendedahkan bagaimana undi orang Melayu akan terus kekal bersama BN dan PAS
menjelang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang perlu dilihat sebagai satu
bentuk realiti di lapangan. Laporan kaji selidik agensi itu mendedahkan bahawa
pengundi Melayu lebih mempercayai BN dan PAS berbanding gabungan empat parti
pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH).
Biarpun PH terus mempertikaikan hasil kajian tersebut
sambil mendakwa sokongan dan undi orang Melayu kepada mereka semakin bertambah,
hakikatnya dakwaan itu tidak didatangkan dengan data dan fakta. Ya, tidak
dinafikan bahawa pakatan pembangkang kini mempunyai blok politik yang semakin
besar dengan komponen yang bertambah, tetapi di sana tetap wujud beberapa
faktor yang akan meminggirkan mereka daripada sokongan orang Melayu
setidak-tidaknya untuk PRU-14 yang bakal menjengah tidak lama lagi.
BN (UMNO) giat menjalankan aktivitinya tanpa rasa jemu |
Kepentingan Islam
Dan Agenda Bumiputera
Rata-rata orang Melayu sangat sensitif dengan isu
survival bangsa dan agama mereka di negara ini. Melihatkan agenda Melayu dan
Islam semakin terhakis dengan beberapa insiden yang tidak diingini mutakhir
ini, ramai yang percaya bahawa tidak ada pihak yang lebih baik untuk terus
mempertahankan kepentingan kumpulan etnik majoriti itu di negara ini melainkan
BN dan PAS. UMNO walaupun terus mengekalkan toleransi agama dan kaum dengan
parti-parti komponen lain seperti MCA dan MIC, mereka tetap tidak goyah dan
berganjak dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam dan orang
Melayu.
UMNO adalah antara pihak yang paling ke hadapan dalam
memperjuangkan nasib saudara Islam di seluruh pelusuk dunia khususnya dalam isu
Palestin dan Rohingya di Myanmar. Selama beberapa tahun, UMNO dan PAS terus
membuktikan bahawa mereka boleh berganding bahu bagi tujuan yang maha murni
ini. Kedua-dua parti ini jugalah yang paling ke terkehadapan dalam penentangan
terhadap beberapa perkara seperti penganjuran pesta arak, budaya LGBT dan
penularan fahaman ateisme.
Malangnya, orang Melayu tidak melihat tindakan setegas
ini diambil oleh parti majoriti Melayu dalam PH, baik AMANAH, PKR mahupun PPBM.
Kenyataan yang dikeluarkan mereka berhubung isu-isu seperti ini, jika ada pun,
terlalu berlapik dan berhati-hati, menggambarkan seolah-olah mereka cuba
menjaga hati pihak-pihak tertentu. Dan rakyat bukanlah terlalu jahil untuk tahu
dan faham siapakah pihak yang cuba dijaga hatinya itu.
Hakikat ini sejajar dengan dapatan hasil kajian Merdeka
Center yang menunjukkan pengundi Melayu lebih khuatir mengenai hak mereka
meliputi isu kedudukan Islam, peranan mereka dalam hala tuju ekonomi dan
politik negara, dan juga persoalan bagaimana kemewahan ekonomi negara kembali
diagihkan kepada mereka.
Maka atas kesedaran sebeginilah, ramai orang Melayu
melihat hanya BN (UMNO) dan PAS sahaja yang boleh diharap bagi membela dan
mempertahankan agenda agama dan bangsa mereka. PAS mungkin tidak akan berjaya
membentuk kerajaan apabila ia memilih untuk bersendirian kali ini, tapi setidak-tidaknya
undian orang Melayu untuk mereka boleh ‘menyelamatkan’ negara daripada jatuh ke
tangan golongan ataupun kumpulan yang tidak sensitif terhadap isu-isu yang
berkait rapat dengan Islam dan Melayu di negara ini.
Begitu juga PAS masih giat menjalan aktiviti merapat dengan pengundi |
Faktor Melayu
Kelas Pertengahan
Ramai yang membuat telahan bahawa UMNO dan BN hanya mampu
menjana sokongan orang Melayu di kawasan-kawasan pedalaman dan dalam kalangan
mereka yang masih bergelut dengan masalah kemiskinan. Dalam erti kata lain,
telahan ini cuba memberikan konotasi bahawa UMNO kini sudah jauh daripada
rakyat kelas pertengahan yang semestinya sudah mempunyai taraf hidup yang lebih
baik. Hakikatnya, pendapat sebegitu hanya tersanggah dengan sendirinya atas
beberapa faktor dan realiti.
Perspektif cetek yang mengaitkan undi sokongan untuk PH
dengan pengundi daripada kelas pertengahan juga sebenarnya tidak boleh diterima
bulat-bulat, khususnya di Malaysia yang teguh berpegang dengan kontrak sosial.
Biarpun di sana ada sebuah teori yang menyatakan bahawa peningkatan jumlah golongan
kelas pertengahan menyumbang kepada peningkatan peralihan undi dalam kalangan
rakyat di negara demokratik, ianya tidaklah tepat 100 peratus di Malaysia.
Bilangan jumlah rakyat kelas pertengahan di negara ini
sememangnya sedang bertambah dengan mendadak. Namun di sana terdapat perbezaan
antara Melayu kelas pertengahan dengan rakyat bukan Melayu daripada kelas
sosial yang sama. Pengalaman yang diperolehi oleh orang Melayu dalam
‘pendakian’ mereka ke kelas pertengahan sememangnya berbeza daripada kaum-kaum
yang lain.
Ketika rakyat kelas pertengahan bukan Melayu rata-ratanya
berusaha dengan wang keringat dan titik peluh mereka sendiri, ramai orang
Melayu sebenarnya begitu berterima kasih kepada kerajaan pimpinan BN selama ini
atas segala bantuan dan pertolongan yang diterima mereka khususnya dalam sektor
pendidikan dan perniagaan. Data yang sahih dan jelas menunjukkan bagaimana
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan sebelum ini benar-benar mengangkat
status ekonomi orang Melayu dengan mendadak, sekaligus merapatkan jurang
ekonomi mereka dengan kaum lain khususnya kaum Cina.
Maka atas faktor tersebut, tidak hairanlah jika kita
melihat UMNO masih mendapat kepercayaan yang tinggi daripada orang Melayu yang
bukan sahaja datang daripada kelompok B40, bahkan ia turut disokong kuat oleh
ramai orang Melayu daripada kelas pertengahan. Kebanyakan orang Melayu yang
mendapat dan menikmati manfaat ini akan terus menjadi pengundi untuk beberapa
PRU yang akan datang. Justeru, kita boleh menjangkakan bahawa undi orang Melayu
daripada kelas ini tidak akan banyak beralih ke kem PH, setidak-tidaknya untuk
PRU14 kelak.
PH (KeAdilan) hanya hantar kelendar sahaja |
Biarpun iklim ekonomi semasa dan kenaikan kos sara hidup
rakyat dilihat memberikan sedikit ‘kelebihan’ kepada PH untuk meraih sokongan
rakyat, apa yang pasti orang Melayu kebanyakannya belum lagi yakin mengenai
prospek pemerintahan PH pasca PRU kelak. Segalanya sangat membimbangkan pada
mereka apabila membicarakan soal memberikan peluang kepada pembangkang untuk
memerintah negara pada kali ini. Di sebalik keyakinan PH bahawa mereka kini
menikmati sokongan yang semakin meningkat dalam kalangan orang Melayu, mereka
juga sebenarnya telah beberapa kali mengakui bahawa mereka berdepan tugas yang
sukar untuk mencetuskan tsunami Melayu pada edisi PRU yang bakal tiba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan