KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA PAHANG, TAMAT KURSUS ASAS SNIPER
MELAKA, 7 April 2021 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah berkenan berangkat ke Majlis Penutup Kursus Asas Sniper (Siri Khas), di Lapangsasar 600 Meter, Kem Terendak, Melaka.
Keberangkatan tiba KDYMM Pemangku Raja Pahang telah disambut oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain.
KDYMM Pemangku Raja Pahang telah menghadiri Kursus Asas Sniper selama empat minggu bermula 15 Mac hingga 7 April 2021, bertempat di Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat (PULPAK), Kem Sungai Udang. Kursus ini terbahagi kepada tiga fasa meliputi kelas teori, latihan menembak di lapangsasar serta latihan dan ujian aplikasi medan.
Sempena Majlis Penutup Kursus ini, KDYMM Pemangku Raja Pahang turut berkenan untuk mempamerkan kemahiran Baginda dalam melepaskan tembakan tepat ke arah sasaran di pelbagai jarak.
Mengakhiri majlis, KDYMM Pemangku Raja Pahang telah berkenan untuk menerima persembahan Lencana Sniper dan Sijil Kursus dari Tan Sri PTD.
Tan Sri PTD dan seluruh warga TDM merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang kerana telah berjaya menamatkan Kursus tersebut dengan cemerlang serta turut menjunjung kasih kerana bercemar duli menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas Sniper.
Turut hadir adalah Asisten Ketua Staf Perisikan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Rezil bin Shahidin, Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Nazari bin Abd Hadi, Panglima 21 Gerup Gerak Khas, Mejar Jeneral Datuk Jamaluddin bin Jambi serta penglibatan minima Pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia.
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan