responsif teks foto

Ahad, 31 Oktober 2021

Koperasi Kariah Masjid Kg. Lubuk Kulit, Kuala Lipis,

Koperasi tidak akan maju dan berjaya tanpa sokongan berterusan daripada setiap anggotanya. 

"Falsafah koperasi yang paling utama adalah prinsip kerjasama dan bersatu-padu. Jadi, tanggungjawab untuk memajukan koperasi tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu Ahli Lembaga Koperasi (ALK) sahaja. 

"Anggota juga perlu membantu dengan membeli produk atau menggunakan perkhidmatan disediakan koperasi, menyumbang idea untuk mengembangkan perniagaan koperasi serta menyumbang tenaga jika diperlukan." 

Demikian ucapan Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Kampung Lubuk Kulit, Kuala Lipis, Pahang, Dato' Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ketujuh koperasi tersebut hari ini. 

Menurutnya, walaupun perniagaan koperasi agak terjejas akibat musibah banjir dan pandemik Covid-19 pada tahun lepas, beliau komited untuk mentransformasi koperasi tersebut ke arah lebih baik dengan pakej bantuan yang ditawarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), selain menceburi bidang perniagaan baharu termasuk ternakan ayam. 

Mesyuarat tersebut diadakan secara hibrid dan dihadiri 65 orang anggota termasuk 20 orang secara dalam talian. 

Sebelum itu, Pengarah SKM Wilayah Raub/ Lipis/ Cameron Highland, En. Saffuan Fathi Suhaimi dalam ucapannya berkata, SKM menawarkan empat inisiatif untuk direbut oleh koperasi sebanyak RM20 juta sumbangan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini. 

"Koperasi-koperasi negeri Pahang yang layak bolehlah memohon dari empat program iaitu peruntukan untuk koperasi terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak RM1.2 juta, penubuhan koperasi baharu untuk menggalakkan golongan belia menceburkan diri dalam koperasi berjumlah RM2 juta, promosi pemasaran produk koperasi berjumlah RM2 juta dan RM15 ribu setiap koperasi terpilih untuk membeli barangan secara diskaun," katanya. 

Turut diadakan adalah sumbangan khairat kematian dan pemulangan syer untuk arwah En. Ahmad Lotfi Mohamad yang diterima oleh isterinya, Pn. Zainab Jusoh.

Tiada ulasan:

AddToAny